Skip to main content

vcc

Kempen Keselamatan dan Pencegahan Kecederaan

Oleh: natrah@usm.my

Enam (6) Petua Mengecah Keracunan Kanak-Kanak

Keracunan kanak-kanak berlaku apabila bahan kimia terutamanya produk-produk isi rumah dan ubat-ubatan digunakan oleh kanak-kanak tanpa sebarang pengawasan atau bermula daripada kelalaian.

  1. Kunci semua bahan-bahan berbahaya di tempat yang selamat dan letakkan pada paras yang tinggi jauh daripada jangkauan kanak-kanak. Ini termasuklah bahan-bahan pencuci, racun-racun makhluk perosak dan juga produk-produk seperti semburan nyamuk dan sebagainya.
  2. Simpan semua ubat dalam bekas bertutup, sebaiknya yang mempunyai penutup keselamatan yang sukar untuk dibuka oleh kanak-kanak. Sekiranya ubat perlu disimpan dalam peti sejuk, tentukan ia tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak dan tidak juga diletakkan bersama barang-barang makanan seharian. Tentukan juga setiap ubat mempunyai label yang jelas dan mudah dibaca.
  3. Segala bekas-bekas kosong yang mengandungi racun dan ubat perlu dibuang. Sekiranya masih mengandungi bahan-bahan berbahaya, tentukan kandungan bekas tersebut dikosongkan terlebih dahulu. Buang semua bahan-bahan racun di tempat yang selamat ataupun di tempat-tempat khas yang disediakan untuk tujuan tersebut.
  4. Sekiranya menggunakan bahan-bahan kimia kawalan makhluk perosak seperti pembunuh serangga, tentukan setiap bahan ini disorokkan jauh daripada penglihatan dan jangkauan kanak-kanak. Ini termasuklah ubat gegat, racun tikus dan semburan serangga.
  5. Apabila membeli bahan kawalan makhluk perosak, pilihlah jenama yang tidak menyerupai bahan-bahan makanan terutama sekali seperti gula-gula ataupun yang mempunyai bau-bauan dan rasa yang menyerupai bahan-bahan makanan. Ini boleh mengelirukan kanak-kanak.
  6. Tentukan semua tumbuh-tumbuhan yang diletakkan di dalam rumah atau di sekelilingnya adalah daripada jenis yang tidak mengandungi racun baik apabila dimakan mahupun apabila tersentuh. Bagi tumbuhan lain, tentukan bahan-bahan baja ataupun racun-racun tanaman yang digunakan tidak terdedah kepada kanak-kanak. Letakkan tumbuh-tumbuhan ini jauh daripada tempat-tempat aktiviti seharian kanak-kanak.