Skip to main content

vcc

Penggunaan Antibiotik Secara Rasional

Oleh: Dr Mohd Izham Mohd Ibrahim

sudut idpis

Antibiotik adalah kelas ubat-ubatan yang digunakan dalam mengubati penyakit berjangkit yang disebabkan oleh kuman bakteria. Antibiotik bertindak dengan cara membunuh bakteria (bakterisid) atau merencat pertumbuhan bakteria (bakteriostatik) bagi membolehkan sistem ketahanan tubuh memusnahkannya.

Jadual 1: Kelas-kelas Utama Antibiotik

KelasContoh
Sulfonamida sulfametaksazol, sulfasetamida, sulfadoksin
Penisilin ampisilin, amoksisilin, kloksasilin
Sefalosporin sefoperazon, seftazidim, sefuroksim
Aminoglikosida gentamisin, neomisin, streptomisin
Makrolid eritromisin
Linkosarnida klindamisin
Tetrasiklin tetrasiklin, minosiklin
Kuinolon asid nalidiksik, perfloksasin
Lain-lain kloramfenikol, ko-trimoksazol

Penemuan dan penciptaan antibiotik yang bermula pada tahun 1935 dianggap sebagai magic bullets (peluru ajaib) kerana dapat membunuh bakteria dan seterusnya menyelamatkan penduduk dunia dari kesengsaraan. Hasil penemuan ini didapati berupaya mengurangkan kematian manusia akibat jangkitan penyakit yang diperhatikan pada abad ke-18 hingga 20 apabila seluruh dunia mengalami masalah penyakit berjangkit yang serius seperti penyakit kelamin, pneumonia, cirit-birit, meningitis, wabak bubonik, batuk kering, demam kuning, tifus dan taun yang telah membunuh jutaan manusia. Walau bagaimanapun, pakar perubatan kini menjadi gusar kerana zaman keemasan antibiotik hampir musnah akibat kerintangan bakteria terhadap ubat antibiotik.

Mengapakah masalah kerintangan bakteria terhadap antibiotik menjadi begitu serius? Fenomena ini amat penting kerana apabila bakteria menjadi rintang atau tidak sensitif terhadap antibiotik tertentu, maka ubat tersebut tidak lagi berkesan terhadap penyakit atau kelompok pesakit tertentu yang berlaku dalam sesuatu kawasan. Masalah ini telah menyebabkan ramai pesakit gagal disembuhkan oleh antibiotik tersebut. Kerintangan bakteria terhadap antibiotik kini telah menjadi masalah utama di seluruh dunia. Contohnya, dalam satu wabak tifus di India pada tahun 1989 yang melibatkan lebih daripada 500 kes, masalah kerintangan kepada antibiotik utama (kloramfenikol) bagi penyakit tifus telah berlaku pada 83% kes-kes tersebut. Hampir setengah dari jumlah pesakit ini adalah kanak-kanak dan wabak ini telah mengorbankan 12 nyawa, 3 daripadanya adalah kanak-kanak.

Masalah kerintangan serta penyebaran bakteria rintang ke kawasan lain adalah amat membimbangkan. Punca utama masalah ini disebabkan oleh penggunaan antibiotik secara tidak rasional oleh pengamal-pengamal kesihatan atau pesakit seperti menggunakan: antibiotik untuk jangkamasa yang terlalu singkat; pada dos yang tidak tepat; atau untuk penyakit yang tidak memerlukannya.

Sesetengah antibiotik pula diperolehi oleh orang ramai dari kedai farmasi komuniti atau sumber-sumber lain tanpa preskripsi atau nasihat doktor. Perbuatan ini adalah menyalahi undang-undang. Kegagalan mengubati penyakit berjangkit menggunakan antibiotik pilihan akan membawa bencana kepada rakyat sesuatu negara. Dalam hal ini, antibiotik memainkan peranan yang sangat penting dalam meningkatkan tahap kesihatan rakyat. Tambahan pula, kebanyakan negara dunia ketiga sering diancam oleh penyakit berjangkit menerusi masalah kemiskinan, pemakanan tak seimbang, sanitasi yang buruk dan keadaan kawasan perumahan yang tidak baik.

Justeru itu adalah disarankan supaya kedua-dua belah pihak iaitu pengamal perubatan dan orang ramai dapat mengamalkan cara penggunaan ubat antibiotik yang betul. Di bawah ini adalah garispanduan umum untuk orang ramai semasa menggunakan antibiotik.

Peringatan Am

  • Antibiotik hanya boleh didapati melalui preskripsi doktor yang sah.
  • Antibiotik yang dipreskripsi hanya boleh digunakan bagi penyakit berjangkit yang dialami pada masa itu sahaja.
  • Ambil/makan antibiotik untuk tempoh yang disarankan (hingga habis). Jangan berhenti mengambil ubat walaupun anda telah merasa sihat.
  • Bagi antibiotik yang perlu diambil semasa perut kosong, ambil ubat ― jam sebelum mengambil makanan atau 1 jam selepas makan. Ini adalah untuk memastikan keberkesanan ubat tersebut.
  • Antibiotik boleh mengakibatkan keracunan. Oleh itu, simpanlah semua ubat jauh dari kanak-kanak. Jangan ambil berlebihan. Buang semua kandungan ubat lama atau yang tidak diperlukan ke dalam tandas.
  • Antibiotik hanya berkesan jika diambil seperti yang telah disarankan oleh doktor atau ahli farmasi.
  • Berjumpa doktor atau ahli farmasi dengan segera jika anda mengalami kesan sampingan semasa mengambil antibiotik.