Skip to main content

vcc

Kanabis untuk Rawatan Epilepsi dan Sawan

Oleh: Nur Azzalia Kamaruzaman

64 ms3

Kanabis merupakan sejenis tumbuhan berbunga daripada keluarga Cannabaceae dan mempunyai dua jenis spesies utama iaitu Cannabis Sativa and Cannabis Indica. Ia mengandungi pelbagai sebatian kimia yang dikenali sebagai cannabinoid. Hasil penyelidikan mendapati dua jenis cannabinoid utama kanabis iaitu tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD). THC dikenali kerana tindakannya yang merangsang psikologi dan menyebabkan kesan khayal atau ‘high’ kepada pengguna rekreasi, manakala CBD pula berbeza kerana memiliki kegunaan perubatan tanpa menjejaskan psikologi pengguna.

Kebelakangan ini, banyak penyelidikan tentang penggunaan kanabis dalam merawat epilepsi telah dijalankan. Kajian-kajian ini mendapati manfaat produk CBD dalam merawat golongan spesifik epilepsi yang gagal bertindak balas terhadap rawatan konvensional. Kebanyakan penyelidikan memberi fokus pada penggunaan CBD dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami sindrom epilepsi yang serius, jarang berlaku dan sukar dirawat akibat kerintangan ubat yang tinggi.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ‘epilepsi’ berasal daripada perkataan Greek ‘epilambanien’ yang bermaksud serangan. Epilepsi juga dikenali sebagai ‘sawan babi’, ‘cho chin’ dalam bahasa Mandarin ataupun ‘kaka valipu’ dalam bahasa Tamil. Penyakit epilepsi disebabkan oleh sel-sel otak yang tidak berfungsi dengan baik. Terdapat arus elektrik kecil yang berlaku semasa sel otak berfungsi. Apabila aliran elektrik ini menjadi tidak stabil, berlaku gangguan seperti litar pintas dan sawan akan berlaku. Seseorang yang mengalami sawan tidak bermakna dia mempunyai epilepsi. Sebaliknya, seseorang yang kerap mengalami sawan (dua kali atau lebih) boleh dikategorikan sebagai menghidap epilepsi.

Himpunan bukti awal daripada kajian makmal, laporan anekdot dan kajian klinikal berskala kecil dari seluruh dunia mencadangkan CBD mempunyai potensi untuk mengawal sawan. Menurut penyelidikan yang diterbitkan di Frontiers in Neurology, kanak-kanak yang mengalami epilepsi yang teruk diberi dos rendah minyak kanabis yang mengandungi 95% CBD dan 5% THC, dan hasil kajian mendapati kanak-kanak ini telah menunjukkan peningkatan kualiti kehidupan yang agak drastik. Mereka boleh membuat beberapa perkara yang sebelum ini gagal dilakukan disebabkan penyakit epilepsi mereka seperti komunikasi dan interaksi dengan keluarga serta berjalan dan merangkak untuk pertama kali. Penemuan ini adalah sangat menarik kerana ianya memberi peluang rawatan baharu kepada kanak-kanak yang gagal rawatan epilepsi secara konvensional. Selain itu, berdasarkan bukti saintifik, rawatan CBD tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan seperti mengalami khayal akibat THC.

Sebagaimana ubat-ubatan lain, pengguna CBD melaporkan beberapa kesan sampingan seperti mengantuk, cirit-birit, tidak lalu makan dan keletihan. Kesan sampingan ini terjadi kepada 1 dalam 3 orang yang mengambil CBD. Selain itu, terdapat juga bukti yang menunjukkan pengambilan CBD bersama ubat anti-epilepsi lain akan memberi kesan sampingan dan berpotensi untuk menjadi lebih berbahaya. Sebagai contoh, pesakit yang mengambil CBD bersama clobazam boleh meningkatkan kesan sampingan penenang, dan pesakit yang mengambil CBD bersama sodium valproate boleh menyebabkan perubahan pada fungsi hati pesakit. Oleh itu, pemantauan yang teliti adalah sangat diperlukan bagi memastikan rawatan yang efektif dan kesan sampingan yang minimum.

Kes terkenal yang menarik perhatian dunia berkaitan potensi CBD dalam rawatan epilepsi adalah berkenaan dengan seorang kanak-kanak bernama Charlotte Figi dari Colorado, Amerika Syarikat. Beliau menghidap sindrom Dravet semenjak berumur 3 bulan. Sindrom Dravet merupakan penyakit epilepsi kanak-kanak yang jarang berlaku, sukar dirawat dan mempunyai tahap rintangan yang tinggi terhadap rawatan konvensional. Pesakit mendapat serangan sawan yang amat kerap, ada kalanya boleh mencapai ratusan serangan dalam sehari. Penyakit ini boleh menjadi semakin teruk apabila pesakit membesar dan boleh membawa maut. Pada tahun 2012, ketika berusia 6 tahun, ibu bapanya dalam keadaan terdesak telah membuat keputusan untuk merawati Charlotte menggunakan minyak  kanabis yang mengandungi kandungan tinggi CBD. Semenjak itu, keadaannya bertambah baik dan Charlotte mampu membesar sebagaimana kanak-kanak aktif yang lain. Jenis kanabis istimewa itu sekarang dikenali sebagai Charlotte’s Web, sempena namanya dan kini digunakan secara meluas untuk rawatan epilepsi dan penyakit-penyakit lain. Malangnya pada 8 April 2020, Charlotte telah meninggal dunia apabila beliau dimasukkan ke hospital akibat pneumonia, yang menyebabkan serangan sawan, kegagalan pernafasan dan serangan jantung. Nama Charlotte Figi dulu dan kini disanjungi sebagai seorang pelopor, aktivis dan ikon yang mengubah sejarah industi kanabis di dunia.

Terkini, terdapat sejenis ubat berasaskan kanabis yang telah diberi lesen oleh US Food and Drug Administration (FDA) pada 25 Jun 2018 untuk rawatan penyakit epilepsi — Epidiolex. Epidiolex merupakan sediaan oral bagi merawat sindrom Lennox-Gastaut dan sindrom Dravet bagi kanak-kanak berusia dua tahun dan ke atas. Epidiolex mengandungi 100% CBD tulen yang berasal daripada pokok kanabis dan dipercayai mempunyai mekanisma yang berlainan daripada ubat preskripsi sawan lain.

Penggunaan kanabis dalam rawatan epilepsi dan penyakit neurologi lain adalah topik yang kini hangat diperdebat. Walaupun terdapat banyak bukti yang  menunjukkan potensi CBD sebagai ubat untuk rawatan epilepsi, ada juga kajian yang menunjukkan hasil yang berbeza. Oleh itu, masih banyak penyelidikan perlu dilakukan untuk memastikan kefahaman kita akan kebaikan juga kesan sampingan CBD dengan lebih menyeluruh.