Skip to main content

vcc

Kurus Badan Melalui MEROKOK?

Oleh: natrah@usm.my

Satu Lagi Dakyah Industri Tembakau

Satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik di London mendapati bahawa kebanyakan remaja perempuan di London, Britain dan juga Ottawa, Kanada, merokok kerana mahu menguruskan badan. Mengikut penyelidikan tersebut, ia membabitkan kira-kira 2800 remaja perempuan di kedua-dua negara dalam lingkungan usia 11-18 tahun. Sejumlah 20% daripada mereka dikatakan merokok.

Dapatan kajian ini sepatutnya menimbulkan rasa bimbang di kalangan ibubapa serta masyarakat umumnya oleh kerana ada kemungkinan yang remaja perempuan di negara ini juga akan turut dipengaruhi dengan hujah-hujah yang sama. Ini memandangkan yang keprihatinan tentang berat badan di kalangan remaja perempuan amnya adalah satu perkara yang penting bagi kebanyakan daripada mereka. Kajian sosio-budaya di banyak tempat sering menonjolkan bahawa ramai wanita percaya bahawa tubuh badan mereka menjadi lebih ramping dalam masa dua (2) dekad yang lalu, sedangkan yang sebenarnya kebanyakan daripada mereka mengalami berat badan yang meningkat. Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan bahawa ramai wanita terus tidak berpuas hati dengan berat badan mereka dan menginginkan berat badan yang lebih langsing. Sekaligus ini membuat lebih ramai daripada mereka mengamalkan cara-cara yang tertentu untuk mengurangkan berat badan masing-masing.

Pengaruh Iklan

Mengikut satu kajian pada tahun 1996, kaitan merokok dengan kawalan berat badan telah mula diutarakan melalui iklan-iklan rokok sejak tahun 1920an lagi, khususnya di Amerika Syarikat. Sebagai contoh satu iklan jenama rokok Lucky Strike telah mengutarakan slogan "Reach for a Lucky instead of a sweet" (Cubalah Lucky daripada gula-gula). Malah mengikut kajian tersebut, iklan-iklan rokok semasa masih disasarkan kepada wanita dengan menekankan beberapa sifat kawalan berat badan melalui merokok secara tidak langsung. Mereka bukan sahaja menggunakan remaja-remaja perempuan berbadan langsing sebagai model dalam iklan-iklan, tetapi acap kali mempamerkan nama-nama rokok yang ada kaitan dengan kelangsingan badan dengan menggunakan istilah seperti "slenderness" (ramping) dan "slimness" (langsing).

Ini menunjukkan yang syarikat-syarikat tembakau mempunyai strategi untuk memperluaskan pasaran mereka di kalangan wanita yang sehingga kini masih belum dieksploitasikan sepenuhnya. Di Amerika Syarikat sahaja, industri tembakau dikatakan berbelanja sebanyak US$4.6 bilion setahun ataupun US$12.6 milion (anggaran RM 50 juta) sehari untuk pengiklanan. Iklan-iklan ini dipaparkan sebagai satu simbol "kebebasan", "kedewasaan", "kejayaan", "impian" serta juga cara-cara untuk bersosial dan berseronok. Ianya memberi gambaran bahawa penggunaan rokok adalah satu perkara yang biasa dan tidak lagi mengaibkan, khususnya kepada golongan wanita sambil mengambil kesempatan akan perubahan peranan yang kini sedang dialami oleh kaum wanita di dalam masyarakat dewasa ini.

Imej diri baru

Jelas iklan-iklan ini cuba memberi satu gambaran tentang imej positif kepada remaja-remaja melalui aktiviti-aktiviti merokok. Imej diri yang diutarakan mereka kepada remaja-remaja perempuan lebih bercorak "keyakinan", "kematangan" dan "keberanian" sebagai sifat-sifat dapat menukar imej seorang wanita yang sanggup melanggar nilai dan norma sosio-budaya apabila mengamalkan tabiat merokok. Ini diiringi pula dengan ciri keanggunan, seksi, sihat dan juga menyeronokkan sebagai daya tarikan kepada mereka. Pengiklanan seperti ini yang khusus disasarkan kepada wanita pada lewat tahun 60an dan awal 70an, didapati berjaya meningkatkan permulaan merokok di kalangan wanita pada ketika yang sama. Satu soal selidik di Amerika Syarikat sekitar tahun 1967 yang melibatkan lebih daripada 102,626 wanita menunjukkan peningkatan yang mendadak dalam permulaan merokok bagi remaja perempuan berumur bawah daripada 18 tahun, apabila iklan tembakau menyasarkan jenama tertentu kepada wanita. Kadar permulaan ini dikatakan lebih tinggi bagi wanita yang tidak mempunyai pendidikan tinggi. Sedangkan kadar permulaan bagi lelaki di peringkat umur yang serupa tidak menunjukkan peningkatan yang besar dalam jangkamasa yang sama.

Sebagai kesimpulan, bolehlah dikatakan bahawa dengan penekanan imej-imej dan juga tema-tema yang mempunyai nilai tinggi kepada remaja perempuan, iklan rokok dapat mempromosikan tabiat merokok sebagai satu cara untuk meningkatkan imej diri. Berbeza dengan remaja lelaki, remaja perempuan yang dikatakan lebih mudah merokok adalah dari kalangan mereka yang mempunyai imej diri yang lebih baik dan mempunyai kemahiran bersosial yang tinggi serta lebih yakin, berbanding dengan imej diri yang agak rendah bagi perokok remaja lelaki.

Lindungi remaja kita

Oleh yang demikian, masyarakat Malaysia umumnya dan ibu-bapa khasnya perlu prihatin terhadap iklan-iklan rokok yang kini tersiar bebas di negara ini yang tidak kurang menggunakan taktik-taktik sama dalam memikat remaja-remaja kepada tabiat merokok. Ini jelas kelihatan dalam media-media seharian yang sering memaparkan berbagai nilai palsu melalui iklan-iklan mereka. Dengan kesedaran ini, adalah diharapkan pihak yang bertanggungjawap akan lebih memainkan peranan untuk melindungi remaja kita, khususnya remaja perempuan, daripada terjebak dengan berbagai dakyah syarikat tembakau. Satu cara yang jelas adalah dengan menyekat pengiklanan sedemikian rupa supaya remaja kita tidak lagi tertipu dengan berbagai nilai palsu yang ingin diterapkan oleh syarikat rokok tentang imej diri termasuk yang berkaitan dengan berat badan. Sekiranya kita gagal mengambil langkah-langkah yang berkesan sekarang ini besar kemungkinan berbagai lagi gejala sosial akan timbul dikalangan remaja perempuan dalam masa yang terdekat ini.