Skip to main content

vcc

TRETINOIN

Oleh: Norjuliana Mohd Noor
TRETINOIN

Masalah jerawat merupakan masalah kulit yang lazim berlaku terutamanya dalam kalangan remaja. Ianya terjadi apabila minyak dan sel kulit menyumbat folikel rambut. Kadangkala bakteria juga boleh menjangkiti folikel dan mengakibatkan benjolan besar serta radang yang dipanggil cystic acne. Jerawat boleh berlaku di mana-mana sahaja bahagian tubuh kita. Bagi mengatasi masalah jerawat ini, kebiasaannya pengguna akan menggunakan produk kosmetik sebagai solusinya.

Dalam pasaran, pelbagai produk telah dihasilkan untuk mengatasi masalah jerawat. Dalam usaha untuk mendapatkan produk yang berkesan, pengeluar produk kosmetik untuk jerawat telah mencampurkan pelbagai bahan untuk memenuhi kehendak pengguna. Dalam keghairahan untuk menghasilkan produk yang berkesan, ada segelintir pengeluar produk yang tidak bertanggungjawab telah mencampurkan bahan terlarang serta berbahaya tanpa mengira kesan jangka panjang kepada pengguna. Salah satu bahan terlarang yang sering dicampur ke dalam produk untuk mengatasi masalah jerawat adalah Tretinoin.

Tretinion sebenarnya adalah satu bahan yang berasal daripada vitamin A yang dipanggil retin-A. Retin-A merupakan bahan paling berkesan yang digunakan dalam merawat jerawat dan penuaan kulit. Ia juga digunakan untuk merawat psoriasis dan beberapa jenis kanser. Tretinoin merupakan racun berjadual yang dikawal dibawah Akta Racun 1952. Ini bermakna produk yang mengandungi Tretinoin dikelaskan sebagai produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan sahaja.

Pengeluar produk kosmetik untuk jerawat tidak boleh sewenang-wenangnya mencampurkan Tritenoin dalam produk kosmetik mereka. Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik yang mengandungi Tretinoin adalah menyalahi Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 ataupenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi KEMERAHAN, TIDAK SELESA, PEDIH, MENGELUPAS dan HIPERSENSITIF kepada cahaya matahari.

Sehubungan itu, pengguna perlulah berhati-hati dalam memilih lambakan produk kosmetik di dalam pasaran. Elakkan daripada membeli produk kosmetik secara atas talian atau dari sumber yang tidak diyakini kerana dikhuatiri mengandungi bahan-bahan kawalan seperti Tretinoin. Pengguna juga boleh melaporkan kepada pihak NPRA sekiranya produk kosmetik bernotifikasi yang digunakan menyebabkan kesan yang tidak diingini dan sekiranya ia disyaki mengandungi bahan terlarang seperti Tretinoin.