Skip to main content

vcc

Siri Tumbuhan Beracun 6 - Tembakau

Oleh: Razak Hj. Lajis & Adenan Jaafar

Tembakau atau Nicotiana tabacum merupakan sejenis tumbuhan yang berbatang lembut dan tidak berkayu. Ia mudah tumbuh di kawasan yang beriklim tropika. Terdapat beberapa spesies dalam genus ini, antaranya ialah N. attenuata, N. glauca, N. longiflora, N. rustica dan N. trigophylla. Walau bagaimanapun N. tabacum merupakan spesies yang lebih dikenali kerana daunnya menjadi bahan utama produk tembakau terutamanya rokok dan cerut.

Nicotiana tabacum dan Nicotiana rustica berasal dari kawasan Amerika Utara dan Amerika Selatan. Tumbuhan ini ditanam oleh kaum asli di sana yang menggunakan daunnya dalam berbagai acara keugamaan mereka sama ada dengan cara menghisap ataupun mengunyahnya.

Pada kurun keenambelas, N. rustica dibawa dari Amerika Utara ke Eropah untuk diperkenalkan sebagai sejenis ubat baru dengan cara kegunaan yang tersendiri iaitu dengan menghisap. Namun setelah didapati N. tabacum lebih sesuai untuk tujuan ini, tumbuhan tersebut dipilih sebagai spesies utama untuk ditanam secara besar-besaran bagi tujuan pemasaran. Ekstrak kedua-dua tumbuhan ini pernah digunakan untuk membunuh parasit. Nikotin iaitu bahan utama dalam tumbuhan ini pernah juga digunakan sebagai bahan pembunuh serengga.

Bahan toksik

Nikotin dan bahan yang menyerupai nikotin adalah sebatian utama dalam spesies Nikotiana. Daun tembakau mengandungi antara 3 hingga 4 peratus nikotin. Nicotana glauca pula dilaporkan mengandungi lebih kurang 0.2 peratus anabasin, iaitu sejenis alkaloid yang menyerupai nikotin. Beberapa kes keracunan N. glauca telah dilaporkan, akibat daripada pengambilan daunnya yang berlebihan. Ada diantaranya yang membawa maut.

Nikotin larut dalam air dan lemak. Ia boleh diserap secara terus dan cepat melalui kulit sama ada dalam bentuknya yang tulen atau daripada daun tembakau. Seperti yang diketahui umum, terdapat beberapa keluaran tembakau dirawat dengan bahan-bahan tertentu untuk meningkatkan daya penyerapannya. Tembakau yang digunakan dalam rokok telah dirawat bagi memudahkan nikotin yang berada dalam asap rokok itu merentasi lapisan-lapisan sel di dalam paru-paru.

Nikotin dalam tembakau bertindak sebagai perangsang dan bertanggungjawap menyebabkan ketagihan.

Gejala keracunan nikotin

Tanda dan gejala pendedahan terhadap nikotin boleh berlaku dengan cepat iaitu antara 15 minit hingga satu jam. Selain daripada mereka yang mengambil nikotin secara terus sama ada secara merokok ataupun mengunyah, mereka yang terlibat dalam pengambilan atau penuaian daun tembakau mungkin terdedah kepada bahaya nikotin ini. Mereka mungkin mengalami gejala-gejala seperti muntah-muntah, lemah-badan dan rasa mengantuk. Ini disebabkan oleh penyerapan nikotin melalui kulit. Turut dilaporkan ialah kerengsaan kulit yang berlaku apabila terdedah kepada daun tembakau.

Keadaan yang dikenali sebagai "Green tobacco sickness ini telah dilaporkan berlaku di kalangan pemunggut daun tembakau yang berusia muda dan tidak merokok. Nikotin dianggap menjadi punca kepada keadaan ini apabila didapati kabus yang menyeliputi para pekerja semasa proses pengumpulan dibuat mempunyai kandungan nikotin yang tinggi iaitu sebanyak 9 mg per 100ml. Para pekerja ini juga mempunyai kandungan kotinin (metabolit utama nikotin) yang tinggi.

Selain daripada kulit, nikotin boleh diserap melalui paru-paru dan usus malah ia lebih cepat diserap melalui rongga-rongga hidung. Selapas dihidu atau dihisap, nikotin dalam asap tembakau akan terus memasuki saluran darah. Nikotin yang dikunyah diserap dengan kadar yang agak perlahan berbanding yang dihidu. Apabila berada di dalam saluran darah, bahan tersebut akan bertindak terhadap sistem saraf sehingga ia diuraikan oleh hati dan dikeluarkan melalui air kencing.

Kesan nikotin terhadap seseorang bergantung kepada individu, dos dan sejarah penggunaannya di masa lampau. Pada individu yang tidak merokok, dos yang kecil boleh menyebabkan degupan jantung menjadi perlahan, rasa loya dan muntah-muntah. Berbanding dengan perokok, mereka akan mengalami pengecilan saluran darah dan merangsang sistem saraf pusat.

Diperingkat awal keracunan nikotin, ia boleh menyebabkan rangsangan sementara yang diikuti oleh tremor dan sawan. Selain daripada itu otot-otot akan menjadi lemah dan koma boleh terjadi sekiranya seseorang terdedah kepada kepekatan nikotin yang tinggi. Kegagalan sistem pernafasan adalah punca utama kematian haiwan yang mengalami keracunan disebabkan oleh anabasin sejenis alkaloid yang menyerupai nikotin.

Nikotin dan ketagihan

Pada awal tahun enam puluhan, para penyelidik telah mula menemui kaitan beberapa peningkatan jenis penyakit akibat tabiat merokok. Walaupun kandungan tar, karbon monoksida dan bebarapa bahan lain yang terdapat dalam rokok sering dikaitkan dengan penyakit barah dan sakit jantung di kalangan perokok, nikotin adalah bahan utama yang telah dikenalpasti yang menyebabkan ketagihan.