Skip to main content

vcc

Bahaya Menanti Perokok Pasif

Oleh: Mohamed Izham Mohamed Ibrahim (PhD)
Bahaya Menanti Perokok Pasif

Tabiat buruk merokok semakin berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia walaupun kerajaan telah menetapkan peraturan larangan merokok di kawasan tertentu. Tingkahlaku individu tidak bertanggungjawap ini seolah-olah sengaja tidak menghormati masyarakat umum yang tidak merokok dan mencabar kewibawaan undang-undang.

Mengapa Rokok Bahaya?

Asap rokok mengandungi ribuan bahan kimia beracun. Bahan utama yang terdapat dalam rokok ialah tar, nikotin dan karbon monoksida. Nikotin merupakan drug yang boleh menyebabkan ketagihan yang terkandung dalam tembakau. Lebih memburukkan keadaan lagi ialah penggunaan racun serangga dalam penjagaan pokok tembakau berserta pelbagai bahan kimia lain yang ditambahkan semasa proses pembuatan rokok. Dengan ini jelaslah bahawa merokok merupakan satu tabiat yang merbahaya dan rokok bolehlah dianggap sebagai "kilang yang menghasilkan pelbagai bahan kimia beracun".

Ads:

Siapa Itu Perokok Pasif?

Perokok pasif ialah mereka yang secara tidak sengaja dipaksa menyedut asap rokok yang dihembuskan oleh perokok. Asap rokok yang dibebaskan ke udara ini dikenali sebagai 'Asap Tembakau Persekitaran' (ETS- Environmental Tobacco Smoke).

Mengapa Perokok Pasif Dalam Bahaya?

Jumlah asap yang disedut oleh perokok pasif bergantung kepada: 

  • saiz dan pengalihan udara kawasan di mana individu itu berada
  • jumlah perokok dalam kawasan tersebut
  • jumlah rokok yang dihisap oleh perokok

Ada laporan menunjukkan bahawa seorang perokok pasif menyedut lebih banyak bahan beracun berbanding dengan seorang perokok. Bukan perokok yang terdedah kepada ETS di tempat kerja bolehlah disamakan dengan menyedut 5-6 batang rokok setiap hari. ETS boleh menyebabkan bukan perokok mendapat penyakit kanser paru-paru. Menurut kajian lagi bukan perokok yang tinggal serumah dengan seorang perokok mempunyai 2 kali lebih kemungkinan untuk mendapat kanser paru-paru. Perokok pasif juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit jantung dan angin ahmar. Selain dari itu, ETS juga merupakan faktor utama penyebab serangan asma terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Kesimpulan

Walaupun telah banyak kajian berkenaan keburukan merokok dilaporkan, namun banyak pihak yang masih tidak serius dalam menangani gejala ini. Rokok boleh menjejaskan kesihatan bukan saja kepada perokok malah janin, bayi, kanak-kanak, serta perokok pasif yang lain.