Skip to main content

vcc

“Islam dan Tembakau” di alam siber

Oleh: natrah@usm.my

Sempena Ulangtahun Ke-5 Fatwa Pengharaman Merokok

Ternyata masyarakat Malaysia sedang dalam kemelut ketagihan. Dahulu dadah. Kini rokok juga! Yang paling menyedihkan ialah lebih ramai anak-anak muda yang terjebak, termasuklah mereka yang masih di bangku sekolah. Rata-rata penagih baru adalah terdiri daripada mereka yang berusia awal belasan tahun malah ada di antara mereka yang berusia bawah 10 tahun. Perangkaan penagihan daripada Januari hingga Disember 1999 yang diedarkan baru-baru ini [Jadual 1(a)] menunjukkan bilangan yang dikesan di sekolah-sekolah dan juga Institut Pengajian Tinggi. Kecenderungannya ialah apabila pelajar memasuki usia remaja lebih ramai yang mula menagih atau menggunakan dadah. Pada lazimnya ini akan berterusan kepada alam dewasa dengan angka yang lebih tinggi.

Begitu juga halnya dengan bilangan anak-anak muda kita yang dikesan menghisap rokok sepertimana yang ditunjukkan dalam kajian terbaru (1996) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ramai di antaranya yang bermula di bangku sekolah [Jadual 1(b)]. Amaran Ketua Pengarah Pelajaran baru-baru ini terhadap pelajar-pelajar yang terus merokok membuktikan bahawa masalah ini masih berleluasa.

Pola kecenderungan yang sama menunjukkan bahawa bilangan terlibat dengan dadah bukannya satu kebetulan. Rokok dan dadah merupakan dua bahan yang boleh mendatangkan ketagihan; malah merokok merupakan saluran paling berkesan untuk seseorang itu berjinak dengan dadah.

Mengelirukan

Sepintas lalu, mungkin tidak jelas kaitan penggunaan dadah dengan menghisap rokok. Ini kerana adanya beberapa pemikiran yang mengelirukan mengenai rokok, diantaranya:

  • Sedangkan dadah menimbulkan satu imej yang amat keji di mata masyarakat, tembakau amnya dan rokok, khususnya memberi imej sebaliknya  walaupun ianya satu imej palsu.
  • Sedangkan istilah dadah baik dalam siri kartun Morphine Power Rangers sekalipun diharamkan agar tidak mempengaruhi pemikiran kanak-kanak, tetapi iklan tembakau terus disogok dan dikaitkan dengan aktiviti remaja khususnya sukan dan hiburan.
  • Sedangkan penanaman tumbuhan yang boleh menghasilkan bahan dadah seperti pokok ganja dan popi diharamkan, penanaman tembakau digalakkan sebagai sumber ekonomi malah mendapat subsidi.
  • Sedangkan dadah digelar ‘najis’, rokok sering dihisap di serambi-serambi masjid dan surau.

Petanda yang amat jelas dalam kontradiksi ini adalah ketika Malaysia menyambut tahun 2000 di Lapangan Terbang Subang pada malam 1 Januari 2000. Ia ditaja sepenuhnya oleh sebuah syarikat tembakau dan mendapat liputan meluas serta dihadiri sendiri oleh puluhan ribu remaja.

Ketagihan rokok sama dengan heroin

Pada hakikatnya, berasaskan kepada fakta penyelidikan dan kajian sains, pertalian di antara tembakau dengan dadah semakin hari semakin rapat. Pada awal bulan lalu saja misalnya, satu laporan yang dikeluarkan oleh The Royal College of Physicians di United Kingdom dengan jelasnya menyatakan bahawa penagihan rokok adalah setara dengan penagihan dadah seperti heroin malah mengikut laporan itu lagi, penagihan hasil daripada penggunaan
tembakau tiada tolok-bandingnya. Ini adalah sebagai tambahan kepada begitu banyak gejala yang memudaratkan seperti yang lazim diketahui termasuk yang berkaitan dengan zuriat dan kemandulan (kekurangan air mani dan mati pucuk bagi kaum lelaki). Kajian juga menunjukkan rokok mengandungi lebih daripada 4,000 jenis bahan kimia, racun dan bahan kanser.

Kesemua ini sekaligus memperkuatkan lagi perbandingan kajian sains dan kesihatan dengan apa yang dinyatakan melalui maksud ayat-ayat suci Al-Quran [Jadual 1(d)]. Dengan lain perkataan ia jelas menunjukkan bahawa larangan penggunaan tembakau seperti dalam bentuk rokok adalah sama seperti larangan yang dihujahkan bagi mengharamkan dadah. Ringkasnya fatwa pengharaman dadah sudah cukup merangkumi rokok, sekiranya tiada sebarang fatwapun yang diusulkan untuk mengharamkan rokok. Keadaannya lebih mendesak dengan pengistiharan khas sebuah fatwa tentang
pengharaman merokok pada tahun 1995.

Oleh itu, fatwa yang diluluskan lima (5) tahun lalu adalah begitu berwawasan dan bernas sekali berasaskan bukan sahaja kepada nas-nas yang kukuh malah diperkukuh dengan kajian-kajian saintifik yang terkemaskini.

Namun begitu, agak mengecewakan apabila fatwa tersebut tidak langsung mendapat sambutan mahupun liputan daripada pihak-pihak yang berkaitan
supaya dapat dijadikan ikhtibar dalam membenteras gejala ketagihan di kalangan masyarakat. Terutama sekali masyarakat Islam yang secara kebetulan merupakan golongan yang paling ramai terbabit dengan pengaruh negatif ini.

Fatwa perlu dilaksanakan

Maka, tidak dapat tidak, ramai tertanyatanya apakah yang telah terjadi dengan keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Ke-37 pada 23 Mac 1995. Mengapa perlaksanaan fatwa yang begitu penting tidak langsung diberi penekanan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab,
baik diperingkat kebangsaan mahupun negeri? Paling aneh ada pihak-pihak yang terus menggalakkan penanaman tembakau.

Petikan berita terkini yang jelas menunjukkan syarikat tembakau [Jadual 1(c)] terus meraih keuntungan lumayan. Mengapakan industri tembakau terus
mengaut keuntungan sedangkan masyarakat terus bergelumang dengan ketagihan?

Berdasarkan pada hujah-hujah di atas,  sejajar pula dengan ulang tahun kelima kelulusan fatwa tersebut, adalah wajar digesa agar satu kesedaran menyeluruh diwujudkan bagi masing-masing memainkan peranan dalam menghidupkan fatwa ini sebagai iltizam dalam membela kebajikan dan kesihatan masyarakat Islam khasnya daripada apa jua bentuk pembinasaan yang sedang dialami kini.

PRN dalam hal ini telah membangunkan satu Laman Web: Islam dan Tembakau, dengan tujuan untuk menyedarkan kita bahawa masyarakat Islam terus diperdaya dengan tabiat buruk merokok oleh industri-industri yang berkaitan; juga untuk meningkatkan kesedaran supaya tindakan yang lebih gigih dan padu dapat diusahakan. Langkah mengharamkan rokok telahpun dilakukan di negara Muslim lain seperti Syria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini. Malaysia patut menteladani negara-negara tersebut, melalui fatwa yang telah diluluskannya awal-awal lagi.  

 31mac00