Skip to main content

vcc

Keselamatan Produk dan Kanak-kanak

Oleh: natrah@usm.my
Keselamatan Produk dan Kanak-kanak

Kanak-kanak sebagai satu golongan pengguna sememangnya lebih terdedah kepada berbagai barangan dan produk. Ini sering berlaku kepada mereka yang berumur lima tahun ke bawah. Memandangkan usia mereka yang terlalu muda, selalunya golongan ini kurang cermat atau berwaspada dalam memilih barangan yang sesuai dengan kehendak masing-masing. Lantaran itu, lebih ramai kanak-kanak terdedah kepada barang serta produk yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka dan ini boleh mengancam keselamatan. Kadangkala maut padahnya.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika rata-rata perangkaan menunjukkan bahawa golongan kanak-kanak lebih banyak mengalami keracunan ataupun kecederaan akibat menggunakan barangan tersebut. Bukan sahaja kerana barangan itu tidak selamat, tetapi lebih kerap lagi kerana cara penggunaannya juga tidak selamat. Ini ada kaitan dengan amalan serta tabiat kita seharian apabila menggunakan barang-barang tersebut. Lazimnya kita cuai dan kurang berhati-hati sehingga anak-anak kita sendiri sering terdedah kepada bahaya yang tidak menentu.

Ads:

Di antara barangan yang didapati selalu mendatangkan kemudaratan termasuklah barangan yang tersimpan di rumah seperti bahan-bahan pencuci dan ubat-ubatan. Barang permainan dan perhiasan juga boleh menjadi sumber bahaya kepada kanak-kanak, walaupun dalam banyak hal, mutu barangan tersebut terjamin. Apa lagi jika barangan itu sendiri tidak selamat daripada segi kualiti dan pembuatannya.

Oleh itu, demi keselamatan kanak-kanak, satu kesedaran dan kepekaan terhadap beberapa bahaya berkaitan bahan barangan serta produk yang ada di pasaran penting dipupuk di kalangan ibubapa/penjaga ataupun kanak-kanak sendiri. Ini adalah sebaik-baik cara untuk mengatasi dan mencegah daripada berlakunya perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan masyarakat kita.