Skip to main content

vcc

Jarak Pagar

Oleh: Razak Hj. Lajis & Adenan Jaafar

Siri Tumbuhan Beracun

Kebanyakan tumbuh-tumbuhan mempunyai ciri-ciri keracunannya sendiri. Sebahagian daripadanya sering pula digunakan sebagai pokok hiasan sama ada di dalam ataupun di luar rumah. Walaupun kebanyakan daripadanya tidak mendatangkan ancaman maut jika dimakan, namun ia akan mendatangkan beberapa kesan yang tidak diingini. Antara kesan-kesannya ialah rasa mual dan tidak selesa bergantung kepada tahap kepekaan dan pendedahan seseorang itu ataupun jenis tumbuhan yang dimakan. Selain dari itu ia juga boleh menyebabkan gatal-gatal pada kulit apabila disentuh.

Ruangan pertama ini akan membincangkan mengenai tumbuhan Jarak Pagar atau nama saintifiknya Jatropha curcas. Berdasarkan kepada namanya, tumbuhan ini sering dijadikan sebagai pagar di kampung-kampung dan juga di rumah-rumah. Tumbuhan yang berasal dari kawasan tropika dan subtropika ini terdapat secara meluas di Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika dan Asia.

Sifat keracunan tumbuhan ini dikaitkan dengan sejenis bahan kimia dipanggil curcin yang terdapat di dalam bijinya. Curcin adalah sejenis toxalbumin. Kanak-kanak gemar memakan biji tumbuhan ini.

Tanda-tanda keracunan

Sekiranya dimakan secara berlebihan, ia akan menyebabkan keracunan. Antara tanda-tanda keracunannya ialah cirit-birit dan muntah-muntah kerana bijinya ini mengandungi sejenis minyak bersifat purgatif (julap). Sekiranya dimakan oleh haiwan ternakan pula terutamnya ayam, ia boleh menyebabkan pertumbuhan terbantut, kerosakan hati dan berlaku pendarahan. Minyak daripada tumbuhan ini dikatakan lebih kuat daripada minyak jarak (castor oil).

Semua spesies daripada genus Jatropha ini dikatakan mengandungi toxalbumin, atau dikenali juga sebagai fitotoksin. Ia adalah sejenis protein yang dihasilkan oleh beberapa spesies tumbuhan sahaja. Apabila dimakan toxalbumin berupaya menyebabkan tindakbalas antibodi dalam tubuh. Bagaimanapun setiap individu mempunyai tindakbalas yang berbeza terhadap kehadiran toxalbumin di dalam tubuh mereka. Kebanyakan toxalbumin akan dimusnahkan oleh haba. Sungguhpun begitu, tumbuhan ini juga mempunyai beberapa khasiat jika digunakan dengan cara yang betul.

Kanak-kanak pernah menggunakan getah tumbuhan ini sebagai belon. Ini dilakukan dengan mematahkan ranting atau tangkainya dan membiarkan sehingga getahnya keluar. Getah itu kemudian akan diletakkan di hujung buluh yang berlubang dan ditiup menjadi belon. Kelakuan begini boleh mendedahkan kanak-kanak kepada getah pokok tersebut yang juga beracun. Getahnya boleh menyebabkan radang mata dan kerengsaan kulit.

Dalam sebarang kes keracunan yang melibatkan tumbuh-tumbuhan, mengenalpasti tumbuhan yang terlibat dengan tepat dapat membantu dalam proses rawatan selain daripada rawatan awal dan rawatan sokongan yang diperlukan dalam sebarang kes keracunan.

Namun masalah utama dalam menangani keracunan tumbuhan ialah mengenalpasti jenis tumbuhan itu. Nama sesuatu jenis tumbuhan mungkin berbeza bergantung kepada daerah atau kawasan di mana ianya ditemui. Terdapat pula tumbuhan yang mempunyai nama yang sama di beberapa kawasan tertentu tetapi merujuk kepada spesies yang berbeza.

Beberapa panduan untuk mengelakkan keracunan tumbuh-tumbuhan
  1. Ambil tahu tentang jenis tumbuhan yang akan anda tanam di kawasan rumah.
  2. Kenalpasti tumbuh-tumbuhan beracun yang mungkin berada di persekitaraan rumah anda. Tanyakan kepada mereka yang mengetahuinya.
  3. Didik anak dan keluarga anda supaya jangan cuba memakan sebarang tumbuhan ataupun sebahagian daripada tumbuhan yang jarang digunakan sebagai makanan.
  4. Jangan mencuba memakan sebarang tumbuh-tumbuhan kecuali anda pasti bahawa ia benar-benar tidak beracun dan selamat dimakan.