Skip to main content

vcc

Kajian pendedahan plumbum di Pulau Pinang perlu diteruskan

Oleh: natrah@usm.my

Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang (YBI) dan Pusat Racun Negara (PRN) telah melakukan satu kajian pendedahan plumbum di beberapa kawasan yang telah dikenalpasti oleh pihak YBI.  Tujuan kajian ini ialah untuk mengenalpasti tahap pendedahan plumbum pada kanak-kanak dalam peringkat umur pra-sekolah di kawasan kajian.

Aktiviti dan kaedah kajian

Sebanyak lima (5) kawasan di daerah Kampong Jelutong telah dikenalpasti untuk menyertai kajian ini; termasuk Kampong Kota Giam, Jalan Tengku, Jalan Masjid, Jalan Madrasah, Jalan Md. Taib, Jalan Pokok Asam dan Bukit Dumbar.  Seramai 162 orang pelajar terlibat.  Sampel darah (3 ml) telah diambil oleh doktor panel YBI selepas mendapat izin secara bertulis daripada ibu-bapa/waris kanak-kanak berkenaan.  Sampel tersebut diuji menggunakan alat spektrofotometer serapan atom atau relau pemanasan bergrafit (Perkin Elmer SIMAA 6000) menggunakan pembetulan latar kesan Zeeman.  Alat ini adalah yang paling sensitif dalam pengesanan plumbum dalam darah pada tahap 0.025 mikrogram/100ml.  Setiap sampel diulangi analisis sekurang-kurangnya tiga (3) kali dan nilai purata digunakan sebagai keputusan terakhir.  Ini adalah untuk memberi nilai yang benar-benar jitu.  Apabila kepekatan plumbum didapati pada tahap 10 mikrogram/100ml atau lebih, kajian ulangan pengesahan dilakukan.  

Sebelum daripada itu, satu sesi taklimat tentang tujuan dan tatacara kajian telah diberikan kepada penjaga/ibu-bapa kanak-kanak terbabit oleh kakitangan PRN dengan kerjasama pihak YBI.  Sambutan yang diberikan amatlah  menggalakkan.  

Hasil kajian

 Penemuan utama yang diperolehi adalah:

 Penentuan tahap pendedahan plumbum keseluruhannya menampakkan sebanyak 5.5% daripada sampel darah kanak-kanak yang dianalisis mengandungi plumbum 10 mikrogram/100ml atau lebih berbanding dengan 37.7% antara 5-9.99 mikrogram/100ml dan 56.8% di antara 0.33-4.99 mikrogram/100ml.

 Julat kepekatan plumbum dalam darah yang dianalisis adalah antara 0.48 hingga 17.14 mikrogram/100ml.  Tiada sampel yang tidak mengandungi plumbum.  Daripada segi populasi kanak-kanak yang terlibat, kajian ini menunjukkan bahawa peringkat umur mempengaruhi pendedahan plumbum.  Kanak-kanak dalam usia enam (6) tahun dan lebih mempunyai tahap pendedahan yang lebih tinggi berbanding dengan peringkat umur yang lebih awal pada kepekatan 55 mikrogram/100ml ke atas.  Ini menampakkan kemungkinan besar berlakunya penyerapan plumbum secara berterusan dari masa ke masa.

Kesimpulan

Kesimpulan, walaupun secara umum tahap keracunan plumbum di kalangan kanak-kanak dianggap sebagai tidak membimbangkan, namun setakat ini hampir 6% daripada kanak-kanak yang dikaji memerlukan perhatian serius. Memandangkan kajian telah tertangguh sejak antara tahun 1997, langkah yan perlu diambil termasuklah: 

  • Mengulangi kajian pada populasi yang berkepekatan plumbum 5 mikrogram/100ml dalam masa  6 – 12 bulan.
  • Membuat kajian susulan kepada ahli-ahli keluarga lain, khususnya bagi mereka yang mempunyai kepekatan plumbum 5 mikrogram/100ml atau lebih, serta
  • Merancang dan menyusun kajian yang lebih meluas – merangkumi seluruh Pulau Pinang.

Kelompok-kelompok umur yang terlibat juga perlu dikenalpasti dengan lebih dekat lagi.  Ini akan membolehkan langkah-langkah pengawalan dan pencegahan dilakukan secara berkesan lagi.

Pengenalpasti kawasan-kawasan berisiko tinggi juga masih belum begitu jelas setakat ini.  Petaan kawasan dapat dilakukan apabila bilangan sampel yang diuji adalah cukup besar.