Keracunan Membabitkan Zat Besi
Zat besi merupakan satu unsur yang amat diperlukan oleh manusia terutama sekali bagi membolehkan pembentukan sel darah merah yang normal. Ia dimakan oleh berbagai golongan manusia; termasuklah kanak-kanak dan orang dewasa. Kaum wanita khasnya yang sedang hamil memerlukan lebih banyak lagi zat besi. Zat-zat besi yang digunakan ini tidaklah terhad kepada sediaan pil zat besi fumarat, sulfat atau glukonat tetapi juga boleh didapati sebagai salah satu unsur dalam pil multivitamin.
Memandangkan ianya mudah diperolehi di rumah-rumah, tidaklah menghairankan keracunan zat besi sering dilaporkan berlaku, terutamanya yang membabitkan kanak-kanak. Ini mungkin berlaku kerana kanak-kanak tidak dapat membezakan pil-pil ini daripada cokelat disebabkan rupa bentuk dan warnanya yang benar-benar menyerupai cokelat atau gula-gula. Apabila berlaku kejadian seperti ini, faedah yang sepatutnya diperolehi daripada zat besi ini boleh bertukar menjadi bahaya yang boleh memudaratkan. Malahan, dalam kes keracunan yang serius, zat besi boleh meragut nyawa mangsanya.
Zat besi sebenarnya bersifat kakis. Ia boleh mencederakan lapisan perut dan usus kecil sehingga berlaku pendarahan dan pembentukkan kuping. Jika ianya dimakan berlebihan, hampir kesemuanya akan diserap ke dalam saluran darah. Kehadirannya secara berlebihan di dalam darah boleh merosakkan organ-organ, termasuklah jantung, hati dan otak. Kesan sebenar bergantung kepada jenis (kekuatan) dan jumlah pil yang ditelan.
Dalam kes keracunan yang berat, kesannya boleh dibahagikan kepada beberapa tahap:
- Pada tahap pertama, mangsa keracunan akan mengalami rasa mual, muntah-muntah, cirit-birit (pada kebiasaannya disertai dengan darah), sakit dan senak perut. Gejala ini boleh dialami dalam masa 30 minit sehingga enam jam pertama selepas ditelan.
- Pada tahap kedua tanda-tanda pesakit mula pulih mungkin diperhatikan dan pesakit kelihatan stabil. Ini berlaku dalam masa 3 atau 4 jam setelah zat besi ditelan. Namun begitu, keadaan ini hanyalah sementara dan mungkin akan berterusan untuk 48 jam sahaja sebelum keadaan pesakit menjadi lebih teruk. Oleh yang demikian, pemerhatian rapi perlu dilakukan memandangkan keadaan yang ditunjukkan ini boleh mengelirukan.
- Pada tahap ketiga, pendarahan usus akan berterusan. Mangsa keracunan akan kelihatan sangat lesu dan seterusnya mangsa mungkin tidak sedarkan diri atau berada dalam keadaan terkejut. Kulit dan mata mangsa bertukar menjadi kekuningan, menandakan berlakunya jaundis. Kesemua ini boleh terjadi di antara 12 hingga 48 jam selepas zat besi di telan.
- Pada tahap keempat, kecederaan hati boleh berlaku (selepas 48 jam zat besi dimakan). Sekiranya ini tidak berlaku, kemungkinan besar mangsa akan pulih dengan sendiri.
Memandangkan betapa serius kesan yang boleh dialami oleh seseorang jika termakan zat besi secara berlebihan, pesakit haruslah dibawa ke hospital dengan segera untuk diperiksa oleh doktor. Rawatan yang sesuai hanya dapat diberikan di hospital sahaja. Bagi sesetengah kes, mungkin tiada langsung tanda-tanda keracunan yang dapat diperhatikan pada 6 jam pertama. Dalam keadaan seumpama ini, tiada apa yang perlu dilakukan melainkan pesakit harus diperhatikan dan diberi nasihat tentang pencegahan. Kemungkinan ber lakunya keracunan dalam keadaan begini dipercayai tipis sekali.
Langkah-langkah pencegahan keracunan zat besi
Pil-pil yang mengandungi zat besi mudah diperolehi di kedai-kedai farmasi dan biasanya didapati dalam bentuk dan warna yang menarik dan kadangkala sukar untuk dibezak an daripada gula-gula dan cokelat. Oleh itu pastikan
- ia disimpan di tempat yang tidak boleh dicapai dan dilihat oleh kanak-kanak.
- anda menggunakan bekas asal yang berlabel dan sebolehnya yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak.
- pil-pil lama yang tidak digunakan lagi dibuang dalam tandas.