Skip to main content

vcc

Definisi ubat palsu

Oleh: natrah@usm.my

Ubat palsu merupakan sediaan ubat yang mempunyai nama serta rupabentuk yang serupa dengan sediaan ubat yang sememangnya telah diuji serta diluluskan untuk digunakan oleh masyarakat Malaysia. Ubat palsu atau ubat tiruan boleh dianggap sebagai parasit kerana sediaan tersebut menggunakan label serta nama dagangan yang sama dengan sediaan tulen dikilangkan di premis yang tidak diluluskan serta menggunakan bahan mentah yang tidak berkualiti. Dalam hal ini tujuan ubat palsu dihasilkan ialah untuk mengaut keuntungan dari sediaan ubat tulen yang sememangnya telah lama digunakan serta benar-benar dipercayai oleh pengguna. Berbanding dengan ubat palsu, ubat tulen telah dihasilkan melalui operasi pengilangan yang diakui benar-benar sesuai dengan operasi pengilangan ubat serta ubat tersebut telahpun diuji mempunyai tiga kriteria penting iaitu selamat, berkesan dan berkualiti.

Dalam hal pengujian ubat, penilaian ini dijalankan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebuah badan kerajaan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai badan kompeten dalam penilaian ubat. Piawai penilaian ubat yang digunakan oleh badan tersebut memenuhi standard yang digunakan oleh mana-mana agensi kawalan ubat di negara-negara maju.