Skip to main content

vcc

Racun dan Anda - Mengenali Racun dan Pendedahannya

Oleh: natrah@usm.my

sudut idpis2

Racun adalah sebarang unsur yang boleh menyebabkan kecelakaan kepada tubuh anda. Kecelakaan mungkin bersifat ringan (contohnya, sakit kepala atau rasa mual) atau berat (contohnya, sawan atau demam panas), sehingga boleh me-nyebabkan maut. Hampir semua bahan kimia boleh menjadi racun jika berada secukupnya di dalam tubuh. Sesetengah bahan kimia mempunyai kesan yang amat membahayakan sehinggakan sejumlah kecil sahaja boleh menyebabkan keracunan yang teruk sekirannya memasuki sistem tubuh. Sebagai contoh, satu sudu sejenis racun rumpai yang biasa digunakan oleh petani sekiranya tertelan boleh menyebabkan mangsa menderita akibat kerosakan paru-paru dan buah pinggang sehingga membawa maut. Begitu juga dengan bisa ular tedung atau ular kapak; sejumlah kecil bisa ular yang disuntikkan ke tubuh mangsa akan mengakibatkan mangsa mengalami keracunan yang serius. Selain dari itu, ada pula bahan-bahan kimia lain yang memerlukan pengambilan dalam jumlah yang besar untuk menyebabkan keracunan (beberapa cawan racun rumpai glifosat, sebagai contoh).

Jumlah sesuatu bahan kimia yang dapat memasuki tubuh pada satu masa dinamakan satu dos. Satu dos yang menyebabkan keracunan adalah dos beracun atau dos toksik. Jumlah terkecil yang me-nyebabkan kecelakaan adalah dos ambang. Jika jumlah sesuatu bahan kimia yang memasuki tubuh adalah kurang daripada dos ambang, bahan kimia itu tidak akan menyebabkan keracunan tetapi sebaliknya mungkin mempunyai kesan yang baik. Contohnya ubat-ubatan, ia akan memberi kesan yang baik sekira-nya diambil mengikut dos yang betul sebagaimana disyorkan oleh doktor, tetapi ia juga boleh menyebabkan keracunan sekiranya diambil tanpa mengikut peraturan yang betul atau secara berlebihan.

Pendedahan kepada racun

Apabila seseorang tersentuh racun, secara umumnya boleh dikatakan mereka sudah terdedah kepada racun tersebut. Namun begitu, kesan pendedahan kepada racun tersebut akan bergantung kepada berapa lama sentuhan tadi berlaku, berapa banyak racun yang memasuki tubuh, dan juga berapa banyak racun yang dapat dikeluarkan oleh sistem tubuh pada masa itu. Pendedahan boleh berlaku dengan hanya sekali atau berulang kali.

Pendedahan akut merujuk kepada sekali sentuhan yang dialami selama beberapa saat, minit atau jam, atau beberapa kali pendedahan dalam masa sehari atau kurang.

Pendedahan kronik adalah sentuhan yang dialami untuk beberapa hari, bulan atau tahun. Ianya mungkin berterusan atau diselangi oleh waktu dimana tiada sentuhan atau pendedahan berlaku. Pendedahan yang berlaku hanya di tempat kerja, sebagai contoh, tidak dianggap pendedahan berterusan.

Pendedahan kronik kepada racun dalam jumlah yang kecil mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala keracunan secara serta merta. Kadangkala simptom keracunan hanya dapat dikesan setelah beberapa hari atau bulan ia berlaku iaitu setelah jumlah yang memasuki tubuh cukup untuk menyebabkan keracunan. Sebagai contoh, peladang atau petani yang menggunakan racun makhluk perosak (pestisid) setiap hari untuk menjaga hasil tanaman mereka. Setiap hari, mereka akan terdedah kepada pestisid pada jumlah yang sedikit, tetapi dari sehari ke sehari jumlah racun yang terkumpul dalam tubuh akan bertambah sedikit demi sedikit sehingga menjadi dos beracun. Ketika itulah simptom keracunan mula kelihatan dan mereka merasa kurang sihat.

Bagaimana racun memasuki tubuh?

Cara dimana racun memasuki tubuh dinamakan kaedah pendedahan atau kaedah penyerapan. Amaun racun yang memasuki darah dalam satu masa yang ditetapkan bergantung kepada kaedahnya.

Pendedahan melalui mulut dengan menelan (ingesi)

Kebanyakan kes keracunan berlaku dengan cara ini. Sering berlaku kejadian kanak-kanak menelan bahan beracun dengan tidak disengajakan. Bagi orang dewasa kaedah ini biasanya dilakukan untuk tujuan meracuni diri sendiri. Jika seseorang itu makan, minum atau menghisap rokok setelah mereka mengendali atau menggunakan bahan racun tanpa terlebih dahulu membersihkan diri mereka (terutamanya tangan), berkemungkinan mereka akan tertelan racun tersebut tanpa disengajakan. Ini merupakan punca utama dalam kejadian keracunan pestisid.

Apabila racun ditelan, ia akan dibawa ke perut (Gambarajah 1). Sesetengah racun boleh menembusi dinding usus dan masuk ke dalam saluran darah. Lebih lama racun berada di usus lebih banyaklah yang akan masuk ke dalam darah dan lebih beratlah keracunan yang akan dialami.

20stomach

Jika seseorang itu muntah sebaik sahaja menelan racun, ini mungkin dapat mengeluarkan racun tersebut dari tubuh sebelum dos beracun meresap ke dalam darah. Justeru itu, jika seseorang itu tidak terus muntah, adakalanya baik untuk melakukan sesuatu untuk membuatkannya muntah. Terdapat dua cara untuk menghentikan kemasukan racun dari usus ke dalam darah: (1) memberikan arang teraktif kerana ia menjerap sesetengah racun supaya tidak dapat menembusi dinding usus; atau (2) memberikan julap untuk mencepatkan laluan racun dalam usus dan membolehkan ianya terkeluar dari tubuh dengan cepat. Situasi di mana ianya berguna untuk membuatkan seseorang itu muntah atau untuk memberikan arang teraktif atau julap, dan situasi di mana tindakan ini boleh membahayakan, akan dibincangkan dalam PenawRacuN keluaran siri yang seterusnya.

Racun yang tidak menembusi dinding usus tidak akan dapat meresap ke dalam darah, oleh itu ia tidak akan mendatangkan keracunan. Ia bergerak meng-ikut saluran usus dan keluar melalui najis. Contohnya logam raksa, ia tidak boleh menembusi dinding usus, oleh itu jika tertelan raksa dari jangkasuhu, ia akan terkeluar dari tubuh melalui najis dan tidak menyebabkan keracunan.

Pendedahan melalui paru-paru dengan cara bernafas ke dalam mulut atau hidung (inhalasi)

Racun dalam bentuk gas, wap, habuk, wasap, asap atau butiran semburan halus mungkin dihidu melalui mulut atau hidung dan memasuki ruang udara ke dalam paru-paru (Gambarajah 2). Hanya zarah yang terlalu kecil boleh meresap ke paru-paru manakala zarah yang lebih besar akan terperangkap sama ada di mulut, tekak dan hidung dan mungkin ditelan. Seseorang itu mungkin terhidu racun semasa mengendalikan bahan beracun di dalam bangunan yang kekurangan udara segar, atau ketika menyembur pestisid tanpa memakai pakaian lindung-diri secu-kupnya. Alat pemanas berminyak atau bergas, dapur, dan api boleh mengeluarkan wasap beracun seperti karbon monoksida yang mungkin akan mencapai kepekatan tahap bahaya jika wasap tidak dapat keluar atau jika peredaran udara dalam bilik tidak sempurna.

20lung

Racun yang berada di dalam paru-paru akan memasuki saluran darah dengan cepat kerana ruang udara di paru-paru mempunyai dinding yang nipis dan mempunyai aliran darah yang baik.

Pendedahan melalui kulit akibat sentuhan dengan cecair, semburan atau kabus

Orang yang menggunakan bahan kimia seperti pestisid boleh diracuni sekianya ia tersembur atau tersimbah bahan tersebut ke atas kulit, atau jika ia memakai pakaian yang telah diserap dengan bahan kimia.

20skin

Kulit merupakan bahagian yang melindungi tubuh dari racun. Walaupun demikian, sesetengah racun masih boleh menembusi kulit (Gambarajah 3). Ia lebih cepat melepasi kulit yang panas, basah dan berpeluh berbanding dengan kulit yang sejuk dan kering. Ia juga dapat menembusi kulit yang rosak akibat calar atau terbakar dengan lebih cepat berbanding kulit yang tidak rosak. Racun yang merosakkan kulit akan menembusi dengan lebih cepat berbanding racun yang tidak merosakkan kulit. Oleh yang demikian, langkah membasuh kulit disyorkan kerana ia dapat mengeluarkan racun bagi mencegah dos beracun masuk ke dalam tubuh.

Pendedahan dengan suntikan melalui kulit

Racun boleh disuntik melalui kulit dengan menggunakan jarum, pistol tekanan (pressure gun), semasa melukis tatoo, oleh gigitan atau sengatan binatang, serangga, ikan atau ular berbisa. Suntikan boleh mengena terus ke dalam saluran darah, atau di bawah kulit ke otot dan tisu lemak. Racun yang disuntik di bawah kulit atau ke dalam otot perlu merentasi beberapa lapisan tisu sebelum sampai ke saluran darah. Oleh itu ia bertindak lebih lambat. Ini berbeza dengan masa yang diperlukan untuk melihat kesan keracunan sekiranya suntikan dikenakan terus saluran darah.

Setelah racun memasuki tubuh, racun akan disebarkan ke seluruh bahagian tubuh. Kesannya banyak bergantung kepada jenis-jenis racun yang terlibat. Isu akan datang membincangkan tentang kemungkinan yang akan dialami oleh seseorang setelah racun memasuki tubuh.