Skip to main content

vcc

Merokok dan Ubat

Oleh: natrah@usm.my

sudut idpis

Kita kerap kali diberi nasihat tentang cara-cara terbaik untuk memakan ubat. Sesetengah ubat mempunyai pantang larang tersendiri di segi kaedah memakannya. Contohnya, ubat-ubat yang mengandungi ion kalsium tidak boleh dimakan bersama susu kerana saling tindakan di antara kedua-dua bahan boleh menyebabkan ion kalsium mendak sebagai kalsium laktat dan tidak aktif di dalam badan. Demikian juga dengan pesakit yang mengambil ubat bagi rawatan kencing manis. Ubat-ubat kencing manis tidak boleh dimakan bersama alkohol kerana alkohol dapat meningkatkan kesan ubat-ubat tersebut. Namun demikian, satu jenis pantang larang yang jarang atau belum pernah kita dengar ialah pengambilan ubat bersama rokok. SUDUT IDPIS kali ini membincangkan tentang kesan merokok dengan sesetengah ubat.

Lebih kurang 20% daripada warga Malaysia yang dewasa merokok. Jadi kita tidak dapat lari dari kenyataan bahawa ada pesakit yang juga merokok. Adakah perokok tahu bahawa asap rokok yang disedut dapat menjejas keberkesanan ubat yang dimakan untuk menyembuhkan penyakit?

Asap rokok yang disedut ke dalam paru-paru mengandungi lebih kurang 4000 bahan kimia. Di antaranya termasuklah nikotina, tar, karbon monoksida dan hidrogen sianida. Jadi tidak hairanlah jika terdapat kesan saling tindakan buruk di antara asap rokok dan ubat-ubatan. Di antara contoh-contohnya adalah seperti berikut:

  • Merokok dan ubat antibiotik

Antibiotik digunakan bagi merawat jangkitan kuman, namun demikian, kadang-kadang pengambilan antibiotik gagal memberi kesan yang diharapkan. Contohnya gandingan antibiotik oksasilin dan omeprazole dalam rawatan ulser peptik berkaitan dengan jangkitan bakteria Helicobacter pylori. Kajian mendapati bahawa sesetengah pesakit yang terus merokok ketika sedang menggunakan antibiotik ini, gagal dirawat sepenuhnya.

  • Merokok dan ubat anti-parkinson

Amantadin ialah ubat bagi merawat penyakit Parkinson (sejenis penyakit gangguan pergerakan dan pertuturan yang dihadapi oleh bekas Juara Tinju Dunia Muhamad Ali dan penyanyi pujaan tahun 1960'an, A. Ramlee) dan juga sebagai agen anti-virus. Selepas dimakan, lebih banyak amantidin yang tersebar di dalam tubuh seorang pesakit yang merokok daripada pesakit yang tidak merokok. Jadi, bagi dos yang sama kesan ubat berkenaan mungkin berlainan bagi seorang perokok daripada kesannya terhadap pesakit yang tidak merokok.

  • Merokok dan ubat anti-sawan

Karbamazepin adalah sejenis ubat anti-sawan. Kajian menunjukkan bahawa pesakit yang merokok ketika menggunakan karbamazepin lebih cenderung mengalami keadaan kurang ion natrium (hiponatremia) di dalam darah.

  • Merokok dan ubat anti-malaria

Kuinin digunakan bagi merawat malaria, dan merokok boleh mempercepatkan penyingkiran ubat kuinin dari tubuh.

  • Merokok dan ubat anti-lelah

Ramai pesakit lelah menggunakan teofilin bagi meredakan kesesakan nafas. Perokok didapati lebih cepat menyingkirkan teofilin daripada pesakit yang tidak merokok. Oleh itu kesannya untuk merawat lelah akan berkurangan.

  • Merokok dan ubat anti-ulser

Kesan beberapa ubat anti-ulser yang dimakan pada sebelah malam juga didapati berkurangan bagi perokok berbanding pesakit yang tidak merokok.

  • Merokok dan ubat pencegah hamil

Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa sesetengah hormon yang terdapat di dalam pil-pil pencegah hamil lebih mudah diungkai bina di dalam hati perokok. Ini boleh mengurangkan keberkesanan ubat tersebut.

  • Merokok dan benzodiazepina

Benzodiazepina adalah sejenis ubat tidur yang kuat. Kesan ubat ini mungkin dikurangkan hasil daripada merokok.

Daripada hasil kajian yang dirumuskan di atas, bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa tabiat merokok ketika pengambilan sesetengah ubat boleh mengubah kesan ubat-ubat tersebut. Pesakit-pesakit yang terus merokok ketika mengambil ubat boleh menanggung berbagai risiko akibat saling tindakan yang tidak diingini. Berhentilah merokok bagi terus memantapkan kesihatan.- ABAM