Skip to main content

vcc

BEROCCA - Mengapa Air Kencing Menjadi Kuning Pekat?

Oleh: Mohd Fadhli Razali

ms3 1

Sekiranya anda mula mengamalkan pengambilan multivitamin contohnya Berocca (multivitamin yang tular di media sosial kerana diamalkan oleh YAB Tun Dr. Mahathir atau mana-mana jenama multivitamin lain, anda mungkin akan mendapati warna air kencing anda bertukar menjadi warna kuning yang sangat pekat beberapa jam selepas mengambil multivitamin ini. Jangan panik! Ia tidak semestinya menunjukkan anda mempunyai masalah buah pinggang atau masalah kesihatan yang lain.

Multivitamin mempunyai kandungan vitamin yang pelbagai. Kebiasaannya mengandungi beberapa jenis vitamin B (vitamin B1, B2, B3, B5, B6, B7, B9 dan B12), vitamin C dan vitamin yang lain. Bahan yang menyebabkan air kencing bertukar menjadi warna kuning pekat adalah vitamin B2 atau nama lain, Riboflavin.

Perkataan ‘flavin’ dalam Riboflavin berasal daripada perkataan latin, flavus yang bermaksud ‘kuning’. Riboflavin secara semulajadi memang terkandung dalam makanan yang kita ambil. Ia merupakan vitamin yang penting untuk memberikan tenaga kepada kita. Riboflavin berwarna kuning dan apabila terdedah kepada cahaya UV ia akan menjadi ‘fluorescent’.

Tubuh manusia selalunya akan menyingkirkan bahan berlebihan yang tidak diperlukan apabila kandungannya sudah mencukupi dalam tubuh. Ini termasuklah riboflavin yang terkandung dalam multivitamin. Apabila riboflavin yang diambil sudah berlebihan, tubuh akan menyingkirkannya ke dalam air kencing. Sebab itulah air kencing anda bertukar menjadi warna kuning yang pekat!