Bermain mercun biasanya dikaitkan dengan budaya semasa sambutan pelbagai perayaan di Malaysia, namun kebanyakannya hanya sekadar memeriahkan suasana. Saban tahun juga, kita mendengar kisah duka kemalangan akibat letupan mercun hingga mengakibatkan kecacatan anggota badan bahkan ada yang kehilangan jiwa.
Selain menyebabkan kecederaan akibat letupan, mercun juga berisiko menyebabkan keracunan. Pusat Racun Negara (PRN) melalui talian khidmat nasihat keracunan pernah menerima panggilan berkaitan kes keracunan mercun. Dalam tempoh 10 tahun, terdapat lebih 30 kes keracunan mercun yang dirujuk kepada PRN dan kebanyakannya melibatkan kanak-kanak berusia 5 tahun dan ke bawah. Namun demikian, bilangan ini mungkin jauh lebih rendah daripada bilangan sebenar yang tidak dirujuk kepada PRN.
Dalam hal ini, kanak-kanak merupakan golongan yang paling berisiko terdedah kepada keracunan mercun. Tidak dapat dinafikan, permainan mercun pasti menarik minat kanak-kanak untuk melihat dan mencubanya. Peningkatan jumlah mercun dalam pasaran dimusim perayaan mungkin boleh mempengaruhi kejadian kemalangan atau keracunan yang bakal berlaku daripada penggunaan mercun.
Faktor utama yang mengakibatkan peningkatan berlakunya kejadian keracunan mercun adalah akses yang mudah kepada produk ini. Sebarang bahan kimia yang tidak disimpan dengan selamat atau di simpan di tempat yang mudah dicapai kanak-kanak, akan meningkatkan kemungkinan untuk berlaku keracunan. Ini ditambah lagi dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka mencuba sesuatu dan tidak dapat membezakan sama ada sesuatu itu boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.
Mercun mengandungi bahan kimia toksik yang boleh memudaratkan jika ditelan, di hidu ataupun terkena kulit. Terdapat pelbagai jenis mercun dalam pasaran dan masing-masing mempunyai kandungan gabungan bahan kimia yang berbeza. Antara bahan kimia yang mungkin terdapat di dalam mercun adalah kalium nitrat, barium klorat, arsenik, strontium nitrat, kalium perklorat, kuprum oksida, natrium bikarbonat, karbon, sulfur, perklorat dan aluminium. Bahan-bahan ini boleh memberikan kesan buruk terhadap kesihatan yang tersendiri. Antaranya ialah:
Di sebalik kegembiraan melihat percikan api dan letupan daripada mercun, pengguna juga berdepan dengan risiko keselamatan dan keracunan. Di Malaysia, terdapat undang-undang berkaitan mercun bertujuan mengelakkan kejadian yang tidak diingini iaitu Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207) menyatakan:
Sebelum ini, hanya 2 jenis mercun sahaja yang dibenarkan iaitu Happy Boom dan Pop-Pop kerana didapati mengandungi bahan bakar yang tidak membahayakan. Namun, bermula tahun ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membenarkan sebanyak 45 jenis bunga api dan mercun untuk diimport, disimpan dan dijual hanya ketika musim perayaan.
Kawalan undang-undang adalah berbeza bagi setiap negara sama ada mengharamkan atau mengenakan kawalan yang ketat terhadap penggunaan mercun. Terdapat beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Jepun yang mengehadkan pengendaliannya hanya kepada profesional berlesen sahaja. Ada juga negara seperti Jerman dan United Kingdom yang hanya membenarkan penggunaan mercun dalam tempoh tertentu sahaja seperti waktu perayaan. Malahan ada juga negeri tertentu di Brazil dan India yang mengharamkan terus mercun atas dasar keselamatan.
Justeru itu, kawalan terhadap produk berbahaya seperti mercun ini perlu mengambil kira semua aspek termasuk keselamatan pengguna. Jika tidak diharamkan penggunaannya, maka langkah kawalan ketat seperti membenarkan penggunaan hanya kepada profesional berlesen serta menghadkan penggunaan mercun pada masa tertentu adalah langkah yang wajar untuk memastikan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan. Setiap mercun yang dibawa masuk haruslah mempunyai Material Safety Datasheet (maklumat bahan kimia) yang lengkap untuk penilaian tahap risiko serta dapat dirujuk dalam pemberian rawatan jika berlaku keracunan.
Walaubagaimanapun, langkah terbaik untuk mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini akibat bermain mercun pastinya dengan mengelakkan diri daripada memiliki atau bermain mercun.