Skip to main content

vcc

Bahaya Berlebihan Vitamin Terhadap Janin

Oleh: Mohamed Izham Mohamed Ibrahim, PhD
Bahaya Berlebihan Vitamin Terhadap Janin

Sudah menjadi satu kepercayaan di kalangan masyarakat bahawa pengambilan vitamin merupakan satu perkara yang baik bagi kesihatan individu. Tambahan lagi ia dianggap tidak boleh memudaratkan kesihatan individu. Justeru, masyarakat percaya mengambil vitamin adalah baik dan jika mengambil dalam jumlah yang banyak sudah pasti kesihatan akan menjadi bertambah baik. Oleh itu, adalah agak sukar untuk meyakinkan masyarakat bahawa pengambilan vitamin tanpa had atau, dengan kata lain, penggunaan dalam jumlah yang banyak boleh menjejaskan kesihatan.

Kajian telah mendapati bahawa pengambilan vitamin yang banyak adalah merbahaya kepada semua lapisan masyarakat termasuk bayi dan janin dalam kandungan ibu yang mengandung. Sesetengah individu mengambil vitamin dalam jumlah beratus kali ganda lebih tinggi (dikenali sebagai “mega-dose”) daripada apa yang disarankan. Mereka beranggapan ini perlu kerana perubahan tabiat pemakanan harian dan bahan yang dimakan setiap hari kurang berzat. Tanggapan ini boleh berlaku di kalangan ibu hamil dan ia boleh membahayakan janin.

 

Ads:

Keracunan Utama

Uri (atau plasenta) boleh bertindak dengan mengumpul vitamin yang dimakan oleh ibu hamil untuk keperluan janin. Vitamin dan zat galian yang sudah berada dalam janin sukar untuk dikurangkan. Vitamin yang terlarut lemak seperti vitamin A, D, E dan K disimpan dalam bahagian lemak pada tubuh. Jika dimakan dengan banyak oleh ibu, ia boleh terkumpul dalam tubuh janin hingga mencapai jumlah (paras toksik) yang boleh menyebabkan keracunan. Vitamin yang terlarut air seperti vitamin C dan vitamin B pula boleh dibuang (dikumuh) melalui buah pinggang janin ke dalam cecair amniotik (cecair yang meliputi janin semasa dalam kandungan ibu) tetapi vitamin tersebut boleh ditelan semula oleh janin. Paras vitamin terlarut air ini juga dalam tubuh janin boleh terus meningkat.  Jika jumlah vitamin-vitamin dalam tubuh janin melebihi paras kandungan dalam tubuh ibu, janin tersebut berada di dalam  keadaan bahaya. Jadual 1 di bawah menunjukkan kesan bahaya lebihan vitamin ke atas janin.

Umumnya wanita yang sedang hamil tidak perlu mengambil vitamin tambahan jika mereka mengamalkan pemakanan yang seimbang. Namun begitu terdapat juga golongan wanita hamil yang memerlukan vitamin tambahan seperti wanita yang mengandung bayi kembar, perokok dan wanita yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol. Setiap wanita yang sedang hamil harus berbincang dengan doktor sebelum mula mengambil sebarang jenis vitamin.

Jadual 1 Kesan bahaya lebihan vitamin ke atas janin  
 Jenis Vitamin Kesan ke atas Janin 
 Vitamin A Kajian ke atas haiwan menunjukkan kaitan yang rapat di antara jumlah
atau dos vitamin A yang tinggi dengan kecacatan pada janin; kecacatan
pada bahagian mata, otak dan tulang rangka
 Vitamin D Pengambilan yang terlalu tinggi menyebabkan pengumpulan kalsium
dalam darah janin dan boleh mengakibatkan keracunan kalsium
 Vitamin E Penggunaan dianggap selamat tetapi harus memaklumkan kepada
doktor; kebanyakan vitamin untuk ibu hamil mengandungi vitamin E
 Vitamin K Penggunaannya tidak diperlukan; dalam dos yang tinggi boleh
menyebabkan hiperbilirubinemia, kernikterus
 Vitamin C Berdasarkan kajian ke atas haiwan, vitamin C tidak mengakibatkan
kecacatan pada janin
 Vitamin B Berdasarkan kajian ke atas haiwan, vitamin B tidak mengakibatkan
kecacatan pada janin; perlu berbincang dengan doktor

Oleh: Mohamed Izham Mohamed Ibrahim, PhD