Skip to main content

vcc

Mengenali Kloramfenikol

Oleh: natrah@usm.my

Penemuan ubat-ubatan jenis kloramfenikol dalam daging ayam yagn dilaporkan baru-baru ini telah menimbulkan banyak reaksi daripada berbagai pihak. Dalam hal ini, ada baiknya jika maklumat-maklumat yang lebih terperinci tentang ubat-ubatan tersebut diketahui umum supaya satu penilaian yang lebih objektif dapat dilakukan oleh para pengguna.

Kesan sampingan

Namun demikian, sepertimana semua ubat, kloramfenikol mempunyai kesan-kesan sampingannya tersendiri seperti rasa gatal-gatal ataupun ruam pada kulit, merasa kebas di bahagian kaki dan tangan, penglihatan mungkin terjejas dan rasa sakit pada bahagian mulut, lidah dan juga kerongkong. Pengguna ubat ini juga boleh merasa amat letih dan ini mungkin ada kaitannya dengan kesan ubat tesebut kepada sel-sel darah, yakni salah satu daripada kesan sampingan yang amat ketara bagi penggunaan ubat tersebut.

Memandangkan ini, kloramfenikol, khususnya secara suntikan dan juga sebagai ubat makan jarang diberi melainkan dalam jangkitan yang mengancam nyawa seperti meningitis ataupun apabila tiada ubat lain berkesan untuk mengatasi jangkitan berkenaan. Penggunaannya juga menghendaki beberapa bentuk pemantauan rapi kepada sel-sel darah dan juga ujian penglihatan sekirannya ubat ini digunakan dalam jangkamasa yang berlarutan. Dalam hal pesakit mengalami gangguan buah pinggang ataupun hati mahupun penyakit berkaitan dengan sel-sel darah, penggunaan ubat koramfenikol mesti mendapat perhatian khas sebelum ianya digunakan. Kloramfenikol juga boleh menjejaskan tindakan ubat-ubatan lain seperti ubat kencing manis, ubat sawan ataupun ubat TB apabila digunakan serentak. Ia juga boleh merencatkan kesan-kesan antibiotik lain seperti penisilin dan juga eritromisin.

Kesan kloramfenikol sebagai ubat sapu ataupun ubat titis kepada ibu yang mengandung mahupun kepada ibu yang menyusukan anak tidak menunjukkan apa-apa kesan yang memudaratkan. Namun kloramfenikol dikatakan boleh meningkatkan risiko bayi sekiranya ubat diberikan secara suntikan ataupun melalui mulut kepada ibu yang mengandung atau pun yang menyusukan. Oleh yang demikian, penggunaannya dalam keadaan seumpama ini sebaik-baiknya dielakkan.

Salahguna

Selain daripada kegunaan perubatan, kloramfenikol tidak seharusnya digunakan untuk tujuan lain. Ini adalah kerana penggunaan kloramfenikol sewenang-wenangnya bukan sahaja akan menyebabkan risiko yang tinggi, tetapi lebih penting juga ia boleh mengakibatkan rintangan ubat ini kepada kuman yang berkenaan. Maksudnya, kloramfenikol apabila diperlukan tidak akan lagi menjadi ubat yang berkesan untuk tujuan rawatan jangkitan tersebut. Jadual 2 dalam Peratusan-Peratusan Makan Tahun 1985 tidak membenarkan kloramfenikol digunakan dalam sebarang makanan.