Tindakan Segera Semasa Keracunan
Apabila anda syaki keracunan berlaku, bertindaklah dengan seberapa SEGERA! Jangan tunggu sehingga tanda-tanda keracunan berlaku. Apabila keracunan, lambat bertindak boleh membawa maut!
Jika TERHIDU bahan beracun....
Bawa mangsa keracunan keluar ke kawasan lapang dengan segera. Elak daripada menghidu bahan itu semula. Buka pintu dan tingkap dengan luas. Jika mangsa tidak dapat bernafas, mulakan pernafasan bantuan.
Jika KULIT terkena bahan beracun.....
Tanggalkan pakaian yang tercemar dan basuh kulit secepat mungkin dengan air bersih sebanyak mungkin selama sekurang-kurangnya 10 minit. Kemudian basuh kulit dengan sabun (jika kulit tidak melecur) dan jirus dengan air bersih.
Jika MATA terkena bahan beracun.....
Cuci mata dengan menuangkan air suam dari bekas (gelas) pada jarak 2 hingga 3 sm dari mata. Ulang langkah ini sekurang-kurangnya untuk 15 minit. Suruh mangsa mengelip-gelipkan mata beberapa kali semasa mencuci mata. Jangan dipaksa membuka mata.
Jika TERTELAN bahan beracun.....
Jika bahan tersebut adalah daripada kumpulan ubat-ubatan, elakkan memberi apa-apa melalui mulut sehingga nasihat tentang keracunan tersebut diperolehi terlebih dahulu.
Jika bahan tersebut adalah bahan atau sediaan kimia yang digunakan di rumah, berikan segera minuman susu atau air kecuali mangsa tidak sedar diri, tidak berupaya menelan atau berlakunya sawan. Kemudian, dapatkan bantuan nasihat daripada PRN atau lain-lain para profesional perubatan dan farmasi bagi menentukan tindakan lanjut yang perlu diambil.