Skip to main content

vcc

Manfaatkan Ubat, Elakkan Mudarat

Oleh: Adilah Mohamed Ariff

70ms1

 

Tahukah anda saban tahun keracunan atau overdose ubat-ubatan atau produk farmaseutikal menduduki tangga teratas dalam carta kes keracunan bahan kimia yang dirujuk ke Pusat Racun Negara (PRN) setiap tahun?

Kebiasaannya, apabila kita mengambil ubat, kita akan mendapat manfaat daripadanya. Namun ada segelintir daripada kita yang kurang bernasib baik, mendapat mudarat pula, berpunca daripada pelbagai sebab termasuklah akibat tersalah dos atau kaedah pengambilan. Hatta, ubat demam seperti Paracetamol  yang dijual sebagai ubat OTC ( over the counter) pun boleh memudaratkan jika diambil secara berlebihan/ melebihi dos yang disyorkan. Oleh yang demikian, amat penting bagi kita sebagai pengguna untuk memahami faktor risiko yang boleh mengundang mudarat atau keracunan kerana kebanyakannya boleh dielakkan jika langkah pencegahan dan keselamatan dititikberatkan. Antara faktor yang perlu diambilkira termasuklah kaedah penggunaan, penyimpanan, kesesuaian ubat dan tidak kurang pentingnya ialah pemilihan ubat khususnya jika anda memilih untuk menggunakan ubat-ubatan tradisional dan alternatif. 

70ms1a

Penggunaan ubat yang betul adalah faktor penting untuk mengurangkan risiko keracunan ubat-ubatan. Cuba amalkan panduan 5B dengan memastikan nama ubat yang betul  dengan dos yang betul diberikan kepada pesakit yang betul, pada masa yang betul dengan kaedah yang betul. Antara contoh senario kes keracunan yang sering dirujuk ke PRN ialah ubat sapu atau ubat untuk kegunaan luar diberikan secara oral/makan, tersalah makan ubat akibat tidak membaca label dengan betul, mengambil ubat dalam keadaan gelap, terkeliru dengan dua jenis ubat yang mempunyai rupa hampir sama, mengambil dos secara berlebihan dengan anggapan ianya boleh mendapatkan kesan lebih kuat atau kelegaan segera apabila satu dos yang disarankan oleh doktor dirasakan tidak cukup dan pelbagai lagi insiden keracunan yang sepatutnya boleh dielakkan.

70ms1b
 Amalan penyimpanan ubat-ubatan secara selamat pula
memastikan golongan berisiko seperti kanak-kanak tidak terdedah kepada keracunan. Bukan sahaja ubat, produk makanan kesihatan dan vitamin juga perlu disimpan dengan selamat kerana kebanyakan produk ini mempunyai rasa dan rupa yang menarik perhatian kanak-kanak yang boleh mengakibatkan mereka makan berlebihan dan mendapat kesan mudarat. Golongan dewasa juga tidak terkecuali menjadi mangsa keracunan akibat amalan penyimpanan yang berisiko seperti memindahkan ubat ke dalam bekas lain tanpa pelabelan yang betul. Selain daripada itu bagi pesakit dengan keperluan khusus termasuklah pesakit yang diberikan ubat-ubatan psikiatri, sebaiknya ubat-ubatan mereka disimpan oleh penjaga mereka bagi mengelakkan penyalahgunaan untuk mendapatkan kesan melampau atau cubaan memudaratkan diri sendiri.

70ms1c

Faktor kesesuaian ubat sangat penting difahami terutamanya bagi mereka yang berkeperluan khas atau mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti mempunyai sejarah alahan ubat, kegagalan fungsi hati dan buah pinggang serta penyakit lain yang memerlukan pertimbangan khusus dalam pemberian ubat-ubatan. Contohnya, pengubahsuaian dos ubat perlu dibuat bagi  pesakit kegagalan buah pinggang bagi mengelakkan risiko keracunan akibat fungsi penyingkiran ubat yang sudah menurun. Maka, sebelum anda diberi sebarang ubat- ubatan, amat digalakkan untuk memaklumkan sejarah perubatan anda kepada doktor bagi mencegah pemberian ubat yang tidak sesuai dengan kondisi kesihatan anda.

70ms1d

Pemilihan ubat yang bersesuaian dapat dilaksanakan oleh doktor/ahli farmasi dengan mengetahui dan memahami sejarah perubatan anda. Namun, pemilihan kendiri ubat- ubatan seperti ubat tradisional atau alternatif mungkin berisiko menyebabkan kesan mudarat atau keracunan jika dibuat tanpa ilmu dan maklumat yang jelas tentang fakta keselamatannya. Antara panduan asasnya adalah seperti berikut:

Mendapatkan nasihat doktor/ahli farmasi tentang kesesuaian produk tradisional/alternatif dengan status kesihatan anda.
Menyelidik dan mendapatkan maklumat keselamatan setiap bahan ramuan di dalam sesuatu produk daripada sumber rujukan yang dipercayai.
Menyemak status pendaftaran, pencemaran bahan kawalan serta penarikan status pendaftaran produk di www.npra.gov.my
Memastikan produk mempunyai pelekat hologram yang asli.
Berhenti serta merta jika mengalami kesan sampingan dan melaporkan kepada profesional perubatan atau melaporkan sendiri melalui pautan ConSERF di www.npra.gov.my.
Tidak mudah terpedaya dengan testimoni danpelbagai promosi iklan yang mengelirukan dan mungkin memberikan maklumat yang salah.
Pantau kesan sampingan walaupun anda mengambil produk yang dikategorikan sebagai makanan kesihatan atau makanan tambahan kerana terdapat produk seumpamanya yang dicemari bahan terkawal/racun berjadual.

Ubat-ubatan menjadi keperluan harian kepada sesetengah orang untuk mengawal penyakit dan meneruskan kehidupan berkualiti. Manakala majoriti kita akan memerlukan ubat hanya untuk merawat masalah kesihatan jangka pendek sahaja. Sebagai suatu keperluan bagi semua individu, justeru adalah amat penting untuk kita mendapatkan maklumat yang tepat tentang manfaat dan mudaratnya daripada pengamal perubatan bertauliah atau melalui sumber rujukan yang dipercayai.

Ubat-ubatan memang bermanfaat,
Tetapi kita semua mesti beringat!

Elakkan amalan mengundang mudarat,

Agar kita semua sihat dan selamat.