Skip to main content

vcc

Ubat gigi berflorid masih belum dilabel!

Oleh: natrah@usm.my

Ketiadaan label ubat gigi berflorid di Malaysia telah ditimbulkan pada penghujung tahun 1997 sebagai satu isu keselamatan dan kepenggunaan. Adalah difahamkan bahawa pada bulan Februari tahun lalu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah memutuskan supaya label-label tambahan dikenakan bagi semua ubat gigi-ubat gigi yang berflorid lihat jadual disebelah. Had maksimum florid yang dibenarkan dalam ubat gigi bagi kanak-kanak berumur enam (6) tahun ke bawah adalah 500 ppm, yakni 500 bahagian dalam setiap satu (1) juta bahagian. Bagi dewasa, kandungan florid adalah di antara 1000 hingga 1500 ppm.

Tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa ini sangatlah dialu-alukan demi menjamin penggunaan ubat gigi berflorid yang lebih berkesan dan selamat. Persatuan Pergigian Malaysia sendiri turut akur dengan kepentingan untuk melabel ubat-ubat gigi berflorid sepertimana yang dicadangkan.

Semua ubat gigi berflorid yang dipasarkan dengan tujuan perubatan (seperti mencegah kerosakan gigi dan sebagai-nya) adalah di bawah Peraturan Kawalan Ubat-ubatan dan Kosmetik 1984 yang memerlukan pelabelan-pelabelan tertentu. Pelabelan tambahan ini berdasarkan laporan peningkatan berlakunya florosis bagi kanak-kanak akibat daripada florid ditelan dengan berlebihan secara tidak sengaja apabila memberus gigi. Florosis dianggap oleh pakar perubatan sebagai satu bentuk keracunan yang jika berte-rusan boleh memudaratkan kesihatan. Ianya boleh mengakibatkan beberapa kesan yang tidak diinginkan kepada tulang tubuh badan kanak-kanak khusus-nya. Maklumat-maklumat lanjut dapat dilihat daripada Laman Web PRN:

Tak Mempunyai Label

Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan oleh Pusat Racun Negara (PRN) pada awal bulan Mac tahun ini mendapati bahawa hampir kesemua daripada tujuh belas (17) jenis ubat gigi berflorid yang terdapat di pasaran Malaysia tidak mengandungi label berkenaan. Hanya satu ubat gigi yang diperbuat di Indonesia untuk pasaran Malaysia melabel produknya seperti yang disarankan oleh PBKD. Itu pun hanya pada satu jenis produk daripada beberapa produk yang dihasilkan oleh pengilang tersebut.

Apa yang lebih mengecewakan adalah terdapatnya beberapa jenis ubat gigi yang lebih cenderung untuk menaja beberapa iklan "free gift" pada kotak ubat gigi buatan mereka tetapi tidak langsung menghiraukan arahan bagi meletakkan label tersebut. Malah semua daripada tujuh belas (17) ubat gigi yang berkenaan tidak langsung mempunyai label berkenaan di tiub-tiub ubat gigi mereka.

Amat menghairankan adalah setengah daripada jenama ubat gigi berflorid ini mempunyai pelabelan yang begitu terperinci apabila mereka memasarkan produknya di negara-negara yang telah maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan juga Australia. Bukan sahaja ianya mengandungi label tambahan seperti yang dikehendaki oleh PBKD, malah ianya mengandungi maklumat-maklumat lain seperti:

  • bahan aktif dan kepekatannya
  • bahan-bahan lain yang digunakan
  • tarikh pengilangan
  • tarikh luput
  • perasa dan sebagainya

Daripada aspek-aspek ini juga tidak banyak perubahan didapati berlaku bagi semua tujuh belas (17) jenama yang telah dikaji berbanding dengan kajian lebih setahun lalu.

Mengapa?

Persoalan yang timbul kini adalah sejauh manakah pembuat-pembuat dan pembekal-pembekal ubat gigi berflorid di negara ini benar-benar amanah dan bertanggungjawab dalam memasarkan produk-produk mereka daripada segi kesihatan dan kesejahteraan pengguna? Mengapakah hampir kesemua daripada pembuat-pembuat ubat gigi ini tidak langsung menghiraukan kepentingan umum dengan membekalkan maklumat khas untuk para pengguna sepertimana dilakukan mereka di negara-negara maju lain? Hal ini menjadi lebih ketara lagi apabila arahan-arahan yang tertentu telahpun dikeluarkan oleh badan-badan berwibawa seperti PBKD tetapi tidak dipatuhi sehingga setahun kemudian.

Mengapa hanya satu sahaja jenama yang berusaha untuk meletakkan label yang dikehendaki sedangkan jenama lain tidak langsung menghiraukannya? Mengapa pula sesetengahnya lebih cenderung untuk meletakkan iklan untuk menarik pembeli tetapi tidak berkesempatan untuk mematuhi arahan-arahan PBKD? Apakah peranan-peranan badan profesional khususnya ahli-ahli pergigian dalam menangani isu yang telah banyak diperdebatkan sepanjang tahun 1998?

Yang semua persoalan ini masih lagi timbul menunjukkan bahawa isu-isu kesihatan dan kepenggunaan di kalangan masyarakat kita masih tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Ini berbanding dengan isu-isu ekonomi yang lebih menguntungkan segelintir pengilang dan juga pemegang-pemegang saham. Berapa lama lagi masyarakat umum perlu bertolak ansur dalam hal seumpama ini?

Maklumat tambahan bagi ubat gigi mengandungi florid

  1. Arahan tentang pengunaan
    • JANGAN TELAN - ludahkan dan kumur-kumur selepas digunakan.
  2. Untuk kanak-kanak bawah enam (6) tahun:
    • guna amaun ubat gigi sebesar saiz kacang pea (kurang daripada 5 mm)
    • selia pemberusan gigi kanak-kanak
  3. Arahan tentang kesihatan gigi
    • berus sekurang-kurangnya dua (2) kali sehari
    • hadkan amaun dan kekerapan makanan bergula
    • berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya satu (1) kali setahun
  4. Grafiks 

25tpkids

penggunaan untuk kanak-kanak

 

25tpadult

penggunaan untuk dewasa

Sumber: Berita Ubat-ubatan, Ogos 1998, m.s. 4