Skip to main content

vcc

Langkah-langkah Penyimpanan Selamat

Oleh: Asdariah Misnan

ms2 1

Dalam kehidupan seharian, kita pastinya menggunakan produk kegunaan isirumah seperti sabun basuh baju, pencuci lantai, peluntur, syampu dan sabun badan yang kebanyakannya mengandungi bahan kimia.

Pernahkah anda terfikir di mana anda menyimpan bahan-bahan tersebut? Adakah semuanya disimpan di tempat yang selamat? Jika ya, di manakah tempat yang anda katakan selamat itu?

Pola umum kes-kes keracunan yang dirujuk kepada Pusat Racun Negara (PRN) selama 10 tahun (2006-2015) menunjukkan keracunan yang melibatkan produk bahan kimia isirumah merupakan kedua tertinggi (28%) selepas ubat-ubatan (36%) dan diikuti dengan racun makhluk perosak (25%). Daripada jumlah tersebut, separuh kes-kes keracunan bahan kimia isi rumah melibatkan pencuci dan peluntur.

Lebih membimbangkan, kebanyakan kes adalah keracunan yang tidak disengajakan dan membabitkan kanak-kanak yang sepatutnya dapat dielakkan. Keracunan boleh berlaku akibat terminum/tertelan, terkena mata atau bahagian anggota badan lain atau terhidu bahan kimia isi rumah. Antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya kejadian keracunan adalah kekurangan pengetahuan dan kesedaran tentang bahaya bahan kimia tersebut dan penyimpanan yang tidak selamat. Sebagai contoh, ramai dalam kalangan pengguna sering memindahkan bahan kimia isirumah contohnya peluntur ke dalam bekas air minuman kosong untuk memudahkan penggunaan. Namun, disebabkan warnanya yang hampir serupa dengan air minuman, keracunan boleh berlaku akibat ada orang tersalah minum kerana menganggapnya sebagai air minuman.

Pengetahuan tentang cara penyimpanan yang selamat dan penggunaan bahan-bahan kimia tersebut dengan betul juga amat penting bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan dan keracunan di rumah.

ms2 2

Selain itu, pastikan anda membaca label terlebih dahulu sebelum menggunakan bahan kimia tersebut. Terdapat banyak maklumat yang boleh didapati daripada label tersebut seperti kandungan bahan aktif, cara penggunaan, amaran bahaya serta pertolongan cemas sekiranya berlaku keracunan. Guna seperti disarankan dan jangan sesekali mencampurkan bahan-bahan kimia tersebut kerana dikhuatiri berlakunya tindakbalas antara bahan yang dicampur dimana ia boleh mengakibatkan risiko keracunan. Sebagai contoh, mencampurkan peluntur dengan bahan pencuci lain boleh membebaskan gas klorin atau gas kloramin yang boleh menyebabkan sesak nafas jika dihidu. Mangsa juga boleh mendapat kesan yang teruk jika berlaku pendedahan pada jangka masa yang lama pada kepekatan tinggi.

Sekiranya berlaku kejadian keracunan, pastikan anda membawa bekas bahan kimia tersebut bersama-sama dengan mangsa ke hospital atau klinik berhampiran bagi memudahkan pengenalpastian bahan kimia dan rawatan yang bersesuaian diberikan.

Selamatkah rumah anda? Jadikan kebiasaan untuk memeriksa penyimpanan bahan-bahan kimia isirumah sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memastikan ia disimpan di tempat yang betul dan selamat. Pesanan daripada Pusat Racun Negara, beringat sebelum kena, mencegah lebih baik daripada merawat. Jadilah pengguna yang bijak.

ms3 2