Skip to main content

vcc

Penyalahgunaan Dadah Bahaya Terhadap Ibu Hamil dan Janin

Oleh: natrah@usm.my

Oleh: Mohamed Izham Mohamed Ibrahim PhD.

Kajian terperinci telah menunjukkan penyalahgunaan dadah semasa tempoh kehamilan boleh memudaratkan proses perkembangan janin. Dua risiko utama akibat kemudaratan tersebut ialah fenomena yang dikenali sebagai kecacatan rupa paras dan tingkahlaku yang tidak normal. Penyalahgunaan dadah boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak akibat daripada kesan ke atas sistem saraf (neurologi) dan tingkahlaku.

Unit ibu-uri-janin merupakan satu model farmakologi yang kompleks. Setiap komponen boleh terlibat dalam proses pelupusan dan keracunan ubat secara langsung atau tidak langsung.

Penggunaan dadah boleh menghasilkan kesan terhadap mental ibu-ibu yang mengandung dan membuatkan ibu-ibu tersebut ketagihan dan terus menggunakannya. Dadah-dadah yang boleh memberi kesan mental dengan memasuki bahagian otak ibu mampu memasuki uri dan membawa kesan mudarat kepada janin. Dadah-dadah bersifat penenang dan perangsang boleh mengurangkan selera makan ibu dan mengakibatkan ibu kekurangan zat makanan semasa hamil. Dadah-dadah ini juga boleh memberi kesan kepada sistem peredaran uri dan fungsi metabolik uri. Sesetengah dadah boleh mengakibatkan sindrom "menahan diri" (abstinence) kepada bayi yang baru lahir. Sikap salahguna dadah selepas bersalin boleh mengakibatkan pendedahan kanak-kanak kepada kesan mudarat semasa penyusuan bayi dan menjejaskan aktiviti penjagaan bayi tersebut.

Salahguna dadah neuroaktif seperti marijuana atau kanabis boleh merencat sistem hormon seks wanita (penghasilan hormon). Perencatan hormon kehamilan boleh mengakibatkan penjejasan perkembangan dan fungsi uri dan keguguran.

Penggunaan alkohol boleh mengakibatkan sindrom alkohol janin (fetal alcohol syndrome). Sindrom ini telah dikenalpasti pada tahun 1973. Diantara kesan yang boleh dilihat pada janin ialah

  1. kesan pertumbuhan pranatal dari segi panjang dan berat;
  2. mikrosefali, keadaan di mana gangguan pertumbuhan otak dan saiz kepala yang tidak normal berbanding dengan saiz badan, dan
  3. keadaan paras muka yang tidak normal. Kanak-kanak yang mengalami sindrom ini adalah kecil berbanding dengan kanak-kanak lain yang sebaya dan keadaan ini berpanjangan sepanjang tempoh alam kanak-kanak.

Alkohol boleh menghalang penyerapan dan metabolisme zat makanan, vitamin dan mineral. Kajian juga menunjukkan bahawa penyalahgunaan alkohol oleh ibu hamil boleh meningkatkan risiko kerencatan mental kanak-kanak yang akan dilahirkan. Penggunaan alkohol juga boleh mengakibatkan perencatan pertumbuhan dalam rahim (intrauterine).

Penyalahgunaan dadah berganda merupakan masalah yang sering berlaku dan ini lebih merumitkan keadaan ibu dan janin. Ketagihan kokain atau kokain bersama alkohol dikatakan salah satu masalah penyalahgunaan dadah yang utama. Penggunaan kokain semasa tempoh trimester pertama kehamilan (3 bulan pertama) boleh mengakibatkan keguguran secara spontan. Penggunaannya semasa tempoh trimester ketiga kehamilan (3 bulan terakhir) pula boleh meningkatkan risiko "abruptio placentae" dalam tempoh 30 minit selepas mengambilnya iaitu satu keadaan di mana uri terpisah daripada rahim sebelum waktunya. Salahguna bahan narkotik oleh ibu hamil boleh mengakibatkan kejadian sindrom "menahan diri" narkotik kepada bayi yang baru lahir. Di antara ciri- ciri yang akan dialami oleh bayi tersebut ialah terketar-ketar, menangis dalam nada yang tinggi, berpeluh, dan gangguan sistem gastrousus (penghadaman).

Bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang menyalahgunakan dadah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit dan maut berbanding dengan bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu lain secara umum. OLEH ITU, JANGAN DEKATI DADAH!

Faktor-faktor penyumbang kesan mudarat ke atas proses kehamilan dan kandungan

Faktor ibu

  • Jumlah dan jangka masa pengambilan dadah
  • Salah guna dadah berganda
  • Saluran administrasi dadah
  • Penjagaan pranatal
  • Keupayaan dan sifat keibuan

Faktor uri

  • Pemindaan dadah oleh uri
  • Metabolisme dadah oleh uri
  • Kesan toksisiti dadah ke atas uri

Faktor janin

  • Kerentanan genetik terhadap toksisiti dadah
  • Tahap perkembangan janin/embrionik
  • Aktiviti biotransformasi dadah yang tidak matang

Faktor dadah

  • Tindakan farmakologi

Potensi

  • Kontaminasi dadah dengan bahan