Skip to main content

vcc

Nitrofuran dalam Industri Ternakan

Oleh: Wan Zainal Azman Wan Abdullah

Baru-baru ini heboh dilaporkan dalam akhbar tempatan tentang penggunaan sejenis kelas antibiotik dalam industri ternakan yang didakwa boleh menyebabkan barah dan radang otak. Antibiotik yang dimaksudkan ini ialah nitrofuran. Menurut sumber, antibiotik tersebut telah digunakan secara meluas oleh para penternak ayam di negara kita bertujuan untuk mengawal jangkitan kuman bakteria di samping mempercepatkan tumbesaran ayam. Berbagai reaksi yang bercanggah telah ditimbulkan oleh berbagai pihak termasuk Persatuan Pengguna dan badan-badan kerajaan. Persatuan Pengguna pada satu pihak mengesyorkan pengharaman antibiotik ini manakala Jabatan Perkhidmatan Verterinar serta seorang pakar dari Universiti Pertanian Malaysia pula masih mahukan antibiotik ini digunakan tetapi dengan cara yang lebih terkawal. Keadaan ini telah banyak menimbulkan kekeliruan.

Nitrofuran merupakan sejenis antibiotik yang sering digunakan pada haiwan dan manusia bagi mengawal jangkitan. Ia didapati amat berkesan untuk melawan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria seperti Salmonella sp., Mycoplasma sp., Coccidia sp., Escherichia coli, coliform, enterococci dan kebanyakan spesis protozoa. Bakteria-bakteria ini sering menyebabkan gangguan atau penyakit seperti cirit-birit, demam taun, jangkitan saluran kencing dan saluran usus. Di antara nitrofuran yang didapati di pasaran ialah furazolidon, furaltadon dan nitrofurantoin. Ketiga-tiga antibiotik inilah yang biasa digunakan pada haiwan ternakan tetapi hanya furazolidon dan nitrofurantoin sahaja yang masih digunakan pada manusia. Penggunaan antibiotik tersebut secara berleluasa telah dilaporkan mula menyebabkan pertumbuhan bakteria yang rintang terhadap antibiotik.

Nitrofuran yang digunakan dalam industri ternakan seperti furazolidon dan furaltadon, didapati terlalu toksik jika digunakan secara suntikan. Walau bagaimanapun apabila diberikan melalui campuran makanan dan minuman, kedua-duanya didapati tidak mendatangkan kemudaratan kerana sifatnya yang tidak dapat diserap oleh saluran penghadaman haiwan ternakan. Nitrofurantoin pula boleh diserap oleh saluran penghadaman tetapi cepat dikumuhkan melalui air kencing. Penggunaannya pada haiwan ternakan untuk tujuan dimakan adalah dilarang sama sakali.

Kajian yang dilakukan terhadap haiwan makmal seperti tikus belum dapat mengesahkan keupayaannya mengakibatkan barah. Namun demikian, kajian lain yang dilakukan terhadap bakteria (sistem ujian khas menggunakan bakteria) telah menunjukkan suatu unsur dalam nitrofurantoin yang dipercayai boleh mengakibatkan barah. Berdasarkan kepada penemuan ini, beberapa negara telah mengharamkan penggunaan nitrofurantoin dan sebatiannya dalam haiwan ternakan.

Sehingga keputusan muktamad dicapai oleh kerajaan, PRN ingin mengesyorkan tiga langkah yang boleh diikuti oleh penternak serta pengguna bagi mempastikan keselamatan pengguna:

  1. Antibiotik seboleh-bolehnya hanya digunakan apabila keadaan benar-benar memerlukannya iaitu untuk merawat atau melindungi haiwan ternakan daripada jangkitan yang serius. Dan bukan untuk tujuan lain.
  2. Apabila digunakan dos antibiotik haruslah berdasarkan kepada sukatan yang disarankan. Ini bertujuan untuk mempastikan dos optima dapat diberikan tanpa menyebabkan kesan sampingan kepada ternakan dan juga pengguna. Jadual di bawah memberikan garis panduan umum berkenaan pemilihan antibiotik untuk ternakan-ternakan tertentu berserta dengan sukatan dosnya. Namun begitu, penternak dinasihatkan agar merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan terlebih dahulu sebelum menggunakan satu-satu antibiotik serta untuk mendapatkan panduan penggunaan yang lebih khusus.
    AntibiotikHaiwan TernakanDos
    Furaltadon Ayam/Itik/Ayam Belanda 10-40g/100 liter air minuman
    Furazolidon Anak Lembu(dimakan) 10mg/kg setiap hari
    400g/tan bahan makanan
    Khinzir 15-25g/100 liter air minuman
    200-600g/tan bahan makanan
    Anak Khinzir (dimakan) 50-200 mg setiap hari
    Ayam/Ayam Belanda 15-25g/100 liter air minuman
    100-400g/tan bahan makanan
    Itik/Arnab l00g/tan bahan makaiian
    Nitrofurantoin Kuda Dos permulaan 4.4 mg/kg diikuti 2.2 mg/kg 3 kali sehari
    The Verterinary Formulary. London: Pharmaceutical Press 1991
  3. Jangkamasa penyembelihan ternakan harus dipatuhi sekiranya antibiotik digunakan ke atas ternakan. Ternakan yang diberi rawatan antibiotik perlu dibiarkan untuk satu jangkamasa tertentu sebelum disembelih untuk dimakan. Jangkamasa menunggu tersebut bergantung kepada jenis ternakan yang dipelihara atau antibiotik. Sebagai contoh untuk sejenis furazolidon, ayam yang telah diberikan antibiotik ini terpaksa menunggu selama 7 hari sebelum boleh disembelih. Menurut kajian yang telah dijalankan, antibiotik ini biasanya telah pun diurai dan dinyah keluar dari badan selepas tempoh tersebut. Oleh yang demikian, selepas tempoh jangkamasa ini segala hasilan ternakan adalah sesuai dan selamat untuk dimakan sekiranya pemberian antibiotik adalah mengikut arahan dan dos yang disyorkan.

Kepada pengguna pula dinasihatkan supaya berwaspada memakan organ-organ dalaman ternakan terutamanya usus dan perut sekiranya furazolidon atau furaltadon digunakan dalam haiwan ternakan dan haiwan disembelih serta merta kerana antibiotik tersebut masih lagi kekal dalam usus.