Skip to main content

vcc

Ubat Mana Sesuai untuk Ibu dan Selamat untuk Janin?

Oleh: Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim & Dr. Norlela Maarup

sudut idpis2

Masalah Kencing Manis Semasa Mengandung

Mempreskripsi ubat yang sesuai dan mengawasi keadaan ibu mengandung serta kesejahteraan janin merupakan satu tugas berat bagi profesional kesihatan. Keadaan ini lebih rumit jika ibu-ibu sedang mengalami masalah penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, lelah dan sawan. Risiko dan manfaat sesuatu ubat perlu dikenalpasti terlebih dahulu. Sesetengah ubat yang diberikan kepada ibu boleh memberi kesan serius kepada kandungan ibu. Ibu- ibu mengandung seringkali dimomoki persoalan "Adakah ubat ini selamat untuk anakku dan bagaimana pula pada kesihatanku?" apabila terpaksa mengambil ubat.

Apabila menghidapi masalah kencing manis paras glukos (atau gula) yang tinggi dalam darah ibu mengandung boleh meningkatkan komplikasi kepada janin seperti bayi yang bersaiz besar dan air ketuban yang lebih banyak berbanding dengan semasa ibu normal.

Laporan luar negara menunjukkan peningkatan dalam kejadian kecacatan bayi di kalangan ibu yang mengalami kencing manis. Laporan itu menyatakan 40% kes kematian bayi di kalangan ibu mengandung adalah akibat penyakit kencing manis yang tidak dikawal. Jika bayi tersebut selamat, saiz bayi yang besar boleh menyukarkan kelahiran dan memerlukan pembedahan, komplikasi kepada bayi kerana paras glukos yang tidak sempurna.

Kaedah pengurusan dan rawatan

Biasanya doktor akan menasihatkan mereka agar mengawal pemakanan dengan mengurangkan pengambilan makanan bergula atau memberi suntikan insulin untuk mengawal kencing manis.

Bagi ibu-ibu yang mengalami masalah kencing manis sebelum mengandung dan makan ubat kencing manis oral (jenis hipoglisemik oral) sebagai rawatan perlu menukarnya kepada insulin apabila mengandung.

Penggunaan insulin adalah paling sesuai untuk ibu mengandung dan selamat untuk janin. Doktor dapat mengawasi paras glukos dalam darah, mengubah paras insulin dan mengawasi perkembangan bayi dengan lebih sistematik.

Mengapa ubat kencing manis oral tidak sesuai

Penggunaan ubat kencing manis oral boleh memudaratkan bayi. Ubat kencing manis oral boleh merentasi uri manakala insulin tidak. Di antara jenis ubat kencing manis oral ialah Chlorpropamide, Glibenclamide, Gliclazide, Glipizide, Metformin, Tolazamide, dan Tolbutamide.

Secara umumnya, ubat-ubat jenis ini memberi kesan serius kepada janin dan bayi. Ubat-ubat ini boleh mengurangkan paras glukos dalam darah janin. Kajian terhadap haiwan menunjukkan ubat-ubat ini boleh menyebabkan kecacatan kepada janin. Tambahan pula sistem tubuh ibu mengandung mengalami banyak perubahan yang menyukarkan pengawasan dalam mematuhi penggunaan ubat.

Nasihat kepada ibu-ibu mengandung yang mengidap kencing manis
  • lawatan ke klinik ibu dan anak yang lebih kerap
  • penjagaan cara pemakanan yang lebih ketat
  • ujian glukos dalam darah yang lebih kerap
  • kemasukan ke dalam hospital untuk memeriksa paras glukos di dalam darah
  • dos insulin yang perlu diawasi
  • waktu suntikan insulin
  • kepatuhan kepada arahan pengambilan suntikan insulin dan diet