Skip to main content

vcc

Keracunan Sabun dan Pencuci

Oleh: natrah@usm.my

Sabun dan pencuci yang terdapat di rumah seringkali menyebabkan keracunan pada kanak-kanak. Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat menunjukkan kira-kira 10% kes keracunan yang dilaporkan (iaitu 140,000 kes) adalah disebabkan oleh sabun dan bahan pencuci pada kanak-kanak berusia di antara 1 hingga 5 tahun. Keluaran kali ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pengawasan kita tentang bahan racun yang terkandung di dalam sabun dan bahan pencuci, sebagai susulan kepada rencana lalu (Penawaracun( Bil. 1, Feb 1995).

Apakah sabun dan pencuci?

Sabun merupakan bentuk garam kepada asid lemak bebas dan kebiasaannya mempunyai ketoksikan rendah. Sabun yang terdapat di rumah boleh diperolehi dalam bentuk pepejal atau cecair (contoh: cecair pencuci tangan). Jika sabun dimakan oleh kanak-kanak, rasa mual dan muntah mungkin berlaku selepas beberapa minit ianya dimakan dan kesan ini boleh berlanjutan sehingga 1 hari. Jika bahan terkena mata, kepedihan dan kemerahan mata akan dialami.

Bahan pencuci pula merupakan bahan pencuci yang digunakan untuk pencucian bekas atau permukaan, seperti lantai dan tidak langsung digunakan pada tubuh manusia. Bahan pencuci biasanya disediakan dalam bentuk serbuk, cecair dan semburan. Dua kandungan utama yang terdapat dalam pencuci ialah surfaktan yang akan membolehkan pembasahan atau persentuhan air kepada bahan yang dicuci serta bahan tambahan seperti pelembut yang akan mengurangkan zat-zat logam yang mengganggu proses pencucian. Perlu dinyatakan di sini bahawa terdapat bahan tambahan yang digunakan dalam pencuci seperti fosfat boleh menghasilkan masalah pencemaran alam sekitar. Dari segi keracunan pencuci, gejala keracunan akan terhasil bergantung kepada jenis pencuci yang digunakan.

Jenis pencuci yang mempunyai risiko keracunan yang teruk?

Di antara pencuci yang diketahui boleh menyebabkan gejala keracunan yang teruk ialah:

  • Pencuci yang digunakan untuk alat pencuci pinggan mangkuk otomatik.
  • Pencuci yang mengandungi pembunuh kuman atau pelembut kain (softener).
  • Pembunuh kuman (disinfektan) kerana biasanya ia mengandungi bahan kimia fenol.
  • Pencuci longkang dan oven - bahan berbes yang biasanya terdiri dari amonia pada kepekatan melebihi 10% dan hidrogen peroksida/natrium hidroksida.
  • Pencuci tandas yang mengandungi bahan aktif berasid dan pencuci kerak cerek air.
  • Peluntur kain yang mengandungi bahan aktif natrium hipoklorit.

Dalam kebanyakan kes, sekiranya anda mengesyaki anak anda mengambil bahan pencuci pastikan jenis bahan yang telah ditelan. Seterusnya dapatkan maklumat tambahan dari PRN tentang cara memberi bantuan awal kepada kes keracunan bahan pencuci.

Panduan umum dalam bantuan awal kepada mangsa keracunan sabun dan bahan pencuci

  1. Sekiranya keracunan bahan pencuci berlaku, kebiasaannya muntah-muntah sering berlaku. Segera bawa mangsa berjumpa doktor, jika muntah berlanjutan untuk jangkamasa yang panjang, kesakitan yang teruk pada bahagian perut (abdomen) yang teruk, terdapat kesan darah dalam muntah atau tidak berupaya menelan apa-apa.
  2. Tentukan bila masa mangsa menelan bahan beracun.
  3. Sekiranya kulit atau mata mangsa telah terkena bahan pencuci, cuci kawasan tercemar dengan air bersih selama 15 minit.
  4. Sekiranya mangsa masih berupaya menelan, suruh mangsa menelan air atau susu supaya kepekatan bahan yang diambil dapat dikurangkan melalui pencairan. Isipadu minuman yang disyorkan ialah kurang daripada 60ml (1 cawan) untuk kanak-kanak sedangkan orang dewasa kurang dari 150ml (2.5 cawan).

Langkah-langkah pencegahan keracunan bahan
pencuci dan bahan lain pada kanak-kanak.
  • Gunakan bekas yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak.
  • Simpan bahan dalam bekas asal. Simpan makanan, bahan kimia dan ubat-ubatan di tempat khas. JANGAN sekali-kali menyimpan ketiga-tiga jenis bahan ini di tempat yang sama.
  • Pastikan almari atau bekas simpanan mempunyai penutup dan berkunci.
  • Beli pencuci dan bahan lain dalam kuantiti kecil yang mencukupi untuk sesuatu tugas. Seboleh mungkin dapatkan barang yang baling tidak merbahaya.
  • Simpan semua bahan kimia, pencuci dan ubat-ubatan di tempat yang tidak boleh dicapai dan dilihat oleh kanak-kanak.