Pendedahan Vape Terhadap Kanak-kanak
Sejak vape dibawa masuk ke Malaysia secara komersial bermula tahun 2015, Talian Kecemasan Keracunan oleh Pusat Racun Negara telah menerima pelbagai pertanyaan tentang kes pendedahan vape termasuklah yang melibatkan kanak-kanak.
Berikut adalah beberapa kisah yang diterima melalui Talian Kecemasan Keracunan Pusat Racun Negara yang boleh diambil pengajaran daripadanya:
- Seorang kanak-kanak berusia 9 tahun sudah menjadi penghisap vape tegar dan telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami demam panas yang sangat tinggi (lebih 40°C) dan ruam di seluruh badan serta sukar bernafas selepas mencuba satu perisa baru vape yang dibelinya secara dalam talian.
- Kanak-kanak berusia 13 tahun mengalami sawan yang teruk selepas mencuba vape kawannya yang dibeli dari sumber yang tidak diketahui. Sawan yang dialami tidak dapat reda dengan ubat sawan biasa.
- Dua orang pelajar sekolah berusia 15 dan 17 tahun telah mengalami sawan selepas mencuba beberapa hisapan vape pada masa yang sama. Pelajar mendakwa vape tersebut berperisa mushroom dan diberi oleh kawan.
Sebahagian besar kes kanak-kanak terminum cecair vape yang dirujuk kepada PRN berusia kurang dari 5 tahun. Majoriti kanak-kanak ini mengalami gejala seperti muntah, mengantuk, cirit birit, sakit perut dan kulit menjadi kemerah-merahan.
Terdapat beberapa kes kanak-kanak kecil berusia lingkungan 1-2 tahun yang cuba menghisap vape. Lantas dibawa ke hospital dengan segera oleh ibubapa mereka. Ada yang mengalami gejala ada juga yang tidak. Apa pengajarannya? Kanak-kanak dalam usia ini hanya mampu meniru apa yang orang dewasa lakukan tanpa
mengetahui akibat daripada perbuatan yang dilakukan. Dalam hal ini, ibubapa sepatutnya lebih prihatin terhadap isu begini. Sekiranya vape dianggap tidak berbahaya mengapa kanak-kanak tersebut perlu dibawa ke hospital? Fikir-fikirkan lah...
Adakah kita mahu ahli keluarga kita turut sama dalam statistik ini? Penjualan vape sudah berleluasa, kedai vape tumbuh mengalahkan kedai runcit di setiap kawasan. Seolah-olah vape itu satu keperluan!
Tahukah anda bahawa nikotin iaitu sejenis racun berjadual adalah ramuan asas dalam kebanyakan cecair vape? Adakah kita bersedia menghadapi fenomena ketagihan nikotin yang melampau-lampau selepas ini? Anak kecil, pelajar sekolah, anak gadis mahupun si ibu yang mengandung tidak segan silu menagih nikotin dengan menghisap vape!
Tidak perlu tunggu 3 tahun lagi untuk menyaksikan kerosakan anak bangsa Malaysia menjadi hamba nikotin. Bukti telah terang lagi nyata, dalam hanya 3 tahun, iaitu 2016 hingga 2019, pengguna vape telah meningkat sebanyak SETENGAH JUTA.
Justeru itu, Pusat Racun Negara menyokong sepenuhnya RUU Kawalan Produk Merokok 2022 yang juga merangkumi kawalan ke atas vape dan seumpamanya demi masa depan generasi kita akan datang.