Skip to main content

vcc

Obor-obor Beracun

Oleh: natrah@usm.my

 

Dua beradik mati terkena ampai-ampai
LANGKAWI, Ahad - Dua beradik mati setelah terkena ampai-ampai ketika mandi-manda di laut di Pantai Tengah di sini hari ini.
Berita Harian 29/4/96

Seperti yang ditunjukkan dalam keratan akhbar di atas, sengatan obor-obor berupaya mengakibatkan kematian seperti yang terjadi kepada dua mangsa di Pulau Langkawi baru-baru ini. PRN memandang serius tentang perkara ini dan ingin menerangkan pada orang ramai tentang keracunan yang diakibatkan oleh obor-obor atau ampai-ampai laut. Antara maklumat yang perlu diberi perhatian dalam kes-kes sedemikian adalah seperti berikut:

Adakah kesemua obor-obor laut merbahaya dan berupaya mengakibatkan kematian apabila menyengat mangsa?

Tidak semua obor-obor laut mempunyai sengatan berbisa dan sekiranya sengatan berlaku, tidak kesemuanya mengakibatkan kematian. Ada obor-obor di perairan Sarawak yang tidak berbisa seperti obor-obor jenis putih yang dijadikan sebagai makanan. Jenis obor-obor laut yang diketahui berbisa terbahagi kepada lima jenis iaitu Chironex fleckeri, Chiropsalmus buitendijki, Chiropsalmus quadrigatus, Chrysaora quinquecirrha dan spesis Physalia. Chironex fleckeri biasanya didapati di sekitar perairan Australia manakala yang selainnya boleh didapati di perairan tempatan. Bagi semua obor-obor, sengatan bisa dilakukan melalui sesungut yang mengandungi ratusan pundi-pundi bisa, dipanggil 'nematosit' (lihat gambar di bawah). Sesungut ini apabila tersentuh oleh mangsanya akan melepaskan racun daripada nematosit tadi dan boleh menyakitkan atau melumpuh mangsa seketika pada tempat sengatan. Chironex fleckeri, dikenalpasti sebagai paling berbisa, berupaya menyebabkan kematian dalam masa 15 minit manakala sengatan spesis Physalia pula biasanya akan menyebabkan mangsa mengalami kejutan dan mengakibatkan kematian sekiranya mangsa lemas. Dalam kebanyakan kes sengatan obor-obor, pengenalpastian spesis yang berbisa adalah sukar dilakukan memandangkan bentuk dan saiznya yang berbeza.

Bagaimanakah sengatan obor-obor boleh dielakkan?

Sengatan obor-obor seringkali berlaku dalam keadaan berikut:

  1. Sengatan yang paling kerap berlaku adalah semasa obor-obor terapung di permukaan air ketika mangsa memasuki atau berenang di dalam air.
  2. Serpihan sesungut yang terpisah dari badan obor-obor akibat dari laut bergelora seperti semasa ribut. Sesungut ini walaupun telah terpisah dari badan berupaya untuk membebaskan bisa apabila serpihan sesungut bersentuhan dengan manusia.
  3. Serpihan sesungut yang terdampar di persisiran pantai juga berupaya membebaskan bisa apabila dipijak.
  4. Sengatan obor-obor lebih kerap terjadi apabila bilangannya di dalam laut bertambah. Misalnya bilangan obor-obor bertambah semasa musim mengawan yang berlaku pada bulan Mei hingga Jun.

Oleh itu berhati-hatilah jika terpaksa ke laut semasa keadaan seperti di atas.

Apakah langkah-langkah bantuan kecemasan yang boleh dilakukan dalam kes sengatan obor-obor?

Sekiranya sengatan telah berlaku, langkah-langkah bantuan kecemasan pada tempat kejadian telah dilaporkan dapat mengurangkan risiko kematian mangsa sengatan.

Banyak bahan telah dilaporkan berguna dalam merawat sengatan obor-obor laut. Di antaranya termasuklah sodium bikarbonat (serbuk penaik yang digunakan untuk kek), asid borik, alkohol, larutan cucian amonia dan jus limau nipis. Bahan-bahan ini dapat bertindak menukarkan tahap keasidan (pH) di bahagian tubuh yang tersengat dan meredakan rasa kesakitan. Langkah bantuan kecemasan yang disyorkan selepas itu adalah seperti berikut:

Basuh kawasan sengatan dengan air laut. Jika sesungut obor-obor terdapat di atas kulit, gunakan perkakas bersesuaian seperti garpu atau memakai sarung tangan untuk membuang sesungut tersebut. Kawasan sengatan kemudiannya direndam dalam larutan cuka (50%) selama 30 minit. Selepas itu, tuangkan bancuhan tepung atau serbuk penaik (baking powder) ke atas tempat sengatan dan gunakan pisau untuk mengikis keluar nematosit yang tertanam dalam kulit. Ulangi basuhan cuka ke atas tempat tersebut dan sapukan krim yang mengandungi antihistamin, analgesik dan steroid (seperti krim Betnovat) pada kawasan sengatan. Jika perlu, gunakan ais untuk menghilangkan rasa sakit. Bawa mangsa berjumpa doktor dengan segera.