Skip to main content

vcc

Patah Tumbuh, Hilang Berganti

Oleh: Super User

a1

26 November 2020, Pusat Racun Negara (PRN) kehilangan seorang lagi pengarah apabila YBhg. Profesor Dato’ Dr. Haji Mohamed Isa Abd Majid telah bersara wajib setelah banyak menyumbang kepada kemajuan PRN semenjak pelantikan beliau sebagai pengarah pada tahun 2017. Dato’ Mohamed Isa merupakan antara tonggak tertubuhnya PRN lebih 25 tahun lalu.

Antara pencapaian cemerlang PRN sepanjang pentadbiran beliau ialah PRN telah diiktiraf sebagai satu-satunya Pusat Kecemerlangan berasaskan Perkhidmatan dalam USM dan pencapaian MyRA sepanjang 3 tahun dengan nilai purata 75 markah. PRN juga telah berjaya menganjurkan 18th Scientific Congress of the Asia Pacific Association of Medical Toxicology (APAMT) 2019.

Sepanjang 3 tahun ini juga PRN telah bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam melaksanakan program-program dalam mendidik masyarakat bekaitan bahaya racun makhluk perosak, bahaya bahan kimia kegunaan isi rumah dan pelbagai lagi. Satu lagi sumbangan beliau ialah membangunkan sistem MyTox Data, iaitu sistem yang membantu mempermudahkan perkhidmatan Maklumat Ubat dan Racun PRN. Sistem ini juga telah dilesenkan kepada Pusat Racun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Semenjak beliau mengambil alih jawatan pengarah di PRN, antara permintaan pertama beliau ialah untuk menerbitkan semula Buletin PenawaRacun, buletin rasmi PRN yang telah lama terhenti penerbitannya. Penerbitan sebanyak 2 kali setahun masih berterusan hingga sekarang.

PRN ingin merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada YBhg. Dato’ atas bimbingan, tunjuk ajar dan galakan dalam memastikan PRN sentiasa berdaya saing dalam mempromosikan kesihatan dalam kalangan masyarakat. Kami percaya, Dato’ akan terus membantu PRN khasnya dan USM amnya sama ada secara langsung maupun tidak langsung dalam memastikan kecemerlangan PRN dan USM yang berterusan.

Tanggal 27 November 2020, Pengarah baharu PRN, Profesor Madya Dr. Balamurugan Tangiisuran telah melaporkan diri di PRN. Beliau bukanlah orang asing dalam kalangan warga PRN kerana beliau adalah pensyarah pinjaman daripada Pusat Pengajian Sains Farmasi di PRN sehingga Jun 2020. Dalam ucaptama sebagai pengarah PRN, beliau telah menegaskan bahawa beliau akan meneruskan kesinambungan PRN dengan menerapkan beberapa perubahan baru untuk memantapkan lagi perkhidmatan PRN seterusnya memastikan kecemerlangan PRN. Beliau juga memohon agar buletin PenawaRacun ini dapat diterbitkan 4 kali setahun bermula Mac 2021. Warga PRN berharap dengan pentadbiran dan pengurusan yang telus dan terbuka ini, PRN akan terus unggul dan cemerlang dalam memberikan perkhidmatan dan mempromosikan kesihatan di dalam dan luar USM.