Saban hari, kejadian keracunan yang tidak disengajakan berlaku disekeliling kita. Antara punca keracunan adalah kecuaian—terutamanya dalam pengendalian dan penyimpanan produk kegunaan isi rumah. Tidak dapat dinafikan bahawa kita hidup dengan dikelilingi racun. Lebih membimbangkan, ramai yang masih ambil mudah berkenaan kewujudan bahan-bahan yang berpotensi menyebabkan keracunan di dalam rumah sehinggalah berlaku keracunan melibatkan ahli keluarga sendiri.
Kebanyakan produk kegunaan isi rumah mengandungi bahan kimia yang boleh dikelaskan sebagai merengsa, menghakis, mudah meletup, mudah terbakar atau beracun. Contohnya produk-produk bahan pencuci pakaian dan pinggan mangkuk, disinfektan, pencuci longkang, peluntur pakaian, pelarut seperti thinner dan lain-lain. Lumrahnya, produk ini tidaklah membahayakan sekiranya digunakan dan disimpan dengan cermat, namun, sekiranya tertelan, terhidu atau terkena pada kulit dalam jumlah yang banyak, ia berpotensi untuk menyebabkan keracunan bergantung kepada jenis bahan kimia yang terkandung di dalamnya. Bagi mengurangkan risiko keracunan, produk-produk ini seharusnya mempunyai label yang lengkap agar dapat memberi peringatan kepada pengguna supaya
mengendalikannya secara selamat.
Label produk berfungsi untuk memberikan maklumat lengkap berkaitan produk kepada pengguna. Antara maklumat penting yang seharusnya tertera pada label
ialah maklumat berkaitan bahan kimia atau bahan aktif produk, cara penggunaan, simbol amaran bahaya, tarikh pengilangan, tarikh luput dan lain-lain.
Ads:
Maklumat berkaitan bahan aktif produk pada label amat penting bagi memastikan pengguna tahu apa yang mereka beli dan secara tidak langsung ia membantu memberi amaran kepada pengguna untuk mengendalikannya dengan selamat. Maklumat ini juga sangat berguna dalam kes-kes kecemasan keracunan kerana ia dapat membantu Pusat Racun Negara (PRN) dan petugas kesihatan yang terlibat dalam memberikan rawatan yang sesuai dan tepat kepada mangsa keracunan.
Tidak seperti produk perubatan atau kosmetik yang dikawal pendaftaran dan penjualannya oleh Kemeterian Kesihatan Malaysia, produk kegunaan isi rumah tidak perlu didaftarkan kepada mana-mana badan berautoriti di Malaysia. Sehingga kini, tiada peraturan yang mewajibkan pelabelan lengkap yang memerlukan syarikat pengeluar untuk menyatakan kandungan bahan kimia aktif yang digunakan dalam produk mereka. Keadaan ini mengakibatkan pengguna membeli produk tersebut tanpa mengetahui risikonya. Senario ini diburukkan lagi dengan lambakan produk kegunaan isi rumah yang dijual di dalam talian. Kebanyakan produk-produk ini dijual tanpa label yang lengkap malahan ada yang ditulis dalam bahasa asing yang tidak difahami. Pengguna mungkin bergantung semata-mata pada gambar atau grafik yang terdapat pada bekas produk tersebut. Tidak dinafikan terdapat pengeluar produk kegunaan isi rumah terutama yang membawa jenama antarabangsa sememangnya telah komited dalam menyediakan maklumat lengkap pada produk mereka dan seharusnya menjadi contoh, namun ianya adalah bersifat sukarela dan tidak menggambarkan satu amalan piawai di negara ini.
Di negara-negara Eropah contohnya, penggunaan bahan kimia di dalam produk pencuci dikawal di bawah ‘Cassification, Labelling and Packaging (CLP) Regulation’ yang mengawal pengkelasan, pelabelan dan pembungkusan bahan kimia. Di bawah CLP regulation, produk yang mengandungi bahan kimia berbahaya perlu dilabel dengan simbol piktogram dan penerangan yang lengkap tentang simbol tersebut. Selain itu, label produk juga perlu mengandungi maklumat berkaitan bahan aktif yang digunakan berserta jumlah yang sepatutnya digunakan. PRN prihatin dengan kadar kes keracunan membabitkan produk bahan kimia isi rumah yang tinggi yang diterima saban tahun. PRN menggesa agar pihak bertanggungjawab agar dapat mencontohi kaedah kawalan produk bahan kimia isi rumah yang diamalkan di negara-negara tersebut demi keselamatan pengguna.
Senario berkaitan regulasi label produk bukanlah sesuatu yang dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat, namun usaha ke arah itu sepatutnya boleh dimulakan untuk memastikan keselamatan diri dan keluarga. Pengguna pula perlu lebih cakna dengan sentiasa membaca, memilih dan membeli produk yang mempunyai label lengkap. Anda berhak membuat pilihan yang bijak, pastikan anda tahu apa yang anda beli.