Skip to main content

vcc

Keracunan Pestisid: PRN Sedia Membantu

Oleh: natrah@usm.my

Sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar tempatan baru-baru ini, kes keracunan dan kemalangan akibat daripada penggunaan bahan kimia dalam sektor pertanian yang dikesan sepanjang tahun 1993 adalah sebanyak 528 kes. Daripada jumlah ini, 80 kes kematian dikesan. Bilangan sebenar kes-kes keracunan seperti ini dijangkakan adalah jauh lebih tinggi kerana tidak semua kejadian ini dilaporkan atau dirujukkan ke hospital. Menurut anggaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 1983, sebanyak 3 juta kes keracunan pestisid berlaku setiap tahun dengan kematian membabitkan 220,000 orang. Tinjauan mengenai keracunan minor di empat negara Asia menunjukkan, setiap tahun seramai 25 juta petani terdedah kepada keracunan pestisid di negara-negara dunia ketiga.

Bagi Malaysia yang merupakan sebuah negara pertanian, pergantungan kepada bahan-bahan pestisid bagi memastikan hasil tanaman yang tinggi akan terus berlaku. Dalam keadaan sedemikian, pendedahan pekerja kepada bahaya bahan-bahan ini akan berterusan. Di semenanjung Malaysia sahaja ada lebih kurang 4.3 juta orang yang ditempatkan di 1.5 juta hektar ladang getah dan 0.6 juta hektar ladang kelapa sawit. Jumlah ini tidak termasuk bidang-bidang pertanian lain yang juga menggunakan bahan pestisid. Bancian yang di jalankan oleh industri pertanian tempatan menunjukkan bahawa pada tahun 1987, kebanyakan daripada 715,000 pekebun kecil ladang getah dan kelapa sawit menggunakan parakuat. Sepanjang sepuluh tahun sahaja (1979-1988) pestisid menyebabkan 40.3% kes keracunan manusia di Malaysia. Di antara jenis-jenis pestisid yang sering terbabit dalam keracunan termasuklah parakuat 27.8%, lain-lain racun rumpai 1.7%, malation 4.7%, lain-lain organofosfat 2.1%, organoklorin 2.6% dan lain-lain pestisid 1.4%. Dianggarkan 73% daripada kes keracunan membabitkan parakuat adalah disengajakan iaitu untuk tujuan membunuh diri, berbanding dengan hanya 14% disebabkan olah kemalangan dan 1% disebabkan oleh pendedahan semasa menjalankan kerja. Dalam tahun 1991, satu laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kilang dan Jentera Malaysia (iaitu badan yang melaksanakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja) telah menunjukkan bahawa kadar kemalangan daripada cara penggunaan bahan pestisid yang tidak betul adalah empat kali lebih tinggi berbanding dengan kemalangan yang berlaku dalam industri-industri lain. Kadar yang dilaporkan adalah 93 orang bagi setiap 1,000 pekerja berbanding purata kebangsaan iaitu 23 orang bagi setiap 1,000 pekerja.

Bagi menyokong usaha kerajaan untuk membendung masalah ini PRN sedia membantu dan bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat termasuk agensi-agensi bukan kerajaan. Setakat ini PRN telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan percaya bahawa usaha ini dapat dipertingkatkan lagi.