Skip to main content

vcc

Bahaya Formaldehid di dalam Makanan

Oleh: Prof. Madya Mohamed Isa Abdul Majid

sudut idpis

Seperti yang tertera dalam keratan akhbar baru-baru ini, Menteri Kesihatan telah mengarahkan supaya pemeriksaan dilakukan ke atas kegunaan serta pencemaran formaldehid pada ikan segar bagi tujuan mengekalkan kesegaran serta pengawetan. Amalan yang dilakukan ini didapati membahayakan kesihatan kerana bahan kimia ini telah dilaporkan boleh menyebabkan barah dan sepatutnya tidak dilakukan oleh penjual atau pemborong ikan. Rencana ini bertujuan memberi penerangan tentang bahaya yang timbul akibat mengambil makanan yang mengandungi formaldehid.

Formaldehid: Sifat dan kegunaannya

Dalam keadaan ceria, formaldehid merupakan satu gas pada suhu bilik dan mempunyai bau menusuk serta tajam pada kepekatan minima 0.5 ppm di dalam udara. Formaldehid dalam bentuk gas juga amat merbahaya kerana gas tersebut mudah terbakar. Gas ini boleh dihasilkan di rumah dari perabot yang dilapisi dengan alas atau pelapik tilam poliuretan. Ia mudah terlarut ke dalam air dan metanol untuk menghasilkan larutan. Di industri dan makmal, larutan formaldehid digunakan sebagai pembasmi kuman dan pengawet dalam menghalang pereputan tisu.

Gas formaldehid juga telah dikenalpasti sebagai salah satu bahan yang terdapat dalam asap rokok dan tembakau. Dalam hal ini, formaldehid yang diambil dari sebatang rokok telah dikenalpasti boleh menyebabkan kerengsaan dan kesukaran bernafas. Apabila pengambilan formaldehid meningkat akibat merokok secara berterusan, kesan kerengsaan merebak ke bahagian hidung dan tekak untuk menyebabkan batuk. Jika formaldehid diambil secara berlebihan, gejala kerengsaan secara mendadak terjadi sehinggakan menyebabkan penggumpulan cecair dalam paru-paru untuk menghasilkan pneumonia dan bengkak paru-paru.

Bahaya Formaldehid

Pada kepekatan gas formaldehid yang tinggi, kesan kerengsaan akan menyebabkan pengecilan saluran pernafasan di samping meninggalkan rasa pedih pada mata dan kulit. Pendedahan seperti ini biasanya boleh menyebabkan mata rosak dan kulit berparut.

Dalam keadaan dedahan kepada larutan pekat formaldehid secara mendadak (kesan akut), ia menyebabkan sistem pernafasan terganggu seperti batuk, sesak nafas, sakit dada dan sukar bernafas. Cecair formaldehid apabila terkena kulit boleh merengsa kulit untuk menghasilkan kesan lecuran. Sentuhan larutan formaldehid kepada mata juga meninggalkan kesan melecur manakala sekiranya larutan tersebut dihidu, kawasan saluran pemakanan seperti hidung mulut dan tekak juga menunjukkan kesan terengsa. Pada kawasan paru-paru, cairan berlebihan akan dihasilkan sehingga menyukarkan pernafasan.

Apabila larutan formaldehid dimakan secara sedikit demi sedikit untuk jangkamasa panjang seperti dalam kes memakan ikan yang dicemari, formaldehid boleh menyebabkan barah. Dari kajian ke atas haiwan, formaldehid boleh menyebabkan barah pada kawasan hidung apabila haiwan ujian didedahkan kepada wap formaldehid pada kepekatan 14 ppm secara berpanjangan. Kajian yang sama ke atas pesakit barah mulut dan hidung pula menunjukkan kumpulan yang terdedah kepada formaldehid pada tahap rendah secara berterusan di tempat kerja cenderung untuk mengalami barah di bahagian mulut dan hidung berbanding dengan kumpulan lain. Formaldehid apabila bergabung dengan gas asid hidroklorik akan membentuk bis(klorometil) eter, suatu agen penyebab barah paru-paru yang sukar diubati.

Atas masalah-masalah kesihatan yang disebabkan oleh formadehid, maka pengunaannya ke atas ikan segar adalah diharamkan dan pengguna haruslah berhati-hati dalam membeli ikan-ikan yang dicemari dengan formaldehid.