Skip to main content

vcc

Ubat antikanser - Risiko penggunaan ubat terhadap janin

Oleh: natrah@usm.my

Mohamed Izham Mohamed Ibrahim (PhD)

Rawatan penyakit kanser atau kemoterapi adalah satu kaedah rawatan penyakit kanser yang menggunakan agen antikanser.

Antara agen-agen antikanser yang biasa digunakan adalah alkilat, androgen, antrasiklin, antibiotik, iritan, antagonis folat, antimetabolit, hormon, antimikrotubular, antagonis hormon, nitrogen mustard, podofilotoksin, vesikan, alkanoid vinka dan perencat sintesis protein.

Laporan menunjukkan, tiada peningkatan insidens, kemudaratan kepada janin berlaku terhadap ibu-ibu yang pernah menjalani rawatan ini. Namun begitu, laporan hasil kajian berkaitan kesan antikanser terhadap janin adalah terhad disebabkan dos yang rendah, subjek kajian terlalu sedikit dan tiada kajian susulan terhadap bayi yang telah dilahirkan.

Antara aspek yang perlu dilihat terhadap keadaan janin dalam kandungan ibu yang menerima rawatan antikanser ialah pembesaran fizikal, fungsi intelektual dan saraf, fungsi bahagian seksual dan pembiakan dan kejadian kanser serta mutasi genetik menerusi uri.

Kemungkinan berlaku adalah kecacatan berkait rapat dengan tahap pendedahan dan tempoh kehamilan, jenis agen, dos dan kekerapan ubat. Semasa trimester pertama, kemungkinan berlakunya kecacatan dan kematian janin adalah tinggi. Manakala semasa trimester kedua dan ketiga pula kemoterapi akan menjejaskan pertumbuhan janin dan perkembangan fungsi otak dan jarang mengakibatkan kecacatan.

Risiko dan kebaikan rawatan kanser pada ibu hamil perlu dinilai secara individu iaitu berdasarkan kepada hasrat ibu tersebut untuk terus hamil dan keperluan rawatan segera yang boleh membahayakan janin. Jika ibu ingin terus hamil dan keadaan kesihatannya mengizinkan, kemoterapi boleh dilewatkan sehingga selepas tempoh trimester pertama. Manakala dalam trimester 2 dan 3, ia mesti dilakukan secara berhati-hati.

Proses dan masa kelahiran bayi pada ibu-ibu yang menerima rawatan ini perlu dirancang dan dimantau dengan teliti. Pemantauan yang teliti juga perlu terhadap status darah bayi, selain dari itu profil pembentukan darah ibu mestilah ditahap optimum.

Kemoterapi boleh menyebabkan kesan sampingan kepada ibu di mana ubat tambahan seperti antibiotik, analgesik, dan antikoagulan yang juga boleh membahayakan janin diperlukan.

Pemberian susu ibu juga perlu dielakkan kerana ubat antikanser boleh memasuki susu ibu dan memudaratkan bayi.