Skip to main content

vcc

DIOKSIN - Bahan Cemar Organik Berkekalan

Oleh: Ahmad Shalihin Mohd Samin

Dioksin merupakan sejenis bahan kimia yang dikategorikan sebagai sangat toksik. Ia adalah hasil sampingan yang terbentuk secara tidak sengaja daripada proses pembakaran dan juga pemecahan bahan kimia organik yang mengandungi klorin (organoklorin). Dioksin dikelaskan dalam pengkelasan bahan cemar berkekalan (Persistent Organic Pollutants atau POPs). Dioksin tidak larut dalam air tetapi melarut dalam tisu lemak. Jangka hayat dioksin adalah antara 5 hingga 10 tahun.

Walaupun pengkelasan sebagai bahan yang sangat toksik ini telah dilakukan 15 tahun lalu, namun kita masih boleh menjumpainya dalam pelbagai produk pengguna dan industri. Tahap toksik dioksin ini telah membuka ruang untuknya digunakan sebagai bahan senjata kimia. Dalam Era Perang Vietnam (1962-71), dioksin yang juga dikenali sebagai Agen Oren telah digunakan oleh tentera Amerika Syarikat secara meluas. Pada tahun 2004, satu insiden membabitkan Presiden ketiga Ukrain, Victor Yushchenko yang dikatakan telah diracun menggunakan dioksin sehingga beliau mengalami klorakne iaitu sejenis kerosakan kulit yang timbul seakan-akan jerawat pada wajah beliau.

Rupa Bentuk Dioksin

Sifat fizikal dioksin ialah hablur jejarum berwarna putih. Struktur kimia utama dioksin adalah terdiri daripada dua gelang benzena yang diikat dengan klorin. Dioksin terdiri daripada beratus-ratus kongener yang dikumpulkan dalam tiga keluarga yang mempunyai struktur kimia yang serupa iaitu dioksin, furan dan dl-PCB (Rajah 1).

ms6 1

Bagaimana Dioksin Terhasil

Dioksin tidak terhasil secara semulajadi. Ia terbentuk sebagai bahan cemar yang dikeluarkan oleh bahan organik lain yang berklorin. Organoklorin banyak digunakan dalam penghasilan racun serangga, racun herba dan racun kulat. Klorin juga digunakan secara konvensional sebagai agen peluntur dalam industri kertas dan pulpa. Selain dari itu klorin digunakan secara meluas untuk merawat air minuman.

Dioksin dibebaskan ke persekitaran daripada proses pembakaran sisa domestik dan industri atau pembakaran bahan api seperti arang, kayu dan minyak termasuk pembakaran sampah sarap di rumah. Pelepasan dioksin dalam kuantiti yang besar turut berlaku apabila hutan terbakar. Pelepasan dioksin sedemikian akan mengakibatkan bahan toksik tersebut masuk ke dalam rantaian makanan. Dalam industri kertas dan pulpa, penggunaan klorin secara intensif sebagai agen peluntur akan melepaskan dioksin ke persekitaran sebagai sisa buangan perindustrian. Ini sekali gus menyumbang penambahan dioksin dalam rantai makanan. Terdapat juga penghasilan dan pelepasan dioksin yang berpunca daripada bencana alam, contohnya letusan gunung berapi.

Dioksin dalam Rantai Makanan

Dioksin yang dilepaskan sama ada daripada pembakaran terbuka, perindustrian, sisa domestik ataupun kebakaran hutan akan melekat pada partikel habuk dan abu yang berterbangan di udara. Apabila habuk dan abu tersebut mendap ke atas tumbuhan, tanah atau punca air, dioksin akan memasuki rantai makanan. Burung-burung, haiwan seperti lembu dan kambing yang meragut dan hidupan air seperti ikan akan makan makanan yang telah tercemar dengan dioksin. Dioksin akan larut di dalam lemak badan haiwan-haiwan berkenaan. Seterusnya apabila manusia memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan daging haiwan termasuk makanan laut, dioksin akan terus memasuki sistem badan manusia secara larut dalam lemak badan manusia. Memandangkan susu juga mengandungi lemak, dioksin boleh ditemui dalam susu. Lebih daripada 90% pendedahan manusia kepada dioksin adalah melalui sumber makanan, terutamanya produk tenusu dan daging, ikan dan kerang-kerangan. Dioksin akan sentiasa bertambah dan melonggok dalam rantai makanan.

Kesan Dioksin Terhadap Kesihatan

Dioksin yang telah memasuki badan melalui bahan-bahan makanan, akan tersimpan di dalam tisu lemak untuk tempoh yang panjang. Organ hati akan cuba untuk menyingkirkan bahan toksik tersebut daripada badan, namun ianya berlaku dalam kadar yang sangat perlahan. Lebih teruk lagi, proses nyahtoksik dioksin ini sendiri akan turut memberikan kesan ketoksikan kepada hati.

Terdapat banyak kajian saintifik yang menunjukkan dioksin adalah agen penyebab kanser. Ianya adalah disebabkan ketoksikannya yang tinggi. Antara kanser yang sering dikaitkan dengan dioksin adalah kanser darah, kanser prostat, kanser testikular dan kanser hati. Selain kanser, dioksin juga boleh menyebabkan masalah reproduktif dan masalah pertumbuhan dalam kalangan bayi. Dioksin juga boleh merosakkan sistem pertahanan badan dan masuk ke dalam sistem hormon manusia.

Dioksin juga merupakan salah satu daripada bahan cemar organik berkekalan yang telah dikenalpasti sebagai bahan kimia pengganggu hormon endokrin (Endocrine Disrupter Chemical, EDC) atau ‘hormon alam sekitar’. Ia mampu untuk meniru hormon yang dikeluarkan oleh kelenjar endokrin dan mengaktifkan proses biologi yang kebiasaannya berlaku secara semulajadi. Pendedahan yang berterusan akan mengganggu keseluruhan fungsi organ di dalam tubuh manusia dan menyebabkan kesan buruk seperti ketidakstabilan hormon dan gangguan sistem pembiakan.

ms7 1