Skip to main content

vcc

Asap Rokok Basi: Dedahkan Faktanya

Oleh: natrah@usm.my
Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2001
Pesanan dari Profesor Dato' Dzulkifli Abd. Razak, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Assalamualaikum w.r.b. dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah bertemu kita sekali lagi bagi menyambut Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang dirayakan setiap 31hb. Mei. Tahun ini, tema perayaan ini ialah Asap Rokok Basi: Dedahkan Faktanya. Tema ini dipilih untuk menerangkan betapa bahayanya asap rokok basi atau asap rokok yang dihembus oleh perokok terhadap kesihatan orang-orang di sekelilingnya. Istilah saintifiknya ialah merokok secara pasif (passive smoking) manakala asap yang dihembus dikenali asap tembakau persekitaran.

Kajian WHO mendapati bahawa asap ini mengandungi lebih banyak bahan-bahan beracun seperti nikotin, formaldehida, penyebab kanser dan benzena berbanding dengan asap utama yang disedut oleh perokok. Malah asap ini lebih merbahaya kerana ia akan terapung di udara beberapa ketika.

Hari Tanpa Tembakau merupakan usaha yang ditaja oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia secara global, bertujuan untuk mengingatkan kita tentang wabak tembakau yang meracuni masyarakat dunia serta membunuh empat juta penduduk dunia setiap tahun dan angka ini dijangka meningkat kepada 10 juta orang di tahun 2030. Tujuh puluh peratus kematian melibatkan mereka dari negara-negara membangun. 

Perkembangan terkini menunjukkan tembakau telah dijadikan isu perdagangan antarabangsa di bawah WTO.  Dalam usaha mendapatkan pasaran baru serta tekanan penurunan permintaan di negara-negara maju, syarikat-syarikat gergasi tembakau telah menyusun semula strategi perniagaan mereka dengan berusaha mengurangkan tarif ke atas rokok di negara membangun di samping mengabungkan syarikat-syarikat ini menjadi entiti perniagaan yang besar. Usaha agresif syarikat-syarikat ini secara langsung akan menjadikan usaha membendung tabiat buruk merokok di kalangan rakyat Malaysia bertambah sukar.

Tema tahun ini juga bertujuan untuk mendedahkan tipu daya syarikat tembakau mengenai perokok pasif. Walaupun banyak kajian yang telah dijalankan oleh WHO mengesahkan kesan toksik asap tembakau basi, syarikat-syarikat tembakau masih juga menggunakan tipu muslihat untuk menipu perokok dengan memperkecilkan kesan asap rokok secara pasif ini.

Malahan, kajian dalaman yang dijalankan oleh penyelidik syarikat rokok juga mengesahkan bahawa asap tembakau basi boleh mengakibatkan maut dan penyakit kepada orang di sekeliling perokok. Dalam mengatasi ancaman ini, syarikat-syarikat tembakau telah menjadikan isu ini sebagai sebahagian dari strategi korporat melalui tentangan kepada peruntukan undang-undang yang melindung orang awam dari asap tembakau basi. Usaha jelik ini terbongkar dalam memorandum dalaman Syarikat Philip Morris pada tahun 1988 yang berbunyi "Philip Morris' worldwide strategy is to coordinate and pay so many scientists on an international basis to keep the environmental tobacco controversy alive".

Kesan asap tembakau basi kepada kesihatan orang-orang yang terdekat dengan perokok telah lama terbukti. Kajian WHO menunjukkan bahawa wanita yang bersuamikan perokok mempunyai risiko 30% lebih tinggi mendapat barah paru-paru. Peratusan ini meningkat bergantung kepada jumlah rokok yang dihisap oleh sang suami dalam sehari. Kesan merokok pasif terhadap anak-anak perokok (ibubapa yang merokok) lebih membimbangkan. Menurut WHO lagi, pendedahan kepada kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah meningkatkan lagi berlakunya asma jika ibubapa menghisap 10 batang rokok atau lebih. Kesan pendedahan asap rokok kepada kanak-kanak termasuklah jangkitan telinga, jangkitan saluran pernafasan dan sindrom kematian bayi secara mengejut (sudden infant death syndrome, SIDS).

Sebagai penutup, suka saya mengingati warga USM sekelian bahawa setiap individu di USM ini berhak untuk mendapat udara bersih yang bebas dari asap tembakau basi. Bagi ibubapa yang merokok, hentikan tabiat buruk ini di dalam rumah atau semasa memandu kenderaan kerana ia akan memberi kesan negatif kepada anak-anak anda. Bagi isteri perokok pula, bantulah suami untuk berhenti daripada tabiat sia-sia ini.

Yang ikhlas,
Profesor Dato' Dzulkifli Abd Razak
Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia