Skip to main content

vcc

Siri Tumbuhan Beracun 4 - Kecubong

Oleh: Razak Hj. Lajis & Adenan Jaafar

 

25datura1

Buah kecubong

Tumbuhan yang tergolong dalam genus Datura ini mempunyai lebih daripada lima belas spesis dan semuanya dilaporkan sebagai beracun. Tumbuhan herba ini boleh menjangkau ketinggian hingga 6 kaki. Terdapat juga spesis yang boleh tumbuh melebihi ketinggian ini. Terdapat dua spesis utama iaitu spesis yang mempunyai daun, ranting serta batang berwarna yang hijau dan spesis yang mempunyai ranting dan batang terwarna unggu. Tumbuhan ini boleh didapati di kawasan yang beriklim panas lembab di seluruh dunia. Selain daripada tumbuh meliar ia juga ditanam untuk digunakan sebagai bahan dalam perubatan tradisional. Ia merupakan sejenis tumbuhan yang mudah tumbuh tanpa penjagaan yang rapi.

Di Malaysia, tumbuhan ini boleh didapati hampir di seluruh negara. Di beberapa tempat terutamanya di Utara Semenanjung, ia dikenali sebagai terung pengar atau terung pungak. Tumbuhan ini mudah dikenali kerana mempunyai bunga besar yang berbentuk loceng atau trumpet. Buahnya berbentuk hampir bulat dan berduri pendek. Tumbuhan yang mempunyai batang berwarna unggu dengan bunga putih kekuningan dikenali sebagai kecubong hitam. Manakala sejenis lagi tumbuhan daripada spesis ini yang mempunyai batang hijau dan keseluruhan bunganya berwarna putih dikenali sebagai kecubong putih.

Bahan Toksik

Semua bahagian tumbuhan ini adalah beracun terutama daun dan bijinya. Ciri-ciri keracunan tersebut tidak akan hilang atau terhapus walaupun bahagian-bahagian tumbuhan yang akan digunakan itu dimasak atau dikeringkan. Hiosin dan hiosamin merupakan antara alkaloid yang banyak ditemui di dalam buah, daun, ranting dan akar spesis tumbuhan ini. Begitu juga dengan skopolamin. Biji tumbuhan ini merupakan sumber utama sebatian ini. Sejenis lagi alkaloid dalam kumpulan alkaloid belladona iaitu atropin boleh juga didapati dalam tumbuhan ini walaupun jumlahnya adalah lebih kecil dari hiosin dan hiosamin. Kesemua sebatian-sebatian ini mempunyai sifat anti-kolinergik dan sedikit kesan narkotik. Kesan toksiknya akan mula nyata beberapa minit hingga beberapa jam selepas tumbuhan tersebut dimakan. Ini banyak bergantung kepada jumlah, bahagian dan cara pendedahan tersebut berlaku.

Gejala Keracunan

Gejala yang mula-mula kelihatan ialah rasa haus, kering mulut, pembesaran anak mata, kesukaran menelan dan rasa panas kulit badan. Keadaan ini mungkin diikuti dengan rasa mengantuk, pening kepala, gerak nadi yang lemah, kesukaran melihat, demam, merasa keliru, euforia dan hilang pertimbangan. Pendedahan kepada sebatian-sebatian ini dalam jumlah yang tidak dikawal boleh mendatangkan kesan yang merbahayakan. Pada kepekatan yang tinggi ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan darah tinggi, sawan, meracau, koma dan maut. Kebanyakan kematian disebabkan kegagalan pernafasan. Terdapat beberapa kes kematian yang dilaporkan berlaku akibat pengambilan beberapa bahagian daripada tumbuhan ini secara berlebihan.

Walaupun tumbuhan ini diketahui sebagai beracun, beberapa bahagian daripada tumbuhan ini kerap juga digunakan dalam per-ubatan tradisional. Terdapat beberapa persediaan ubat-ubat tradisional yang menggunakan beberapa bahagian tumbuhan tersebut sebagai ramuannya. Ia bukan sahaja dikenali di kalangan masyarakat Melayu sahaja bahkan masyarakat India dan Cina juga turut menggunakannya di dalam beberapa sediaan ubat-ubatan tradisional mereka. Sediaan-sediaan yang menggunakan beberapa bahagian daripada tumbuhan ini pernah digunakan sebagai ubat cacing bagi kanak-kanak, merawat bisul, sakit otot, cirit-birit dan untuk melegakan sakit gigi dan bengkak-bengkak badan. Sediaan-sediaan ini ada yang digunakan secara luaran dan ada diantaranya dimakan. Ia mungkin digunakan secara bersendirian ataupun merupakan satu sediaan yang dicampur dengan beberapa jenis tumbuhan lain lagi. Memandangkan akan kesan toksik yang mungkin berlaku, adalah nasihatkan supaya para pengguna mendapatkan nasihat yang sewajarnya sebelum menggunakannya. 

 25datura5         
Famili: Solanaceae
Nama SaintifikDatura metel
Nama tempatan: Kecubong, Terung pengar, Terung pungak
Daun: Lebar, bujur pada bahagian hujung serta tajam. Panjangnya boleh mencecah sehingga 22.9cm dan lebarnya 10.14cm. Bahagian sisi bergigi berbentuk tiga segi dan tangkai daunnya panjang berwarna unggu.
Bunga: Corolla dan calyx berbentuk tiub atau trumpet. Corolla atau bunga mempunyai warna putih atau unggu. Panjang lebih kurang 15.24 cm dan lebar 7.62cm. Calyx berwarna hijau, 5-7.62cm panjang.
Buah: Berbentuk hampir bulat dan kapsul berduri.