Skip to main content

vcc

Sinaran Laser Dalam Permainan Boleh Membahayakan

Oleh: natrah@usm.my

Penggunaan laser yang meningkat dalam permainan kanak-kanak boleh merupkan satu risiko kesihatan bagi mereka. Ini memandangkan kanak-kanak secara semulajadi mempunyai naluri ingin tahu yang berlebihan dan mungkin merenung kepada sinaran laser tersebut tanpa menyedari bahayanya. Ini adalah pendapat seorang pakar oftalmologi di Hospital Queen Mary, Hong Kong. Lagi pun sinaran laser tersebut boleh dipancarkan daripada jarak beberapa meter jauh ke mata kanak-kanak lain semasa bermain.

Pancaran laser boleh mengakibatkan kebakaran retina mata terutama sekali apabila dipancarkan untuk jangkamasa agak lama dan sekiranya kuasa laser tersebut agak tingi. Bandingan satu (1) miliwatt (mW) kuasa laser yang pancarannya difokuskan kepada sesuatu sasaran adalah 100 kali ganda lebih cerah daripada sinaran matahari.

Baru-baru ini, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam siaran akhbarnya melaporkan bahawa sesetengah laser mempunyai kuasa yang lebih daripada apa yang dimaklumkan oleh pengilangnya. WHO mahukan satu pengkelasan laser yang lebih tepat digunakan supaya pihak yang berkuasa dapat menguatkuasakan pengawalan terhadap penggunaan sinaran tersebut.

Secara umum, kuasa laser yang digunakan dalam permainan kanak-kanak perlu dihadkan supaya ia tidak mendatangkan apa-apa kerosakan mata. Ini terhad kepada kuasa laser Kelas 1 sahaja, yakni jauh lebih rendah daripada 1 mW. Maklumat ini mesti dicatatkan pada barang permainan tersebut. Kuasa laser kelas lain yang mempunyai kuasa lebih tinggi tidak boleh dijual kepada kanak-kanak mengikut sumber tersebut.