Skip to main content

vcc

Peri Mustahaknya Ubat-ubatan Penting

Oleh: natrah@usm.my

Sempena Pelancaran Senarai Ubat-ubatan Penting Di Malaysia, 27 Jan. 2000

Di seluruh dunia dewasa ini, dianggarkan 100,000 jenis ubat dalam pasaran. Ternyata ini adalah hasil daripada banyak penyelidikan yang telah dijalankan oleh berbagai pihak, baik industri maupun badan penyelidikan berkanun, termasuk institusi pengajian tinggi.

Industri farmasi adalah antara yang paling pesat sekali dalam hal ini kerana ini merupakan satu bentuk perniagaan yang memberi pulangan cukup lumayan. Malah daripada banyak kajian dan pemerhatian, industri farmasi jarang sekali mengalami arus naik turun perniagaan sepertimana industri lain, baik dalam keadaan kemerosotan ekonomi sekalipun.

Kini kecenderungannya adalah bagi industri ini bergabung menjadi gergasi lebih besar dalam usaha mereka menerokai berbagai bidang kesihatan yang lain. Sekaligus menguasai pasaran.

Dari satu sudut ini mungkin merupakan pentanda amat menggalakkan. Kita akan dihidangkan dengan ubat-ubatan 'baru' yang boleh merawat penyakit yang selama ini menjadi duri dalam daging masyarakat. Sungguhpun begitu daripada satu segi yang lain, ia ada juga kepalsuannya. Misalnya lebih banyak penyelidikan ubat-ubatan yang dijalankan berkisar kepada kepentingan masyarakat negara maju. Mengikut satu kajian daripada lebih seribu ubat baru yang dipasarkan beberapa tahun kebelakangan ini, sedikit sangat yang ada kaitannya dengan penyakit tropika - umumnya penyakit yang lebih banyak berlaku di dunia membangun. Malah ubat-ubatan yang kini banyak diberi perhatian adalah tergolong daripada apa yang digelar sebagai 'ubat gaya hidup.' Ini adalah kumpulan ubat yang berguna untuk penyakit seperti kegemukan (obesiti), penyakit berkaitan naluri seks dan sebagainya. Pola penyakit ini lebih mirip kepada masyarakat yang lebih maju, sedang bagi negara dunia ketiga masing-   masing masih bergulut dengan penyakit 'asas'
seperti malaria, tibi, berbagai jangkitan kuman dan lain-lain.

Sedang penyakit asas seperti ini sudah tidak lagi wujud secara penyeluruh si negara maju, di negara membangun rawatannya menjadi lebih sukar. Ini adalah kerana sesetengah ubat ubatan tidak lagi memberi kesan yang baik akibat rintangan. Ini timbul hasil penggunaan ubat yang tidak cermat selama ini. Dengan kata lain rawatan penyakit asas juga memerlukan pembaharuan daripada segi rawatan ubatubatan. Ini nampaknya tidak banyak mendapat sambutan, kerana keuntungan yang bakal diraihpun tidak seberapa. Oleh itu, masalah dan bebanan yang sedang diamali oleh masyarakat membangun akan terus terasa dan menjadi lebih mendesak jika hal ini tidak ditangani dengan baik.

Agihan yang tidak seimbang

Tambahan daripada itu satu lagi pola yang kurang sihat yang diperhatikan adalah taburan dan pengagihan ubat-ubatan yang ada dalam pasaran sekalipun tidak begitu seimbang. Di kebanyakan dunia membangun dan sesetangah lapisan masyarakat bukan saja keadaan penyakitnya lebih buruk, lebih ramai pula di antara rakyat negara tersebut tidak  mempunyai bekalan ubat mencukupi. Ini telah menjejaskan taraf kesihatan mereka dan sekali  gus meggalakkan penjualan ubat tiruan dan yang tidak berkualiti kononnya untuk menampung pemintaan orang ramai. Ada juga pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk melonggokkan ubat-ubatan yang telah tidak lagi berguna di negara-negara maju kepada negara membangun. Ubat-ubat ini adalah terdiri daripada kumpulan yang telah diharamkan kerana bahaya kesan sampingannya yang amat sangat, ataupun kerana tarikh luput ubat itu telahpun berlalu, atau maupun kerana ianya tidak laku lagi di negara tersebut.

Sebagai contoh, semasa peperangan di Bosnia-Hezergovina pada awal tahun 90an, anggaran 30 tan ubat yang tidak berguna lagi telah dihantar kepada negara tersebut kononnya sebagai membantu kekurangan perubatan di sana. Ini diulang semula semasa peperangan di Ksovo. Jelas ini membebankan  lagi keadaan kerana logistik dan perbelanjaan untuk menghantar dan kemudian dibuang saja merupakan perkara yang sia-sia lagi amat sulit sekali.

Contoh-contoh ini malangnya bukan berlaku semasa peperangan saja tetapi adalah satu amalan lazim sesetengah pihak yang ini menangguk di air keruh.
Lebih malang lagi negera yang disasarkan umumnya adalah negara yang tidak mempunyai sistem pengawalan ubat-ubatan yang baik lagi berkesan. Di samping itu kesedaran masyarakat tentang penggunaan ubat-ubatan agak rendah sehingga ramai yang menganggap semua ubat itu selamat belaka tanpa meragui langsung bahayanya. Jadi  usaha untuk menyekat dan menghindarkan penggunaan ubat seumpama ini tidak mendatangkan sambutan daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Apa lagi dikebanyakan negara itu  sumber yang diperuntukan juga adalah terhad. Ini menghalang apa jua tindakan yang sewajarnya di ambil. Keadaannya  seolah-olah tidak dapat dibendung lagi, dan lama-kelamaan satu demi satu negara menjadi mangsa. Semakin ramai pula rakyat yang terdedah kepada berbagai bahaya. Bukan saja mereka tidak mendapat bekalan ubat yang sempurna, malah mereka disogokkan dengan ubatubatan yang tidak lagi terjamin mutu dan keselamatannya.

Konsep dan Senarai Ubat Penting WHO

Memandangkan hal inilah satu tindakan sejagat telah diambil melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam tahun 1970an. Selepas beberapa perbincangan peringkat antarabangsa satu konsep Ubat Penting telah dipersetujui. Konsep ini mengutarakan bahawa dalam setiap negara rakyatnya mesti berupaya memperolehi beberapa jenis ubat utama - di istilahkan sebagai Ubat Penting daripada istilah Bahasa Inggeris 'Essential  Drugs' - apabila mereka perlukan tidak kira di mana mereka berada. Ubat ubatan ini dimestikan memenuhi ciri-ciri  keselamatan, kualiti dan juga keberkesanan  seperti yang ditetapkan mengikut piawai diperingkat antara bangsa. Kerajaan di setiap negara tersebut bertanggungjawab menentukan bahawa satu senarai ubat-ubatan penting wujud di negara masing-masing lantas mempertahankan segala ciri-ciri yang dikenakan kepadanya.

Dengan adanya konsep Ubat Penting ini, setiap negara kini telah boleh menetapkan apakah keperluan majoriti masyarakatnya daripada masa ke masa. Bukan itu saja, ia perlu memberitahu apakah kegunaan setiap satu daripada ubat itu, mengawalnya berasaskan ciri-ciri keselamatan, kualiti serta keberkesanannya,  dan juga dijual pada harga yang berpatutan.

Lanjutan daripada itu, WHO telah menyediakan satu contoh Senarai Ubatubatan Penting (WHO Model List of  Essential Drugs) sebagai panduan bagi negara lain menetapkan senarai ubatubatan penting mereka. Senarai WHO ini telah dilancarkan pada tahun 1977 dan mengandungi hanya lebih kurang 208 ubat-ubatan yang dianggap penting. Senarai ini adalah hasil rundingan dan kata sepakat jawatankuasa pakar-pakar seluruh dunia, dan disambut baik oleh masyarakat umum termasuk Malaysia.

Namun apa yang memeranjatkan ramai oleh ialah antara ratusan ribu ubat yang telah dipasarkan sehingga ini kurang daripada 1 peratus yang dianggap
penting dalam menjaga tahap kesihatan majoriti rakyat.

Kini Senarai Ubat-ubatan Penting WHO telah sampai ke edisi yang kesebelasnya apabila ia dikemaskinikan tahun 1999. Ia menunjukkan bahawa senarai yang di utarakan WHO adalah dinamik dan sesuai untuk kegunaan semasa, tidak ketinggalan zaman seperti di dakwa sesetengah pihak. Walaupun begitu
bilangan ubat dalam senarai tersebut masih dalam anggaran 300 saja. Jelas konsep ini begitu asas sekali kepada kesihatan awam.

Kepentingan kesihatan awam

Kepada orang ramai konsep ini amatlah mustahak sekali kerana ia sekali gus membenarkan masyarakat memahami apa-apakah ubat-ubat yang benar-benar  penting kepada mereka. Ia sungguhpun begitu tidak bermaksud yang selain tidak penting, tetapi keutamaan serta  penekanan yang diberikan tidak setinggi ubat yang telah disenaraikan. Hal ini adalah untuk menjamin bahawa keperluan majoriti pengguna tidak diambai atau diketepikan. Tanggapannya adalah seperti senarai barang-barangan perlu yang mendapat keutamaan dan perlindungan kerajaan dari segi kedapatan dan harganya.

Selain daripada itu, memandangkan bilangan ubat-ubatan yang tersenarai begitu sedikit sekali maka lebih mudahlah orang ramai mengenali ubat-ubatan
tersebut dengan lebih dekat lagi. Ini bermakna kesedaran serta pendidikan tentang ubat-ubatan kepada orang ramai dapat disempurnakan dengan lebih
berkesan. Aspek ini adalah begitu mustahak dalam penggunaan ubatubatan yang lebih sempurna dan selamat.

Satu lagi kebaikan dalam memperkenalkan konsep dan senarai Ubat Penting ini ialah harga setiap satu pada amnya adalah rendah. Oleh kerana ubatubatan itu disenaraikan sebagai nama generik ubat, dan bukan mana-mana dagang, maka ini membolehkan harganya dijual sepatutnya dan termampu oleh sebahagian besar masyarakat.

Memandangkan manfaat daripada  konsep Ubat-ubatan Penting, kini 150 negara daripada 191 negara menggangotai telah melaksanakannya. Ini membuktikan betapa menerimaan seluruh dunia apalagi dengan globalisasi yang kian melanda.

Kesimpulan

Bagi Malaysia, walaupun sebuah negara membangun, jelas keadaan di negara ini jauh lebih berbeza dengan negara-negara membangun yang lain. Dari segi pembangunan sektor farmasi ini Malaysia lebih kehadapan. Namun ini tidak pula bererti konsep dan senarai Ubat Penting tidak relevan bagi majoriti
pengguna dan rakyat negara ini tambahan pula dengan arus penswastaan yang sedia ada. Apa lagi memandangkan pembangunan industri tempatan yang masih belum kukuh dalam menampung keperluan ubat-ubatan  dalam sepenuhnya. Malah adalah dijangkakan bahawa dengan terlaksananya konsep ubat penting sebagai satu dasar rasmi,bukan sahaja pertumbuhan industri tempatan apa dapat ditingkatkan, kepentingan rakyat jelata juga dapat dipertahankan.