Skip to main content

vcc

Lebah membawa maut!

Oleh: natrah@usm.my

Serangga dari jenis lebah, penyengat, tebuan dan tebuan tanah mempunyai kepentingan perubatan yang besar kerana gigitan atau sengatannya boleh menyebabkan tindakbalas keracunan mendadak serta alahan yang boleh membawa maut. Kebelakangan ini terdapat beberapa laporan akhbar tentang kejadian serangan lebah yang telah meragut beberapa nyawa.

Bagaimana ini boleh terjadi?

Serangga ini adalah jenis serangga dari kumpulan himenoptera yang mempunyai sengat bersambungan dengan saluran kantung racun di segmen hujung badannya. Semasa menyengat, ia meninggalkan kantung racunnya di tapak sengatan supaya bahan racun terus mengalir ke dalam tubuh mangsanya. Sejenis bahan kimia yang disebut pteromone juga ditinggalkan pada mangsanya bagi menarik perhatian lebah lain supaya menyerang mangsa tersebut.

Bahan beracun himenoptera boleh menghasilkan kesan-kesan reaksi setempat dalam masa beberapa jam, antaranya gerakbalas bedan (bahagian sengatan kelihatan timbul), rasa gatal, sakit dan bengkak kemerahan. Kesan-kesan ini akan surut dalam beberapa jam kecuali jika sengatan di mulut atau kerongkong di mana reaksi ini boleh menyempitkan saluran pernafasan. Jika mangsa alah kepada bahan racun tersebut, kejutan anafilaksis akan dialami.

Reaksi alahan ini menjadi ketara antara 30 minit hingga 24 jam selepas disengat. Reaksi luar biasa ini hanya terhasil daripada pembebasan bahan kimia yang dapat menghasilkan kejutan (penurunan tekanan darah), penyempitan sistem pernafasan, ruam menyeluruh dan bengkak pada saluran darah. Ini membuatkan pesakit merasakan sesak nafas, tidak sedarkan diri atau boleh menyebabkan maut. Reaksi ini biasanya dialami pada mangsa alah yang pernah disengat oleh tebuan atau lebah.

Reaksi anafilaksis, walaupun ringan (hanya ruam, lecur dan tidak mengancam nyawa) masih perlu dirawat di hospital atau klinik. Reaksi anafilaksis selalunya berlaku selepas badan menjadi peka (sensitisasi) apabila sedikit alergen terkandung pada racun yang masuk ke dalam tubuh mangsa menghasilkan reaksi pada sel-sel sistem pertahanan badan. Ini menjadikan sistem pertahanan lebih peka (hipersensitif) kepada bahan tersebut apabila didedahkan seterusnya.

Selalunya sengatan pertama atau sengatan sensitisasi ini tidak disedari oleh mangsa kerana ia tidak menghasilkan kesan yang ketara selain daripada reaksi setempat. Keupayaan hipersensitiviti hasil dari sengatan sensitisasi boleh bertahan dari beberapa bulan hingga beberapa tahun.

Apakah langkah-langkah kecemasan yang perlu dilakukan?

  1. Mana-mana bahagian tubuh yang terdedah boleh menjadi sasaran sengatan serangga. Apabila bekerja diluar rumah pastikan anda memakai baju berlengan panjang, seluar panjang dan kasut.
  2. Pakaian bercorak bunga-bunga dan berwarna-warni akan menarik perhatian serangga himenoptera.
  3. Pastikan anda tidak memakai bau-bauan atau minyak wangi atau bahan yang berbau kuat kerana ini boleh menarik perhatian serangga himenoptera.
  4. Apabila berkelah pastikan makanan yang manis atau sisa makanan tidak terdedah kerana ini juga akan menarik perhatian serangga himenoptera.

Apabila mengalami serangan tebuan pergerakan yang perlahan untuk mengelak lebih baik dari pergerakan cepat untuk melarikan diri atau cubaan untuk membunuh serangga tersebut.