Siri Tumbuhan Beracun 9 - Pokok Biak
Oleh: Razak Haji Lajis & Adenan Jaafar
M itragyna speciosa atau pokok biak adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari Asia Tenggara dan merupakan tumbuhan asli di Thailand dan Malaysia. Di Malaysia ia banyak terdapat di negeri-negeri sebelah utara semenanjung dan pantai timur. Ia hidup subur di kawasan bertanah lembab yang mempunyai kandungan humus yang tinggi. Kebanyakannya ditemui tumbuh secara liar di kawasan-kawasan hutan dan persekitaran kampung.
Bahan Toksik
Mitragynine merupakan sebatian aktif yang banyak terdapat dalam daun biak. Ia adalah sejenis alkaloid yang hampir menyerupai yohimbin, psilosibin dan
asid lisergik dietilimida (lysergic acid diethylamide - LSD). Sebatian-sebatian ini mempunyai kesan rangsangan dan psikoaktif terhadap penggunanya. Hampir separuh daripada 0.5 peratus kandungan alkaloid yang berada di dalam daun biak adalah mitragynine. Terdapat sekurang-kurangnya 24 alkaloid lain yang telah dikenalpasti. Diantaranya ialah ajmalicine, corynanthedine, mitraphylline, mitraversine, isomitraphylline, paynanthesine, speciophylline, speciofoline dan speciogynine.
Kesan mitragynine dikatakan setanding dengan kokain iaitu ia menyebabkan rangsangan pada dos yang kecil dan mempunyai ciri-ciri narkotik dalam dos yang tinggi. Terdapat kajian yang menunjukkan mitragynine mungkin menggunakan tapak reseptor yang sama seperti opiat atau heroin. Dengan itu ia dapat menghasilkan kesan yang sama dan dapat memuaskan rasa ketagihan terhadap opiat.
Daun tumbuhan ini digunakan sama ada dengan cara dihi-sap, diminum seperti teh atau diekstrak bagi mendapatkan resinnya. Kesan tumbuhan ini dikatakan mampu bertahan selama beberapa jam dan beberapa helai daun tumbuhan tersebut mampu untuk memberi kesan yang dikehendaki. Daun biak dilaporkan pernah digunakan sebagai ubat demam dan sebagai bahan penahan sakit.
Memakan daun biak yang banyak secara mendadak boleh menyebabkan seseorang itu mengalami rasa khayal (euforia) dan rangsang sistem saraf pusat. Dos yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang itu muntah muntah, rasa pening dan mengantuk. Penggunaan berterusan akan menyebabkan bibir dan kulit menjadi hitam. Kulit juga mungkin menjadi kering. Walaupun tiada laporan yang menunjukkan daun biak berupaya mengakibatkan perubahan tingkahlaku atau perubahan fizikal yang teruk, sindrom penarikan (withdrawal syndrome) boleh berlaku. Walau bagaimanapun sindrom ini dikatakan lebihringan dari yang dihasilkan oleh bahanbahan opiat yang lain.
Mereka yang mengamalkan memakan daun biak percaya ia dapat meningkatkan daya tahan terhadap bahang panas matahari disamping dapat
meningkatkan daya tenaga untuk bekerja lebih lama.
Kegunaan lain
Daun biak pernah juga digunakan untuk merawat luka. Untuk tujuan tersebut, daun biak yang telah ditumbuk lumat disapu pada tempat yang sakit. Adunan daun biak disapu pada perut kanakkanak yang mengalami gangguan cacing. Salah satu kesan sampingan ringan yang dikenalpasti ialah sembelit dan ciri ini digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat cirit-birit.
Terdapat rawatan secara tradisional yang menggunakan daun biak sebagai agen untuk mengawal ketagihan terhadap bahan opiat. Untuk tujuan tersebut daun biak segar akan dikunyah sama ada secara bersendirian ataupun bersama buah pinang. Kadangkala ia dihisap seperti candu.
Pengamal perubatan tradisional yang menggunakan daun biak untuk merawat ketagihan opiat turut menggunakan jampi-serapah dan ayat-ayat Quran dalam cara pengubatan tersebut. Selain daripada daun biak, beberapa jenis tumbuhan lain yang turut digunakan dalam adunan rawatan tersebut. Terdapat laporan yang menyatakan daun biak ini juga berkemampuan untuk merawat penagih heroin.
Mitragynine pernah dikaji oleh sebuah syarikat ubat tetapi kajian tersebut tidak dapat diteruskan kerana kesan sampingan yang berlaku. Walau bagaimanapun bagi mereka yang telah lama mengamalkan memakan daun ini kesan sampingan tersebut tidak lagi menjadi masalah terhadap mereka kerana mereka telah menjadi tolerans kepada kesan sampingan tersebut.
Famili: Rubiaceae Nama saintifik: Mitragyna speciosa, KORTH Nama tempatan: Biak, Kratom, Ketum, Ketong Daun: Hijau berkilat, berbentuk eliptik atau bujur telur, berpasangan atau bertentangan tiga, panjang di antara 3 hingga 20 cm, lebar – 2 hingga 12 cm, urat daun – 11 hingga 17 pasang, permukaan atas licin dan tidak berbulu, permukaan bawah sedikit berbulu Batang: Berkayu keras dan bercabang. Ketinggiannya boleh mencapai 25 m. Garis pusat batang pokok ini boleh mencapai hingga 1 m. Bunga: Jambak bunga membentuk sfera, setiap bunga berbentuk tiub kecil berwarna kuning Buah: Bentuk sfera, bergaris pusat 2 hingga 3 cm, biji lebih kurang 1 mm panjang dengan sayap nipis di kiri-kanan |