Skip to main content

vcc

Kenali Hemp: Kanabis bukan hanya Ganja

Oleh: Rosman Ahmad

main62

Perkataan ganja atau marijuana sentiasa membawa konotasi negatif dalam kalangan hampir seluruh masyarakat dunia untuk sekian lama. Dalam artikel ini seterusnya perkataan ganja akan digunakan bagi merujuk kepada marijuana. Ganja dan hemp merupakan spesies tumbuhan daripada keluarga kanabis. Dalam kalangan masyarakat umum, kanabis, ganja dan hemp merujuk kepada benda yang sama dan sering digunakan secara bergantian. Dan ia juga merujuk kepada bahan yang memabukkan dan boleh mengakibatkan ketagihan. Hakikatnya, ganja dan hemp adalah spesies tumbuhan yang terangkum dalam keluarga kanabis. Sejak ribuan tahun hemp telah ditanam sebagai hasil tani yang memberikan pelbagai manfaat kepada manusia. Sativa adalah perkataan Greek yang bermaksud ditanam atau diladang. Kanabis adalah sejenis tumbuhan berbunga daripada keluarga Cannabaceae dan mempunyai 2 spesis utama iaitu C. Sativa (hemp) and C. Indica.

Sekali pandang, daun hemp dan ganja kelihatan serupa. Oleh kerana kemiripan bentuk daunnya dan keduanya adalah dari keluarga kanabis maka hemp telah dikelaskan dalam Jadual 1 Dadah Berbahaya dibawah Akta Bahan Kawalan 1970 di Amerika Syarikat. Namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, kita akan dapat membezakan keduanya dengan mudah. Daun ganja lebih lebar dan berwarna hijau gelap dengan bunga yang padat dan pokoknya lebih rendang dengan ketinggian antara 1 hingga 3 meter berbanding dengan hemp yang mana daunnya lebih tirus dengan warna yang lebih cerah manakala ketinggiannya boleh mencecah sehingga 7 meter mencecah sehingga 7 meter.

Kanabis mengandungi pelbagai sebatian kimia yang dikenali sebagai Cannabinoids. Hasil penyelidikan mendapati, dua jenis Cannabinoids utama kanabis ialah Tetrahydrocannabinol (THC) dan Cannabidiol (CBD) dan kedua jenis Cannabinoids ini mempunyai kesan berbeza terhadap tubuh manusia. Pengambilan THC akan mengakibatkan penggunanya menjadi khayal. Ini berbeza dengan CBD, yang mana ia tidak mengakibatkan penggunanya mabuk atau menjadi khayal.

Hemp mengandungi peratusan CBD lebih tinggi berbanding THC. Kebiasaannya dijual dalam bentuk jel, gula-gula kenyal, minyak, suplemen, ekstrak dan pelbagai lagi. Selain dari itu, hemp juga digunakan untuk tujuan perindustrian seperti dalam penghasilan kertas, pakaian, bahan pembinaan, bahan bakar, bahan makanan, minyak, makanan haiwan dan pelbagai lagi. Populariti CBD sedang berkembang pesat serata dunia. Terkini, hemp telah digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk berasaskan CBD dengan kandungan THC yang rendah.

Manakala THC pula merupakan sebagian psikoaktif utama ganja yang boleh mengakibatkan pengambilnya khayal. Pengambilan THC boleh dilakukan sama ada dengan menghisapnya, ataupun dalam bentuk minyak, makanan, tinctur, kapsul dan banyak lagi. Oleh kerana kandungan THC yang tinggi dalam ganja, lumrahnya, ia ditanam untuk kegunaan rekreasi dan perubatan. 

Dari sudut perundangan, negara-negara di dunia mempunyai undang-undang yang berbeza-beza terhadap penggunaan, penjualan, pengangkutan dan penanaman kanabis. Kebanyakan negara menggunakan kadar kandungan THC dalam tumbuhan tersebut bagi menentukan sama ada ianya sah atau tidak. Di Amerika Syarikat (AS) contohnya, penggunaan hemp dengan kepekatan THC 0.3% atau kurang, adalah tidak menyalahi undang-undang. Manakala di kebanyakan negara lain, had yang ditetapkan ialah 0.2%. Oleh kerana hemp mengandungi THC yang sangat sedikit secara semula jadi, ia dianggap tidak menyalahi undang-undang di kebanyakan negara di dunia. Ini jauh berbeza dengan ganja yang mempunyai kandungan THC amat tinggi. Di kebanyakan bahagian dunia, termasuk AS, semua aktiviti berkaitan ganja adalah salah dari segi undang-undang. 

Berdasarkan fakta-fakta tersebut, jelas bahawa hemp dan ganja merupakan dua jenis tumbuhan yang berbeza walaupun keduanya dari keluarga kanabis. Masyarakat harus dibuka minda dengan fakta yang betul agar stigma tentang kanabis tidak menghalang potensi dan manfaatnya untuk kegunaan sejagat.

ms3 1