Skip to main content

vcc

Jerebu - Mengapa racuni diri sendiri?

Oleh: natrah@usm.my

Jerebu bukannya satu istilah yang lazim digunakan. Hanya baru-baru ini saja ianya selalu disebut-sebut memandangkan kedudukan alam sekitar yang terus mengancam. Jika dahulunya kita dapati kabus yang sering menyelubungi pagi di desa-desa permai, kini jerebu pula yang menyusur menyelimuti kota-kota raya. Tetapi tidak bak kabus, jerebu terus memurami suasana sehari suntuk; kadangkala berhari-hari lamanya. Inilah yang sedang kita alami sekarang ini.

Apakah itu 'jerebu'? 

Secara ringkasnya jerebu menggambarkan satu keadaan di mana mutu persekitaran kita, khususnya udara sudah tercemar. Udara yang dihirup saban hari tidak lagi senyaman biasa, tetapi dipenuhi dengan berbagai debu, habuk dan juga bahan -bahan kimia.Walaupun manusia mempunyai keupayaan untuk menapis debu dan habuk daripada memasuki rongga tubuhnya, tetapi keupayaan itu mempunyai batasan tersendiri. Dalam keadaan yang agak teruk, tubuh kita turut dijerebui. Inilah sebabnya berbagai gangguan kesihatan berlaku apabila alam sekitar dicemari, terutama sekali bagi mereka yang sedang mengidapi penyakit berkaitan.

Bagi kita yang agak sihat ini, tidak bermakna kesihatan kita tidak terganggu. Lambat laun ia akan berlaku juga - soalnya hanya masa. Keadaan ini samalah seperti orang-orang yang mendampingi perokok. Walaupun ia mungkin tidak mengalami apa-apa gangguan penyakit serta merta, tetapi lama kelamaan ia pasti menderita oleh kerana asap rokok yang dihidu secara tidak langsung begitu lama. Pendek kata, alam sekitar sebenarnya amat penting sekali untuk dipelihara. Sebarang juga aktiviti sekecil manapun (seperti merokok) yang boleh menjejaskan keadaan alam sekitar mesti dicegah dan dihindarkan seboleh-bolehnya.
 

Perkara-perkara yang boleh mencemari alam sekitar
  1. Membakar secara terbuka 
  2. Menggunakan bahan bakar yang 'kotor' 
  3. Menggunakan minyak mengandungi plumbum untuk kenderaan 
  4. Kawalan pencemaran yang tidak berkesan


Di mana salahnya?

Sekarang apa yang jelas ialah selama ini kita tidak sangat menghiraukan, maupun ambil peduli, tentang udara yang dihirup dan alam sekitar yang kita bergelumang saban hari. Malah tidak adapun orang yang ambil endah asalkan saja kehidupan kita seharian tidak terbantut. Lagipun mahu tak mahu, setiap seseorang itu tidak dapat lari daripada alam sekitarnya, jadi apa benar yang hendak difikirkan. Tambahan pula sekian lama ini tidak ada sesuatu yang hendak digusarkan. Persekitaran sentiasa ceria. Udara nampaknya sentiasa nyaman, dan air nampaknya bersih. Jadi tidak ada hal yang mendesak sangat.

Kalaupun dahulu kita pernah terasa sesak nafas, ataupun rengsa pada mata, ini seseolah satu perkara yang agak berasingan. Kaitan penyakit dengan alam sekitar selama ini tidaklah begitu ketara hubungannya. Lazimnya apabila diberi ubat maka legalah ia. Jika berulangpun ubatnya masih ada. Inilah dia perilaku yang membentuk sikap cuai terhadap alam sekitar sehinggalah dalam beberapa bulan yang lalu. Kini ternyata bahawa sikap asuhan lama yang mengambil ringan kurniaan alam semulajadi membawa angkaranya sendiri. Secara tiba-tiba kita dapati suasana yang selama ini kita dampingi bertukar menjadi sesuatu yang membawa mudarat.

Kita tergesa-gesa diperingatkan bahawa alam sekitar juga perlu kepada `penjagaan' - malah merupakan salah satu 'amanah' yang diberikan kepada kita. Alam sekitar tidak boleh dibiarkan saja, apalagi dicemari kerana ini bukan saja menodai `amanah' yang diberikan, tetapi akan menyebabkan berbagai kesulitan kepada kehidupan seharian berbagai makhluk, termasuk haiwan dan tumbuh- tumbuhan.

Kepada manusia kesannya tidak kurang ketara. Sepertimana yang kita sedia maklum bilangan pesakit yang mengalami berbagai gangguan saluran pernafasan dan paru- paru telah meningkat ekoran daripada kejadian jerebu pada kali ini. Penyakit seperti lelah, sesak nafas dan radang paru-paru dilaporkan bertambah akibat daripada kemerosotan kualiti alam sekitar dewasa ini. Begitu juga halnya dengan mata apabila terdedak kepada jerebu, boleh menjadi berair dan rengsa serta terasa pedih-pedih. Kalau keadaan jerebu tidak beransur pulih, tidak hairan jika maut pula padahnya.

Sudah tentu bagi mereka yang berada dalam bilik-bilik serta ruang pejabat yang tertutup dan berhawa dingin hal ini tidak begitu merungsingkan. Sebaliknya yang paling banyak merasakan kesan buruk adalah mereka yang terpaksa menghabiskan banyak masa di luar dalam usaha mereka mencari rezeki. Ini terutamanya melibatkan pekerja buruh kasar, pihak polis lalu lintas, penjaja warong, peladang dan petani. Bahkan kanak-kanak sekolah serta pengguna jalan-raya amnya terutama sekali mereka yang terpaksa berjalan kaki maupun penunggang motosikal akan paling banyak terjejas. Sungguhpun orang ramai disyorkan supaya lebih kerap berada dalam bangunan untuk mengelakkan kesan jerebu, namun ini mustahil bagi mereka yang selalu berurusan di luar rumah. Mereka yang kais pagi makan pagi jugalah yang akan lebih sering terancam.

Langkah-langkah mengatasi jerebu

Walaupun beberapa langkah awal untuk mengelakkan jerebu ada disyorkan, umumnya langkah-langkah yang dapat diambil dengan berkesan amat terhad. Ini memandangkan perkaitan begitu rapat di antara kehidupan seharian dengan alam sekitar yang mengelilingi kita. Kita hampir tidak boleh lari daripada alam sekitar seburuk mana sekalipun keadaannya.
 

Antara langkah-langkah awal lain yang dapat diambil adalah:
  • menutup hidung dan mulut semasa berada di luar 
  • memakai kaca mata yang boleh melindungi mata 
  • meminum air yang banyak untuk melegakan rongga pernafasan, khususnya tekak 
  • mengurangkan masa berada dalam keadaan berjerebu


Dalam menentukan langkah-langkah jangka panjang yang sewajarnya, keadaan berjerebu selalunya ditakrifkan mengikut suatu Indeks Pencemaran Udara (IPU) khususnya apabila melampaui angka 100. Berdasarkan ini, kerajaan telah menyusun beberapa langkah sebagai usaha menyelamat kesihatan rakyat. Antaranya adalah seperti berikut:

INDEKS PENCEMARAN UDARA DAN LANGKAH YANG BOLEH DIAMBIL
 

101 - 150 Keadaan tidak sihat
(lebih 24 jam)
  • Kurangkan aktiviti yang menggunakan bahan yang boleh mencemarkan udara seperti: menyembur, mengecat 
  • Menggunakan air semburan untuk menggurangkan habuk 
  • Mengurangkan penggunaan alat yang boleh menghasilkan bahan pencemaran 
  • Mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor 
(lebih 72 jam)
  • Memantau kes gangguan pernafasan 
  • Mengetatkan kawalan penggunaan kenderaan bermotor seperti mengenakan pembayaran letak kereta yang tinggi 
  • Mengalakkan penggunaan kenderaan awam 
  • Penggunaan bahan bakar yang lebih 'bersih' (kandungan belerang rendah atau bahan bakar gas) 
151 - 200 Keadaan masih tidak sihat
(lebih 72 jam)
  • Menasihati orang awan menjauhi tempat berjerebu 
  • Pengharaman pembakaran secara terbuka 
  • Penggurangan guna bahan bakar cecair sebanyak 30% 
  • Menghadkan kemasukan kenderaan di kawasan yang terlibat 
  • Kawalan lebih ketat kepada industri 
201 - 250 Keadaan lebih tidak sihat
(lebih 48 jam)
  • Menasihati orang awam mengambil langkah kesihatan yang lebih teliti 
  • Penggunaan kenderaan lama termasuk bas dan lori digantung 
  • Penggunaan kenderaan awam secara percuma atau berdiskaun 
  • Menggurangkan penggunaan eletrik, hawa dingin dan peralatan elektik lain 
  • Kegiatan industri pencemar (kilang simen, batu dan penapis) dikurangkan 
  • Penggunaan bahan bakar kurang belerang 
251 - 300 Keadaan amat tidak sihat, Amaran
(lebih 48 jam)
  • Mengurangkan waktu persekolahan 
  • Mengurangkan masa bekerja 
  • Penggunaan kenderaan awam secara percuma atau diskaun 
  • Pesakit mengidapi penyakit pernafasan dinasihati meninggalkan kawasan yang terlibat 
301 - 400 Merbahaya, Kecemasan
(lebih 24 jam)
  • Sekolah ditutup 
  • Hari kerja selang hari 
  • Pengharaman kenderaan persendirian 
  • Kegiatan industri pencemar dihentikan 
  • Pesakit mengidapi penyakit pernafasan diarah meninggalkan kawasan yang terlibat 
(Melebihi 400) Amat merbahaya Dharurat
  • Pesakit mengidapi penyakit pernafasan diarah meninggalkan kawasan yang terlibat 
  • Kurangkan masak-memasak, makan makanan tersedia dan buah-buahan 
  • Isytihar keadaan dharurat 
  • Pemindahan ke tempat lebih selamat 

 

Gas merbahaya juga terkandung dalam jerebu

Walaupun, berbagai langkah telah dirancang dalam menghadapi keadaan berjerebu. Langkah-langkah ini tidak bererti sama sekali selagi masyarakat tidak bersungguh-sungguh memainkan peranan mereka dalam membantu meredakan keadaan.

Apa yang jelas daripada syor-syor seperti di atas adalah hakikat bahawa langkah -langkah yang ada untuk menghadapi masalah persekitaran seumpama ini amatlah terhad sekali. Kesudahannya kita akan terpaksa berpindah apabila keadaan menjadi semakin buruk. Soalnya kita akan berpindah ke mana seandainya seluruh negara ditelani jerebu. Oleh itu kini bolehlah diinsafi bahawa kita sebenarnya sedang meracuni diri sendiri apabila alam sekitar kita dicemari sama ada dengan sengaja atau tidak.
 

Contoh bahan racun kimia yang didapati dalam udara tercemar
  • Sulfur dioksida 
  • Karbon monoksida 
  • Nitrogen dioksida 
  • Bahan pengoksidanan (Ozon) 
  • Logam berat seperti plumbum 


Sebagai kesimpulan, apa yang penting adalah bagi kita menukar cara hidup serta juga sikap yang acuh tak acuh kita terhadap alam sekitar selama ini. Hanya dengan ini barulah kita dapat menyelamatkan bukan saja diri kita, tetapi juga generasi serta masyarakat yang akan datang.