Skip to main content

vcc

Krim Muka Berbahaya - PRN Menyokong Langkah Kerajaan

Oleh: natrah@usm.my

oleh: Wan Zainal Azman Wan Abdullah

Golongan wanita terutamanya sering berikhtiar untuk memiliki kulit yang licin, gebu dan cerah. Ini disebabkan tanggapan masyarakat bahawa kulit yang sedemikian adalah cantik dan menawan. Mereka akan mencuba pelbagai jenama krim muka yang dapat menjanjikan kulit menjadi lembut dan licin, dan menanggalkan bintik hitam, jagat, tompokan hitam, jerawat dan kedut. Pada hakikatnya mereka tidak sedar bahawa krim pembersih dan pemutih muka yang mereka gunakan sebenarnya boleh merosakkan kulit akibat terdapatnya bahan aktif berbahaya seperti hidrokuinon, raksa dan sebagainya.

Menyedari bahayanya pada pengguna, baru-baru ini Kementerian Kesihatan telah menarik balik semua krim pembersih dan pemutih muka mengandungi hidrokuinon yang tidak berdaftar daripada pasaran negara ini. Ini adalah berikutan aduan dari orang ramai bahawa mereka mengalami radang kulit dan kesan terbakar selepas menggunakan beberapa jenama krim pembersih dan pencuci muka. Hasil daripada siasatan mendapati krim tersebut mengandungi hidrokuinon dan ia dijual tanpa kelulusan. Sekiranya tindakan tidak diambil, sudah tentu barangan tersebut dijual dengan berleluasa kepada pennguna. Yang pasti, pengeluar barangan berkenaan meraih keuntungan tanpa mempedulikan kesannya kepada pengguna. Oleh itu amat wajar sekali Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tersebut bagi menangani masalah ini.

Secara amnya, terdapat pelbagai jenama krim pembersih dan pemutih muka di pasaran. Krim-krim tersebut pula mengandungi berbagai jenis bahan aktif yang digunakan, antaranya hidrokuinon, monobenzil dan monometil hidrokuinon, raksa, asid askorbik dan peroksida. Walau bagaimanapun kebanyakan bahan aktif tersebut digunakan secara terhad sahaja disebabkan kesan sampingannya. Krim yang mengandungi bahan aktif hidrokuinon memang amat berkesan sekali bagi menghilangkan tompokan hitam. Namun kesannya berbeza-beza kepada pengguna. Dalam satu kajian yang telah dijalankan di Amerika Syarikat (Arndt dan Fitzpatrick, 1965), krim yang mengandungi 2% dan 5% hidrokuinon telah diuji ke atas 56 subjek yang mempunyai masalah tompokan hitam pada kulit. 12% daripada jumlah subjek kajian adalah penduduk berketurunan kulit hitam. Ia disapu dua kali sehari selama tiga bulan. Hasil kajian mendapati ia berkesan enghilangkan tompokan hitam pada 44 orang daripada 56 subjek kajian. Krim yang mengandungi 5% hidrokuinon telah dilaporkan memberi kesan sampingan (rengsa pada kulit). Manakala krim berkepekatan 2% hidrokuinon, pesakit mengadu hanya mengalami sedikit rengsa kulit. Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa krim ini hanya sesuai untuk pengguna berkulit cerah dan tompokan yang sedikit. Ia amat berkesan untuk rawatan bagi peringkat awal pembentukan bintik hitam. Dari kajian ini mendapati hidrokuinon menyekat pengeluaran melanin oleh melanosit di dalam epidermis. Ia juga menembusi kulit dan menyebabkan penebalan gentian kolagen.

Kesan sampingan hidrokuinon adalah sedikit sahaja jika digunakan pada kepekatan yang rendah tetapi kesan terbakar boleh berlaku jika digunakan pada kepekatan yang tinggi. Sekiranya diguna dalam tempoh masa yang panjang digabungkan pula dengan pendedahan kepada cahaya matahari, ia boleh mengakibatkan penghasilan tompokan dan bonjolan kekuningan pada kulit atau dikenali sebagai okronosis. Kerosakan ini mungkin akan berkekalan pada kulit kerana tidak ada apa yang boleh dilakukan untuk mengembalikan semula proses ini.

Hidrokuinon bukan sahaja berbahaya sekiranya digunakan pada kulit malahan jika termakan ia boleh menyebabkan keracunan yang serius. Sekiranya termakan kepekatan sebanyak 5 - 15 gram boleh menyebabkan gelugut dan hemolytic anemia (kerosakan sel darah merah).

Oleh yang demikian pengguna harus berwaspada dengan apa jua barangan kosmetik yang digunakan. Dapatkan dari pembekal yang berdaftar serta nasihat pegawai farmasi atau doktor sebelum menggunakan krim pembersih muka dan membaca label dengan teliti.