Skip to main content

vcc

Malaysia perlu contohi Amiriah Arab Bersatu - UAE beri fatwa merokok haram

Oleh: natrah@usm.my

Dubai 16 Jun - Kementerian Kehakiman dan Hal Ehwal Islam Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengeluarkan fatwa bahawa merokok adalah haram.

Para imam umumnya menyatakan sokongan terhadap fatwa ini menerusi khutbah Jumaat,

Mereka mengemukakan dalil syarie serta bukti perubatan dan saintifik yang menunujukkan merokok adalah punca bagi sekurang-kurangnya 25 janis penyakit yang boleh menyebabkan maut, sebagai contoh penyakit kanser.

Imam menyebut firman dan hadis sebagai bukti kukuh bahawa merokok dilarang oleh syarak. Ia termasuk dalam perbuatan yang dibenci Allah.

Ini berdasarkan hakikat bahawa apa jua yang membawa kerosakan kepada diri dan harta dan kepada masyarakat dianggap maksiat oleh itu temasuk dalam perkara-perkara dilarang dalam Islam. - lina- Bernama.

Umat Islam sering dituntut untuk meneladani apa-apa sahaja yang baik terutama sekali apabila melibatkan kesejahteraan umat manusia. Berdasarkan ini, tindakan yang diambil baru-baru ini oleh Kementerian Kehakiman dan Hal Ehwal Islam Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menetapkan fatwa bahawa merokok itu haram merupakan satu perkara yang perlu diteladani. Malah Malaysia telahpun mengeluarkan fatwa yang sama empat (4) tahun yang lalu (lihat PenawaRacun, Bilangan 12, Januari 1997, tetapi belum lagi terlaksana. Mengikut petikan akhbar yang melaporkan perkara ini (Utusan Malaysia 17 Jun, 1999), para imam UAE umumnya menyatakan sokongan terhadap fatwa ini menerusi khutbah Jumaat baru-baru ini. Mereka mengemukakan dalil syarie serta bukti perubatan dan saintifik yang menunjukkan merokok adalah punca bagi sekurang-kurangnya dua puluh (25) jenis penyakit yang boleh menyebabkan maut, sebagai contoh penyakit kanser. Para imam tersebut juga membandingkan firman AL-Quran dan Hadis sebagai bukti kukuh bahawa merokok dilarang oleh syarak. Menurut mereka ia termasuk perbuatan yang dibenci oleh Tuhan. Mengikut laporan itu lagi, ini berdasarkan hakikat bahawa apa juga kerosakan kepada diri dan harta oleh masyarakat dianggap maksiat dan oleh itu termasuk dalam perkara-perkara yang dilarang oleh Islam.

Masanya telah tiba!

Tindakan yang diambil oleh negara UAE ini sudah semestinya mempunyai implikasi kepada negara-negara Islam yang lain termasuk Malaysia. Apa lagi negeri kita telahpun mempunyai fatwa yang sama. Oleh itu masanya telah tiba fatwa ini diberi mandat sepenuhnya untuk dilaksanakan sepertimana di UAE dan negara Islam lain. Sebarang kelengahan untuk berbuat demikian akan hanya memburukkan lagi keadaan di negara sepertimana yang sering terbaca di dalam akhbar-akhbar tempatan. Sebagai contoh, dalam masa yang terdekat ini sahaja terdapat sekurang-kurangnya tiga (3) berita yang amat mendukacitakan tentang tabiat merokok di kalangan remaja.

  • Alor Setar: 10% pelajar merokok di sekolah (petikan Berita Harian, 11 Jun 1999, hal.22).
  • Kuala Terengganu: Merokok - Terengganu wajib pelajar jalani pemeriksaan (petikan Utusan Malaysia, 9 Jun 1999, hal.1).
  • Muar: Kecenderungan merokok di kalangan pelajar tinggi (petikan Utusan Malaysia, 26 Mei 1999, hal. 1)

Rata-rata petikan berita ini menggambarkan keadaan yang semakin tenat di sekolah-sekolah menengah mahupun di sekolah-sekolah rendah ini terutama sekali di kalangan remaja-remaja Islam. Walaupun ada pihak-pihak menganggap peratusan in adalah kecil, namun ianya sudah cukup membimbangkan jika dikaitkan dengan gejala dadah yang juga turut meningkat di kalangan remaja di negara ini. Jelasnya merokok mempunyai kaitan yang rapat dengan tabiat penagihan kerana merokok itu sendiri sekarang ini sudah diiktiraf sebagai satu jenis penagihan yang setaraf dengan penagihan dadah seperti kokain, amfetamin dan juga heroin.

Dan jika dibandingkan dengan racun dioksin yang meracuni bahan makanan di Eropah baru-baru ini, tembakau adalah lebih merbahaya (sila lihat jadual perbandingan antara tembakau dan dioksin di bawah).

Perbandingan kesan Bahaya Dioksin dan Tembakau
DioksinTembakau
Satu kumpulan bahan kimia yang amat toksik Mengandungi anggaran 4000 jenis racun, sebahagiannya amat toksik seperti sianid, arsenik, racun-racun makhluk perosak. Dioksin juga boleh dihasilkan melalui penggunaan tembakau.
Sejenis bahan yang boleh menghasilkan kanser (karsinogen) Mengandungi lebih daripada 10 bahan yang boleh menghasilkan kanser terutama sekali daripada jenis benzopiren yang terdapat di dalam tar rokok.
Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan kanser (IARC) mengkelaskan dioksin sebagai karsinogen Kelas 1, yakni, "bahan karsinogen bagi manusia" Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat mengkelaskan asap tembakau sebagai karsinogen Kelas A bersama-sama dengan bahan bahaya seperti asbestos, benzen dan gas radon.
Satu bahan pencemaran yang tidak sengaja terbebas di persekitaran melalui proses perindustrian Satu hasil pertanian yang sengaja ditanam untuk tujuan membuat rokok. Berbagai bahan kimia juga sengaja ditambah kepada bahan ini untuk tujuan citarasa, pengawetan mahupun menghasilkan ketagihan.
Terbebas daripada bahan-bahan berklorin seperti PVC apabila dibakar dalam suhu yang amat tinggi Apabila dihisap, asap yang terhasil di penghujung rokok mengandungi berbagai gas beracun seperti karbon monoksid dan hidrogen sianid
Terhad kepada proses perindustrian dan pembakaran (insenarasi) dan dikawal oleh piawaian-piawaian keselamatan industri Bahan-bahan toksik dan partikel-partikel halus dibebabkan semasa merokok untuk menyebabkan fenomena merokok secara pasif. Tiada sebarang piawaian keselamatan dikenakan dalam hal ini.
Tidak dilaporkan menyebabkan ketagihan Mengandungi bahan nikotin sebagai satu dadah yang boleh menyebabkan ketagihan sepertimana dadah kokain, amfetamin dan heroin.
Tidak menyebabkan penyakit lemah tenaga batin ataupun mati pucuk Kajian menunjukkan bahawa tembakau adalah salah satu daripada faktor utama yang menyebabkan kelemahan tenaga batin ataupun mati pucuk bagi orang lelaki

Asia menjadi sasaran

Yang lebih merunsingkan lagi adalah syarikat-syarikat gergasi tembakau kini sedang giat mengarahkan tumpuan sasaran mereka kepada negara-negara di Asia. Mengikut Ketua Pengarah WHO, menjelang tahun 2020, tembakau dijangkakan akan menjadi punca utama kematian dan ketidakstabilan dengan membunuh lebih 10 juta orang setiap tahun dan kebanyakan daripadanya adalah dari rantau ini. Sedangkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, kalangan orang dewasa yang merokok telah dikatakan menurun sebanyak 23% pada tahun 1997. Begitu juga di negara-negara di Kesatuan Eropah yang rata-rata telah mengambil langkah tegas untuk mencegah tabiat merokok di kalangan rakyat mereka. Malah Perdana Menteri Britain, Tony Blair telah mengistiharkan bahawa iklan-iklan tembakau di khalayak ramai akan dihentikan mulai Disember 1999 beberapa tahun lebih awal dari apa yang dipersetujui oleh negara Kesatuan Eropah.

Malangnya di banyak negara membangun seperti Malaysia langkah tegas sedemikian rupa masih belum terlaksana. Tidak boleh dinafikan bahawa iklan banyak mempengaruhi sikap remaja tentang tabiat merokok baik pun secara tidak langsung. Kalau tidak masakan syarikat tembakau mahu membelanjakan ratusan juta ringgit untuk tujuan ini. Oleh itu melalui langkah melaksanakan pengharaman rokok faktor ini akan dapat dikurangkan dengan nyata, sepertimana juga pengiklanan arak di negara ini.N