Skip to main content

vcc

Gigitan Bitis arietans pertama di Malaysia

Oleh: Dr. Ahmad Khaldun Ismail & Sazaroni Md Rashid

 

71 ms 4

Saban tahun, insiden gigitan ular banyak dilaporkan ke Pusat Racun Negara atau dirujuk kepada Remote Envenomation Consultancy Services (RECS)—membabitkan gigitan ular tempatan. Pada 5 Mei 2022, jam 12:30 tengahari di Selangor, satu insiden gigitan Bitis arietans pertama yang direkodkan di Malaysia telah dirujuk kepada RECS beberapa jam selepas kejadian. Ia membabitkan seorang lelaki berusia 30an.

Bitis arietans atau Puff Adder bukanlah ular tempatan—ia sejenis ular kapak berasal dari Afrika. Bisa ular ini adalah salah satu yang paling kuat daripada kalangan spesies ular kapak di Afrika. Tanpa rawatan klinikal dan penawar bisa (antivenom) yang sesuai, ia boleh membawa maut.

Garis panduan WHO menunjukkan gigitan Bitis arietans telah menyebabkan banyak kematian berbanding mana-mana spesies ular berbisa lain di Afrika. Kebanyakannya tidak didokumenkan secara tepat dan hanya dilaporkan sebagai kematian di hospital.

Dalam siasatan yang dilakukan, mangsa memberitahu bahawa dia ‘bekerja’ dengan rakannya untuk mengendali haiwan eksotik. Mereka menyimpan beberapa spesies ular berbisa dan beberapa kura-kura kerana rakannya bakal membuka kedai haiwan eksotik. Namun tiada butiran dinyatakan bagaimana, dari mana mahupun bila mereka mendapatkan haiwan ini. Dalam insiden tersebut, mangsa dipatuk di kedua-dua tangan kanan dan kiri di pangsapuri rakannya. Dua patukan ini telah menyebabkan kuantiti bisa ular yang tinggi masuk ke dalam tubuh mangsa dan mengakibatkan berlaku gejala bisa ular yang teruk.

Mangsa dan rakannya tidak pasti ke manakah ular tersebut telah menghilang, kerana mereka sibuk menyelamatkan mangsa. Setelah dibawa ke hospital dan dirawat, mangsa akhirnya disahkan meninggal dunia 23 jam selepas kejadian sementara usaha untuk mendapatkan antivenom yang sesuai (Antivipmyn-Africa) dari Zoo Singapura sedang dijalankan.

Kejadian tragis ini merupakan peringatan bagi sesiapa sahaja yang ingin membawa masuk atau memelihara spesies haiwan eksotik yang mempunyai risiko kesihatan/keselamatan kepada manusia untuk mempunyai pelan kecemasan yang baik termasuklah akses kepada antivenom yang sesuai dalam jumlah yang mencukupi untuk spesis tersebut jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

Sehingga kini belum ada undang-undang di Malaysia yang menetapkan syarat atau peraturan ini, namun ia adalah sesuatu yang universal untuk dipraktis di seluruh negara ASEAN. Amat tidak wajar untuk mengharapkan agensi perubatan (kerajaan mahupun swasta) di negara ini untuk menyimpan antivenom haiwan eksotik atau menyediakannya dalam apa cara sekalipun.

Sekiranya undang-undang di Malaysia membolehkan mana-mana individu/agensi untuk memelihara haiwan berbisa atau berbahaya, maka tidak ada alasan bagi mereka untuk tidak berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital serta mempunyai pelan kecemasan yang baik termasuklah pelan perolehan, pengendalian dan penyimpanan antivenom yang sesuai untuk spesies tersebut.

Penggubalan dan penambahbaikan undang-undang haiwan dan hidupan liar (Animal and Wildlife Act) yang lebih komprehensif di negara ini mengambil masa untuk dibentuk. Sehubungan itu, RECS ASEAN (Clinical Toxinology) dan AMSEM telah mengambil inisiatif untuk berkongsi dan menyalurkan antivenom ular eksotik bersesuaian dengan lebih cepat jika berlaku kes kecemasan. Kes gigitan ular orok-orok (Crotalus durissus) yang berlaku di Bangkok baru-baru ini, yang mana mangsa telah berjaya diselamatkan merupakan bukti kejayaan hasil usaha ini.

Artikel ini menyokong aktiviti melindungi, memelihara dan mengurus hidupan liar untuk tujuan mengekalkan ekosistem yang sihat serta menjaga keselamatan dan kesihatan awam dan perkara lain yang berkait dengannya. Semoga pihak berwajib atau Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) dan penguatkuasa (Jabatan Perhilitan, Jabatan Hidupan Liar Sabah & Jabatan Hidupan Liar Sarawak serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar) memberi perhatian dan mempertimbangkan saranan ini untuk kesejahteraan bersama.