Skip to main content

vcc

KETAGIHAN NIKOTIN

Oleh: Rosman Ahmad

69ms2b

Seorang yang baru mencuba untuk merokok buat pertama kali kebiasaannya akan merasa loya, pening, sakit kepala malah ada yang sakit perut. Namun bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa, lama-kelamaan apabila telah menjadi tabiat, sistem tubuh akan menjadi terbiasa terhadap kesan tidak selesa ini. Apabila merokok telah menjadi kebiasaan, ini bermakna seseorang perokok telah mempunyai kebergantungan terhadap nikotin—bahan kimia dalam tembakau. Perokok akan sentiasa menghisap rokok bagi mendapatkan bekalan nikotin untuk berasa “normal”. Malahan, ada dalam kalangan perokok merasa tidak berupaya untuk melaksanakan tugas harian sehingga mereka dapat menghisap rokok. Tanpa sedar, tabiat merokok akan dikaitkan dengan pelbagai aktiviti harian, seperti merokok setiap kali selepas makan dan sebagainya. Rokok seolah-olah mengawal segala pergerakan perokok. Tanpa rokok jiwa menjadi tidak tenang. Rokok dianggap pencetus ketenteraman, mengurangkan tekanan, tumpuan dan sebagainya. Hakikatnya, ini menunjukkan bahawa seseorang itu telah mengalami ketagihan kepada rokok ataupun lebih tepat lagi kebergantungan kepada NIKOTIN.

Apabila seorang perokok tegar tidak menghisap rokok dalam tempoh masa yang tertentu, ini bermakna tiada nikotin yang memasuki tubuh, maka perokok akan mula mengalami pelbagai kesan sampingan dari segi fizikal mahupun psikologi seperti mengalami keinginan yang kuat untuk mendapatkan nikotin, keresahan, kemurungan, sakit kepala, mengalami masalah tumpuan, mengantuk, mengalami masalah tidur, mengalami ketegangan perasaan atau setengahnya sampai ke tahap kecewa. Gejala-gejala yang disebutkan tadi dikenali sebagai kesan penarikan nikotin atau dikenali sebagai sindrom sarak  nikotin—”nicotine withdrawal syndrome”.