Skip to main content

vcc

Bahaya Kimia Toksik dan kesannya kepada Kesihatan Persekitaran

Oleh: Nursyaza Dini Mohammad Zaip

67ms6

Pengenalan

Kesihatan persekitaran adalah salah satu cabang kesihatan awam yang memberi perhatian kepada hubungan antara manusia dan persekitarannya. Terma ‘kesihatan persekitaran’ digunakan untuk menjelaskan masalah-masalah kesihatan yang muncul dalam satu populasi dan komplikasi kesihatan tersebut berkait rapat dengan persekitaran mereka. Selain itu, kesihatan persekitaran juga merujuk kepada aspek kesihatan manusia yang ditentukan oleh faktor-faktor yang terdapat dalam persekitaran. Antara yang terbabit adalah faktor fizikal, faktor kimia, faktor biologikal, faktor sosial dan faktor psikososial.

Dalam pada itu, terdapat juga kerjaya berkaitan kesihatan persekitaran. Mereka yang bekerja dalam bidang ini termasuklah:

  • Majikan di sektor awam atau swasta: Memastikan tempat kerja adalah selamat untuk pekerja
  • Saintis: Bekerja di dalam makmal kajian
  • Penjawat awam: Menggubal peraturan-peraturan dan mengkaji pencemaran

Sementara itu, Regional Initiative on Environment and Health in Southeast and East Asian Countries, telah menggariskan perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian dalam kesihatan persekitaran:

  1. Kualiti Air
  2. Air, Sanitasi dan Kebersihan
  3. Sisa Pepejal dan Sisa Berbahaya
  4. Bahan Kimia Toksik dan Bahan-Bahan Berbahaya
  5. Perubahan Iklim, Penipisan Ozon dan Perubahan Ekosistem
  6. Kecemasan Kesihatan Pekerjaan — Perancangan, Persediaan dan Respon Keadaan Luar Jangka
  7. Penilaian Kesan Kesihatan

Artikel ini hanya memfokuskan perkara ke-4 — isu berkaitan bahan kimia toksik dan bahan-bahan berbahaya.

Bahan Kimia Toksik dan Bahan-Bahan Berbahaya

Berikut merupakan contoh bahan kimia yang berbahaya terhadap manusia dan alam sekitar:

67ms6a

Kajian Kes

Kajian kes yang dilampirkan adalah berkaitan dengan kesihatan persekitaran. Kes-kes ini berlaku di luar dan dalam negara.

  • Penyakit Minamata (Minamata Disease)

67ms7

Kejadian berlaku di Minamata, Jepun pada tahun 1956. Sebuah kilang baja kimia telah melepaskan metilmerkuri ke dalam air sisa industri yang mengakibatkan pencemaran air. Ini mengakibatkan berlakunya bioakumulasi metilmerkuri pada ikan dan kerang di teluk berdekatan. Hasil laut yang tercemar kemudian dimakan oleh penduduk setempat yang mengakibatkan keracunan merkuri. Mangsa terbabit telah mengalami gejala seperti gangguan sistem saraf — tangan menggeletar, sukar berjalan, hilang deria rasa dan bau serta masalah penglihatan. Kesan kronik seperti lumpuh dan kematian juga berlaku.

  • Bencana Chernobyl

67ms7a

Kelemahan reka bentuk fasiliti nuklear serta tindakan pekerja yang melanggar prosedur kerja keselamatan telah menyebabkan letupan reaktor nuklear di wilayah Chernobyl, Soviet Union pada tahun 1986. Letupan tersebut telah membebaskan beberapa unsur radioaktif seperti Iodine-131, Caesium-137, Caesium-134, Strontium-90 dan Plutonium-241 yang mana telah mengakibatkan pencemaran udara, tanah dan air. Komplikasi kesihatan akibat daripada letupan reaktor nuklear termasuklah keracunan radiasi dan kematian. Kanser tiroid juga berlaku dalam kalangan kanak-kanak. 

  • Pencemaran Sungai Johor

67ms7b

Pencemaran ammonia telah berlaku di Sungai Johor, Johor pada tahun 2017. Sebuah kilang memproses baja yang beroperasi secara haram telah menyebabkan air sungai dicemari ammonia. Tiada komplikasi kesihatan dilaporkan. Hal ini disebabkan oleh langkah pencegahan awal yang diambil — penutupan tiga buah loji rawatan air. 

  • Pencemaran Sungai Kim Kim

67ms7c

Pembuangan secara haram 20 hingga 40 tan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada tahun 2019. Sebahagian daripada sungai tersebut (1.5km) telah tercemar. Antara bahan kimia yang dikenalpasti termasuklah Benzene, Acrolein, Acrylonitrile, Hydrogen Chloride, Methane, Toluene, Xylene, Ethylbenzene dan d-Limonene. Pencemaran air, pencemaran tanah, pencemaran udara dan kehilangan biodiversiti telah berlaku. Kesan kronik dari pencemaran ini adalah myokimia. Kesan akut yang dilaporkan pula adalah kesukaran bernafas dan muntah-muntah dalam kalangan pelajar di sekolah yang berhampiran.

Penutup

Tuntasnya, kesihatan persekitaran merupakan satu aspek yang penting bagi manusia. Hal ini demikian kerana ia dapat meningkatkan prestasi kesihatan komuniti melalui persekitaran yang sihat. Selain itu, penyakit-penyakit berbahaya juga dapat dielakkan apabila persekitaran kita dijaga dengan baik. Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjaga persekitaran serta alam sekitar supaya kesihatan sejagat sentiasa terjaga.