Ketagihan Gajet dalam Kalangan Kanak-kanak: Apa yang Perlu Kita Ketahui?
Dewasa ini, kewujudan gajet pada era teknologi informasi dan komunikasi memberi kesan yang besar kepada semua golongan masyarakat. Perkembangan teknologi yang sangat pantas menjadikan gajet sebagai suatu keperluan dan bukan lagi kehendak. Penggunaan gajet seperti komputer, tablet, telefon tangan pintar seperti; Blackberry, iPhone, dan tablet seperti, iPad, Playbook serta Samsung Galaxy Tab telah membuka jendela kepada dunia jauh lebih luas dan membolehkan maklumat boleh dikecapi dengan mudah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Kanak-kanak Generasi Z atau digelar juga sebagai Generasi Net lahir di zaman gajet menjadi komponen penting dalam kehidupan harian. Situasi kanak-kanak generasi Z yang lebih banyak berinteraksi dengan teknologi dapat diperumpamakan seperti ikan dengan air yang mana kehidupan mereka semuanya berasaskan gajet dan internet. Oleh kerana itu, penggunaan gajet memberikan suatu pemikiran yang kontradiktif, kerana di satu sudut gajet memberikan impak positif namun di sudut lain impak negatifnya juga tidak dapat dihindari.
Implikasi Gajet Terhadap Kanak-kanak
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hanina Halimatusaadiah Hamsan, berkata penggunaan gajet berlebihan atau berterusan boleh mengakibatkan gejala hampir sama seperti dialami individu ketagihan dadah. Sebagai contoh, kanak-kanak yang bermain permainan melalui gajet, kelakuan mereka akan lebih agresif, pernafasan laju, kelenjar adrenalin dan dopamin meningkat, yang mana kesannya sama seperti ketagihan kokain.
Ketagihan gajet juga boleh menyebabkan kerosakan otak pada kanak-kanak. Ini kerana usia dua hingga lima tahun adalah masa untuk pertumbuhan kanak-kanak, termasuk perkembangan psikososial. Kerosakan otak pada kanak-kanak ini juga boleh mengakibatkan gejala emosi seperti kebimbangan, ketidakjujuran, perasaan bersalah, dan kesunyian. Malah penyelidikan yang dilakukan oleh ‘Smart Parenting’ menunjukkan juga bahawa ketagihan gajet boleh mengakibatkan pelbagai gejala fizikal, seperti insomnia, sakit belakang, peningkatan atau kehilangan berat badan, masalah penglihatan, sakit kepala, dan kekurangan nutrisi.
Menurut Perunding Oftalmologi UiTM Private Specialist Centre, Dr Azlindarita@Aisyah Mohd Abdullah kanak-kanak yang ketagih gajet berisiko menghadapi gangguan saraf optik dan berpotensi untuk hilang penglihatan. Organ kanak-kanak termasuk mata akan mengalami tumbesaran sebelum berhenti sehingga umur mereka berusia 22 tahun. Penggunaan gajet secara berlebihan akan memberi tekanan kepada mata dan membawa implikasi penyakit lebih serius seperti saraf retina boleh tertanggal disebabkan bola mata memanjang.
Kesimpulan
Berasaskan kepada pendapat-pendapat di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa perlu mengambil insiatif menghadkan penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak bagi membendung masalah ini daripada berleluasa. Kanak-kanak merupakan aset negara dan penyambung nadi pembangunan pada masa hadapan. Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah:
- mengawal kekerapan anak menggunakan skrin gajet
- membataskan masa kanak-kanak menggunakan gajet terutamanya dua jam sebelum tidur
- mewujudkan masa berkualiti bersama anak-anak tanpa penggunaan gajet
- sentiasa memeriksa kandungan gajet anak-anak mereka yang berusia tiga hingga 17 tahun
Cegah sebelum parah. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada berguna.