Skip to main content

vcc

Peluntur “Minuman Kegemaran” Rakyat Malaysia

Oleh: Adilah Mohamed Ariff

68ms4

Mungkin nampak pelik atau sentap membaca tajuk yang cuba PRN ketengahkan kali ini. Tapi itulah realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berhasrat membunuh diri atau mungkin terminum bahan ini akibat pengendalian dan penyimpanan yang salah. Peluntur berasaskan KLORIN mungkin menjadi produk “terpilih” kerana hampir setiap rumah menyimpan bahan ini untuk mencuci kotoran degil.

Statistik kes keracunan yang dirujuk ke Pusat Racun Negara menunjukkan bahawa produk pencuci merupakan produk kegunaan isirumah yang paling kerap menyebabkan keracunan sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Jika diteliti jenis produk pencuci yang terlibat, produk peluntur klorin menduduki tempat pertama dalam carta tersebut dengan lebih kurang 50 peratus daripada kes keracunan produk pencuci. Umpamanya jika 500 kes produk pencuci yang dirujuk ke PRN, 250 kes adalah kes membabitkan peluntur klorin.

Walaupun ia seperti menjadi “minuman kegemaran”, sangatlah jarang kita mendengar kes kematian akibat meminum peluntur klorin ini, tetapi ada yang pengsan akibat terhidu gas yang dihasilkan dengan mencampurkannya dengan bahan pencuci lain khususnya yang berasaskan ammonia atau asid.

Bahan aktif peluntur klorin dikenali sebagai sodium hypochlorite atau mungkin sesetengah label mencatatkan sebagai sodium hypochlorite atau hypochlorous solution. Produk peluntur kegunaan isi rumah biasanya menpunyai kepekatan yang rendah iaitu bawah daripada 6% dan kerana itu juga jarang ditemui komplikasi yang teruk bagi pesakit/mangsa kes keracunan bahan ini. Malah cubaan membunuh diri dengan meminum bahan peluntur klorin mungkin sia-sia sahaja tetapi kesannya yang paling ringan seperti sakit tekak dan muntah mungkin akan menyebabkan pesakit lebih menderita menanggungnya.

Sejak penularan wabak Covid-19, produk ini semakin menjadi kegemaran ramai; bukanlah untuk membunuh diri tetapi untuk menyahkuman di permukaan tertentu atau melakukan kerja-kerja sanitasi kawasan yang disyaki atau berisiko dicemari virus ini. Ramai yang mengajukan pertanyaan kepada PRN tentang cara penggunaannya serta isu toksisiti atau keselamatan kimia bahan ini. KKM telah mengeluarkan garis panduan pencairan yang boleh digunapakai oleh pengguna yang hendak melakukan sanitasi iaitu mencampur 1 bahagian sodium hypochlorite dengan 9 bahagian air. Bahan ini boleh menyebabkan iritasi dan perlu dikendalikan dengan memakai pakaian serta alat perlindungan yang sesuai. Kawasan yang disembur sebaiknya dibiarkan kering sebelum sebarang aktiviti dilaksanakan di lokasi tersebut. Sekiranya digunakan mengikut garis panduan yang ditetapkan, risiko keracunan sangatlah rendah.

Hentikan menyiksa diri dengan meminum peluntur klorin. Hentikan penularan covid dengan menggunakan peluntur klorin dengan selamat.